PRISMA TERUSKAN USAHA MEMBANTU INDUSTRI KREATIF


MyCreative Ventures Sdn. Bhd. (MyCreative) telah mengumumkan pelancaran beberapa program dalam inisiatif untuk terus merancakkan semula industri kreatif di bawah Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (PRISMA).

Program PRISMA dijangka bakal membantu kelangsungan lebih 3000 pengamal industri kreatif disamping mewujudkan peluang-peluang pekerjaan dalam aktiviti-aktiviti berkaitan ruangan persembahan, organisasi seni, syarikat produksi, kumpulan muzik dan kumpulan teater melalui pelbagai program bantuan dalam bentuk geran, pinjaman, penubuhan platform digital dan inisiatif peningkatan kemahiran. 

Dilancarkan pada 5 Februari 2021, program PRISMA adalah inisiatif di bawah Kementerian Komunikasi & Multimedia yang merangkumi beberapa inisiatif pemulihan yang diperkenalkan khusus untuk industri kreatif serta industri seni & budaya. Ianya dibentuk untuk membantu dan memastikan kelansungan industri seni, budaya, seni reka dan kreatif negara yang lebih mampan dalam menyesuaikan diri dengan norma baru disamping memberikan bantuan yang amat diperlukan oleh para pengamal dan perusahaan industri kreatif yang terjejas akibat wabak COVID-19. Dato’ Saifuddin Abdullah, Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, “Industri kreatif kita memberi sumbangan besar kepada identiti dan ekonomi negara. 

Dana PRISMA yang disalurkan melalui MyCreative, CENDANA dan RIUH akan menyokong pengamal industri kreatif dengan bantuan kewangan yang diperlukan, peningkatan kapasiti dan kemahiran yang diperlukan untuk mengatasi cabaran masa kini dan menangani keberlangsungan hidup mereka untuk meneruskan pekerjaan dengan berkesan. Tiga puluh dua program telah dirancang untuk menyokong penggiat industri kreatif Malaysia seperti filem, muzik, kandungan kreatif digital, seni visual, persembahan dan kraf.

Bantuan yang tersedia di bawah Rancangan PRISMA untuk Industri Kreatif akan merangkumi: 
  • Geran Peralatan Streaming Muzik - membantu 100 penggiat seni muzik menerapkan norma dan pendekatan baru melalui unsur digital dalam meneruskan aktiviti kreatif mereka dengan menyediakan akses kepada alat muzik dan alat penyiaran atas talian. Jumlah bantuan adalah sehingga RM10,000 setiap orang. Permohonan kini dibuka sehingga 2 April 2021. 
  • Inisiatif Program RIUH - Program di bawah inisiatif ini merangkumi RIUH Talks, RIUH at Home dan RIUH Directory. Inisiatif RIUH adalah usaha untuk meningkatkan industri kreatif tempatan dengan merapatkan komuniti kreatif kepada rakyat serta membantu aktiviti kreatif dan perniagaan industri kreatif dimulakan semula. Lebih 1500 penggiat kreatif bakal dibantu melalui program ini melalui penjanaan peluang perkerjaan, pembangunan platform, memperluaskan jaringan dan perkongsian ilmu. 
  • Inisiatif Pemulihan CENDANA - adalah pelaksanaan 13 program bantuan khas buat untuk sektor seni visual, seni persembahan, muzik bebas dan kraf dalam bentuk peningkatan kemahiran, usaha pembangunan, dana dan mewujudkan platform relevan untuk memaparkan karya penggiat seni. 
Menurut Riza Saian, Ketua Pegawai Eksekutif MyCreative, "Fokus kami adalah bagaimana untuk merancakkan kembali industri kreatif negara dan membantu para penggiat industri supaya terus berdaya tahan ketika tempoh mencabar ini dengan pelan bantuan yang strategik. Program PRISMA diharapkan akan dapat menolong memberikan kelegaan dan pilihan kepada penggiat industri kreatif dalam meneruskan aktiviti dan keberlangsungan hidup mereka." 

"PRISMA adalah hasil tindakan lanjut daripada Inisiatif PENJANA untuk Industri Kreatif yang dilancarkan tahun lalu berikutan wabak COVID-19. Seiring dengan pelan PENJANA yang masih terbuka, kami akan terus menigkatkan kesedaran mengenai program- program yang disediakan di bawah PRISMA. Kami juga berharap ushaha ini dpaat mendorong lebih ramai para penggiat untuk tampil membuat permohonan dan mendapat manfaat daripada inisiatif- inisiatif di bawah pakej rangsangan ini," kata Riza. 

Permohonan untuk program-program PRISMA di bawah MyCreative kini dibuka. Sila layari http://www.mycreative.com.my/ untuk pengumuman lengkap, soalan lazim dan butiran maklum balas. Maklumat tambahan mengenai Inisiatif Pemulihan CENDANA boleh didapati melalui laman web CENDANA, https://www.cendana.com.my/ manakala http://www.riuh.com.my/ untuk Inisiatif Program RIUH.

Comments

Popular posts from this blog

SUNWAY MALLS MERAIKAN ULANG TAHUN KE-50 SUNWAY GROUP DENGAN PENUH GILANG DI SELURUH NEGARA

X-CHANGE: ASTRO ORIGINALS YANG PERTAMA HIMPUNKAN PELBAGAI BAHASA, MENGGABUNGKAN GENRE AKSI, JENAYAH & ROMANTIK

KEMPEN ‘MEMPERKASAKAN IMPIAN WANITA’ SUNSILK BERJAYA MENJANA RM100,000 UNTUK SOKONG WOMEN OF WILL

BAWAH PAYUNG AWAN - GANDINGAN ISTIMEWA NABILA RAZALI, BEN AMIR DAN NELISSA NIZAM