‘PROJEK: ANCHOR SPM’ IMBAU ZAMAN PERSEKOLAHAN

 

Astro menampilkan sebuah lagi drama bersiri premium terbaru menerusi jenama Astro Originals, bertajuk Projek: Anchor SPM yang menggantikan Kampong Pisang Bersiri-Siri. Ia memaparkan kisah fiksyen yang diinspirasikan daripada kisah yang pernah berlaku dalam pengalaman kehidupan pelajar dan gelagat mereka menghadapi SPM. 

Menariknya, ia telah mendapat sentuhan kreatif daripada dua pengarah berbakat besar tanah air iaitu pengarah filem PUSAKA, Razaisyam Rashid dan Anwari Ashraf yang sebelum ini merupakan penulis skrip untuk filem pecah panggung Polis Evo 1 (RM18 juta), Polis Evo 2 (RM 23 juta), PUSAKA (RM13 juta), PASKAL: The Movie (RM30 juta) dan Wira (RM11 juta). Gabungan mereka terdahulu menerusi PUSAKA telah mempamerkan kredibiliti mereka dalam menghasilkan karya berkualiti dengan gaya kontemporari. Kali ini, Razaisyam Rashid dan Anwari Ashraf diberi peluang sekali lagi untuk bekerjasama dan menguji kreativiti dalam mengarahkan drama siri premium pula.

Tonggak utama Projek Anchor SPM

Tambah menarik, drama siri premium ini, mempunyai keunikkan yang tersendiri. Dengan berlatar belakangkan tahun 2003, ia bakal membawa penonton mengimbau kembali kenangan zaman persekolahan menerusi barang-barang nostalgia, prop dan set; disamping elemen persahabatan, percintaan alam remaja, kekeluargaan, serta ragam dan aktiviti para pelajar sekolah. Antara kekuatan lain Projek: Anchor SPM adalah sinematografinya yang berkualiti tinggi setaraf filem. Manakala, busana dan gaya penampilan telah direka mengikut karakter setiap watak. Projek: Anchor SPM bakal menemui penonton mulai 15 Mac, setiap hari Isnin, jam 9.00 malam, di Astro Citra, saluran 108 (HD) / 128 (SD).


Bagi memastikan lakon layar yang komersial, pasukan penulis Astro Shaw writers’ room turut memainkan peranannya dalam penghasilan skrip dan pra-produksi yang telah memakan masa selama empat bulan. Menerusi 8 episod, penonton dapat menyaksikan konflik berbeza yang ditampilkan dalam setiap episod yang diyakini mampu mencetuskan keterujaan dan sekaligus mendorong penonton untuk terus menantikan episod seterusnya.


Bagi menghidupkan watak-watak dalam drama ini, ia telah digerakkan dengan baik oleh barisan pelakon muda iaitu Aedy Ashraf yang membawa watak Aizat, seorang pelajar kacak dan popular di sekolah, Daiyan Trisha dengan watak Aaidaa iaitu seorang pelajar pintar tetapi kurang keyakinan diri, Shasha Abedul sebagai Jaja seorang yang ceria dan ketua kelab peminat Aizat, Nadhir Nasar (Juara Hero Remaja 2020) sebagai Hilmi iaitu Ketua Pelajar dan aktif dalam sukan, Chubb-E (Artis Baharu Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-33) sebagai Botol, seorang yang berbakat dalam muzik dan sering menjadi penenang kepada kawan-kawan. Selain itu, turut membintangi adalah nama-nama besar dalam industri seni tempatan seperti Adlin Aman Ramlie, Hasnul Rahmat (Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-30), Tony Eusoff dan Susan Lankester.

Terdapat tiga runut bunyi yang akan menghiasi Projek: Anchor SPM, iaitu lagu utamanya adalah ‘Bintang’ nyanyian Chubb-E & Shasha Abedul, ‘Beban Dunia’ nyanyian Daiyan Trisha dan ‘Sentiasa’ nyanyian oleh Firdaus Rahmat.


Projek: Anchor SPM mengisahkan tentang sekumpulan pelajar tingkatan lima di Sekolah Tengku Isa Anuar (STIA) di Cameron Highlands, yang merupakan sebuah sekolah berasrama penuh berprestij. Aizat, kapten pasukan ragbi yang disegani, bersama Hilmi, iaitu Ketua Pelajar dan Ketua Pengawas yang cemerlang, serta rakan mereka yang hanya dikenali sebagai Botol, adalah rakan karib dan sentiasa bersama di kala waktu susah dan senang. Sementara itu, Aaidaa, pelajar paling cemerlang akademik STIA yang gemar menyendiri, bersusah payah membantu adik tirinya, Jaja, yang kurang mahir pendidikan, untuk bersedia hadapi peperiksaan terbesar, SPM.

Di samping itu, setelah mencuri keluar beberapa kali daripada kampus sekolah pada waktu malam, Aizat akhirnya ditangkap oleh Pengetua Awang, pengetua STIA yang amat tegas. Pengetua Awang, memberi syarat kepada Aizat supaya tidak dibuang sekolah dan perlu meraih keputusan 8A dalam peperiksaan percubaan SPM yang sudah hampir. Justeru, Aizat dengan terdesaknya cuba mencari jalan keluar, dan akhirnya berjaya bersekongkol dengan Aaidaa, dan menghasilkan sebuah pelan untuk membantu rakan-rakan seluruh tingkatan mereka cemerlang SPM melalui strategi meniru besar-besaran.


Saksikan ‘Projek: Anchor SPM akan ditayangkan di saluran Astro Citra pada jam 9.00 malam, bermula 15 Mac ini. Untuk pilihan alternatif, anda juga boleh strim di platform Astro GO atau On Demand. Ikuti info dan klip-klip menarik menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Gempak dan Astro Shaw.

Comments

Popular posts from this blog

ASTRO MENAMPILKAN DRAMA ‘TERNYATA SEBUAH BAHAGIA’, MEMAPARKAN KISAH KETABAHAN SUAMI DAN ISTERI.

X-CHANGE: ASTRO ORIGINALS YANG PERTAMA HIMPUNKAN PELBAGAI BAHASA, MENGGABUNGKAN GENRE AKSI, JENAYAH & ROMANTIK

SLOT AKASIA TV3 TAMPILKAN DRAMA 'PINJAMAN SYURGA' LAKONAN JANNA NICK & KEITH FOO