AVON MENYERU WANITA UNTUK #WATCHFORCHANGE


Peneraju kecantikan global, Avon sekali lagi meneruskan komitmen dalam memerangi kanser payudara. Wabak COVID-19 telah mengalihkan perhatian dan menyebabkan rawatan kanser payudara atau pemeriksaan profesional berjadual menjadi semakin mencabar. Oleh itu, Avon memberikan kesedaran mengenai kepentingan pemeriksaan kesihatan payudara melalui satu siri pengaktifan digital dan secara luar talian melalui 5 juta Wakil Avon di seluruh dunia.

Di Malaysia, Avon telah melancarkan kempen #WatchForChange dan #BoobWatch melalui cabaran tarian di aplikasi TikTok untuk mendedahkan kepentingan pemeriksaan payudara secara sendiri dan kempen SpeakCup di Instagram untuk mencetuskan perbualan sosial mengenai kesihatan payudara dan langkah berjaga yang perlu diambil.

“Sejak tahun 1992, Avon Malaysia terus berusaha dalam meningkatkan kesedaran tentang kanser payudara melalui pendidikan di peringkat akar umbi, penyaringan untuk golongan kurang berkemampuan dan pembiayaan kepada NGO. Dengan situasi pandemik sekarang, kesedaran mengenai kanser payudara menjadi semakin kritikal kerana sebilangan besar dari kita mungkin telah menghentikan pemeriksaan kanser payudara. Pengesanan kanser payudara di peringkat awal masih merupakan strategi yang paling penting dalam memerangi kanser payudara dan dengan penjenamaan terbaru Avon, Watch Me Now baru-baru ini, kami mengambil sikap lebih berani dan menggunakan saluran komunikasi yang relevan untuk meningkatkan perbualan sosial kerana semakin ramai orang menghabiskan masa secara dalam talian dan di media sosial. Oleh itu, fokus kami adalah untuk mencipta dan memperkuat kandungan digital yang menarik bagi memastikan wanita dan lelaki diberi kuasa untuk melihat perubahan mengenai kanser payudara dan tahu apakah tindakan yang perlu diambil,” kata Tan Mei Yen, Pengurus Besar Avon Kosmetik (Malaysia) Sdn Bhd.

Sebagai sebahagian daripada kempen #WatchForChange, Avon Malaysia telah bekerjasama dengan pempengaruh tempatan seperti Syazlin Zainal, Nurin Afiqah dan Batrisya untuk memberi inspirasi melalui tutorial tarian di TikTok bagi mendorong orang ramai untuk memeriksa payudara mereka secara berkala dan meminta penonton untuk berkongsi video dengan sekurang-kurangnya kepada dua orang rakan. Melalui perkongsian ini, ia dapat meningkatkan kesedaran di peringkat awal dan menggalakkan pendidikan awam terhadap pengesanan awal kanser payudara.

Selain dari itu, kempen SpeakCup yang juga merupakan rangkaian video oleh Miss World Malaysia 2019, Alexis SueAnn dan Miss Universe Malaysia 2020, Francisca James yang berkongsi pengalaman mereka serta memberi peluang kepada penonton yang mungkin tidak pernah mempertimbangkan untuk melakukan pemeriksaan baik kepada diri sendiri atau melalui mamogram tahunan, untuk melakukannya.

Demi sokongan kepada komuniti kanser, Avon Malaysia juga menyumbang RM 20,000 kepada Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM) yang memberi peluang kepada 35 wanita yang kurang bernasib baik dengan ujian mamogram positif untuk menjalani prosedur biopsi jarum / FNAC. Persatuan ini, diwakili oleh Ketua Klinik Pemeriksaan Kanser & Kesihatan, Dr Dalilah Kamaruddin dan pemandiri kanser payudara, Navi Indran Pillai yang sebelumnya mengadakan ceramah kesihatan kanser payudara kepada pekerja Avon Malaysia.

Dr Dalilah mengatakan, "Tahap kesihatan yang buruk, akses terhad untuk melakukan pemeriksaan awal, dan masalah kewangan menghalang masyarakat, terutama masyarakat yang paling rentan untuk meminta pertolongan profesional ketika muncul gejala kanser. Sumbangan dari Avon Malaysia hadir ketika kita telah mempunyai senarai menunggu wanita kurang bernasib baik yang perlu menjalani prosedur biopsi payudara di NCSM. Ujian saringan kanser positif tidak bermaksud anda menghidap kanser, jadi ujian diagnostik seperti biopsi tisu payudara diperlukan untuk mengesahkan sama ada ianya kanser. Kami sentiasa mengalu-alukan rakan korporat seperti Avon Malaysia untuk bekerjasama dengan kami dan terus memberi impak kepada masyarakat dengan memberi kesedaran mengenai pentingnya pemeriksaan kanser payudara dan pengesanan awal dalam meningkatkan bilangan pejuang kanser payudara, terutama dalam kalangan wanita yang kurang bernasib baik".



Untuk maklumat lebih lanjut mengenai Janji Kanser Payudara Avon, klik di sini.

Feature photo by: Hand photo created by jcomp - www.freepik.com


Comments

Popular posts from this blog

WESTLIFE BAKAL KEMBALI KE MALAYSIA UNTUK KONSERT WESTLIFE THE HITS TOUR 2024 DI RESORTS WORLD GENTING