MAFE GESA KERAJAAN BENARKAN PEMBUKAAN SEMULA PAWAGAM

Di sebalik pengumuman pembukaan semula beberapa sektor ekonomi termasuk perkhidmatan bukan keperluan utama seperti spa, gimnasium, kasino dan pusat memancing, pawagam-pawagam di seluruh Malaysia masih diarahkan ditutup di sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), yang dijangka akan berterusan sehingga 4 Mac 2021. 

Di negara-negara jiran dan negara-negara maju yang lain seperti Singapura, Thailand, Indonesia, Korea dan Jepun, pawagam-pawagam telah dibenarkan beroperasi semula. India telah pun dibenarkan untuk membuka pawagam-pawagamnya dengan kapasiti 100% sepenuhnya. Arahan penutupan pawagam ini terus melumpuhkan industri pawagam Malaysia, yang sememangnya telah mencatatkan kerugian sehingga 90% pendapatan tahun ke tahun dan mengalami jumlah kerugian lebih daripada RM500 juta pada 2020 sahaja. Ia ternyata jauh berbeza jika dibandingkan dengan tahun sebelumnya, di mana industri ini secara keseluruhannya telah menyumbang lebih RM1.08 bilion pendapatan dan lebih RM250 juta duti cukai hiburan kepada negara. 

Penutupan jangka panjang memberi kesan buruk jangka panjang Ekoran arahan penutupan yang berpanjangan ini, pawagam-pawagam di Malaysia terpaksa ditutup separuh atau sepenuhnya selama hampir setahun sejak PKP pertama dikuatkuasakan pada Mac 2020. 

Arahan penutupan tersebut telah memberi impak yang amat buruk ke atas industri ini, hingga menyebabkan ramai kehilangan pekerjaan, banyak pawagam terpaksa gulung tikar, dan semua pemilik pawagam terpaksa mengecilkan operasi mereka. Ada juga di kalangan kakitangan pawagam yang terpaksa menerima potongan gaji sehingga 70%. 

Kerugian paling besar setakat ini ialah pengunduran pengendali pawagam ketiga terbesar di Malaysia iaitu MBO Cinemas, yang terpaksa melakukan pelupusan secara sukarela. 

Krisis ini tidak hanya tertumpu kepada industri pawagam semata-mata; ia telah membarah menjadi malapetaka kewangan yang melibatkan ribuan pekerjaan merangkumi rantaian bekalan yang lebih besar, iaitu keseluruhan perniagaan hujung ke hujung termasuk syarikat-syarikat kecil dalam bidang pembuatan, logistik, pembersihan, makanan dan minuman, serta peruncitan, antara lainnya. 

Kejatuhan industri pawagam juga dijangka akan mendatangkan kesan buruk secara langsung ke atas keseluruhan industri filem Melayu tempatan, di mana lebih 20,000 rakyat Malaysia ketika ini bekerja di dalam bidang pembuatan dan produksi filem, kreatif, pengedaran, bakat-bakat dan banyak lagi. “Sebagai pembikin filem tanahair, kami amat terkesan dengan pandemik COVID-19 yang telah menjejaskan tiga buah filem seperti Abang Long Fadil 3, Polis Evo 3, dan Mat Kilau. Jumlah pelaburan yang besar sebanyak RM20 juta telah pun dikeluarkan untuk penerbitan tiga buah filem tersebut. 

Penguatkuasaan SOP yang agak ketat ke atas industri kreatif juga memberikan kesan negatif kepada seluruh kelompok warga seni yang terlibat. Pihak kerajaan perlu perhalusi masalah ini sebelum keadaan menjadi lebih parah. Kerugian yang ditanggung oleh pengusaha pawagam sejak pelaksanaan PKP pertama pada tahun 2020 hinnga ke hari ini perlu diambil kira. 

Tidak mustahil industri pawagam akan lumpuh sepenuhnya dan adalah sukar untuk dipulihkan,” kata Pengasas Skop Production Sdn Bhd , Datuk Dr. Yusof Haslam. Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE) telah membuat beberapa rayuan secara bersama untuk mendapatkan bantuan kepada Kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM). 


Antara permohonan yang diutarakan ialah pengecualian atau pengurangan cukai hiburan untuk pemamer filem. Walaupun RM225 juta telah diperuntukkan bagi membiayai dan menyokong aktiviti kesenian, kebudayaan, dan hiburan pada Jun 2020, namun peruntukan berkenaan tidak termasuk pawagam. Belanjawan 2021 yang dibentangkan pada November kemudiannya memperuntukkan RM 100 juta sebagai suntikan untuk industri kreatif, namun sekali lagi industri pawagam telah dianaktirikan daripada bantuan ini. 

Hingga ke hari ini, pengendali pawagam masih belum menerima sebarang bentuk bantuan kewangan atau pakej rangsangan daripada sejumlah RM325 yang telah diperuntukkan untuk industri kreatif oleh Kerajaan. 

“Memandangkan ada beberapa industri bukan keperluan utama telah dibenarkan untuk beroperasi semula dalam tempoh beberapa minggu yang lalu, kami yakin bahawa para pengguna dapat melihat wujud perbezaan di mana ada sesetengah perniagaan yang boleh dibuka semula dan ada yang tidak boleh. Industri pawagam tidak lagi mampu menanggung penutupan lebih lama dan ianya pasti akan lumpuh, menjejaskan kehidupan setiap rakyat Malaysia yang berkhidmat dalam keseluruhan rantaian bekalan. Kami berharap agar Kerajaan dapat mempertimbangkan semula secara serius keputusan mereka untuk membenarkan kami kembali beroperasi,” kata Pengerusi MAFE, Jeneral (Bersara) Tan Sri Datuk Amar (Dr) Mohd Ghazali Dato’ Mohd Seth. 

Pawagam merupakan salah satu bentuk hiburan luar rumah yang paling selamat Sejak bermulanya penularan pandemik ini, pengendali pawagam telah mematuhi setiap garis panduan serta SOP ketat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa, termasuk penjejakan kontak, pemeriksaan suhu badan, dan penjarakan fizikal yang diwajibkan. Selain daripada itu, para pemamer filem juga telah banyak melabur bagi melaksanakan proses sanitasi secara menyeluruh dan kerap selepas setiap tayangan, menyediakan peralatan perlindungan diri (PPE) untuk kakitangan, serta menyediakan bahan pensanitasi tangan untuk para pelanggan. 

Walaupun semasa pawagam ditutup, para pengendali tetap melakukan kerja-kerja penyelenggaraan setiap hari ke atas kerusi-kerusi dan kelengkapan; kos perbelanjaan yang sememangnya sangat besar untuk ditanggung terutama sekali semasa tiada pendapatan. Walaupun pengendali pawagam telah melakukan segala yang terbaik, namun mereka masih tidak dibenarkan untuk beroperasi, meskipun tiada kluster COVID-19 yang pernah direkodkan sebelum ini berpunca dari pawagam. 

Hakikat ini turut disokong kajian yang dijalankan oleh Celluloid Junkie pada Oktober 2020, yang menunjukkan bahawa tiada satu pun kluster COVID19 yang pernah dijejaki datangnya dari pawagam, termasuklah di peringkat global. 

Dengan larangan bercampur gaul di dalam dewan dan penetapan jarak di antara kerusi, kapasiti setiap panggung telah dikurangkan secara efektif sehingga kurang 50%, memastikan tiada sentuhan fizikal di kalangan penonton. Oleh yang demikian, MAFE ingin memohon keizinan daripada pihak berkuasa agar membenarkan ahli keluarga daripada keluarga yang sama untuk duduk sebelah-menyebelah, dengan jarak satu kerusi di antara setiap dua kerusi, seperti mana yang diamalkan oleh pawagam di Singapura di mana kadar jangkitan kekal rendah. 


Ianya juga selaras dengan pelonggaran SOP di tempat-tempat makan baru-baru ini, yang tidak lagi menghadkan jumlah orang sekiranya mereka duduk selang 1 meter di antara satu sama lain. Pawagam, yang bukan hanya sekadar sebuah hab hiburan semata-mata, turut memainkan peranan penting dalam pembangunan budaya sesebuah negara. 

Di dalam tempoh yang serba mencabar ini, pawagam turut memberikan para penonton satu tempat yang mampu milik serta selamat untuk menenangkan minda, sama seperti aktiviti riadah lain contohnya kasino, spa, senaman berkumpulan di gimnasium, dan sukan individu seperti golf. 

Dengan pematuhan SOP dan sentuhan fizikal yang minimum di kalangan penonton, pawagam pastinya menjadi salah satu tempat hiburan di luar rumah paling selamat. MAFE dengan ini menggesa Kerajaan Malaysia agar mempertimbangkan semula pembukaan pawagam. Daripada Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE) 

#BukaSemulaPawagam #ReopenCinemas #BringCinemasBack

Comments

Popular posts from this blog

FOODPANDA MALAYSIA LANCAR INISIATIF RAMADAN BERSAMA COCA-COLA MALAYSIA DAN VIU MELALUI KEMPEN ‘BAKUL MAKANAN’ DI SELURUH NEGARA