YAYASAN SIME DARBY PERUNTUK RM2 JUTA BAGI MENYOKONG USAHA WOA


Bagi memperingati Hari Wanita Antarabangsa 2021, Yayasan Sime Darby (YSD) telah mengutuhkan kerjasama strategik jangka panjangnya dengan Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO) dengan komitmen sebanyak RM2 juta sehingga 2022. Dalam tempoh tiga tahun akan datang, pembiayaan YSD akan membantu WAO dalam usaha mengangkat agenda kesaksamaan jantina dan menyokong enakmen undang-undang bagi membendung gangguan seksual serta diskriminasi jantina di tempat kerja.

Berucap pada sambutan maya Hari Wanita Antarabangsa YSD (YSD IWD) 2021, Ahli Majlis YSD dan Pengarah Urusan Sime Darby Property Dato' Azmir Merican berkata:

"Selama lebih sedekad, YSD telah bekerjasama dengan WAO dalam memberi perlindungan dan advokasi untuk wanita yang terselamat daripada keganasan rumah tangga dan anak-anak mereka. Kerjasama ini telah membolehkan WAO mereformasikan pelbagai dasar negara dan membentuk garis panduan untuk menubuhkan dan mengendalikan tempat perlindungan keganasan rumah tangga. Kami amat berbangga kerana dapat bekerjasama dengan WAO selama ini dan sentiasa memberikan sokongan sebaik mungkin terhadap usaha cemerlang mereka dalam menyediakan ruang perlindungan dan keadilan pada wanita di Malaysia dalam isu keganasan dan diskriminasi berasaskan jantina," kata Dato' Azmir.

"Kerjasama baik ini selaras dengan strategi tonggak Komuniti & Kesihatan YSD, kerana ia menyokong usaha ke arah perubahan dasar negara yang melindungi hak dan kesejahteraan golongan kurang bernasib baik dan terpinggir," katanya lagi.

Setakat ini, WAO memainkan peranan penting dalam melakukan perubahan dalam pelbagai dasar negara termasuk membuat pindaan kanun keseksaan di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga (Pindaan) 2017 dan menubuhkan tempat perlindungan keganasan rumah tangga di Kelantan, Sarawak, Selangor, Kedah dan Perak.

Memberi Penghormatan kepada Kepimpinan Wanita Semasa Ketidakpastian

Pada 8 Mac setiap tahun, dunia mengiktiraf dan meraikan pencapaian sosial, ekonomi, budaya dan politik semua wanita. Walaupun begitu, isu-isu berasaskan jantina telah menjadi semakin lazim dalam masyarakat hari ini dengan peningkatan keganasan rumah tangga yang dilaporkan semasa pandemik COVID-19 dan peningkatan kes-kes intip dan hendap (stalking), serta gangguan seksual di tempat kerja.

(Kiri Atas) YBhg Dato' Azmir Merican, Ahli Majlis Yayasan Sime Darby & Pengarah Urusan, Sime Darby Property Berhad; (Atas kanan) Cik Sumitra Visvanathan, Pengarah Eksekutif, Pertubuhan Pertolongan Wanita; (Bawah kiri) Prof. Dato' Adeeba Kamarulzaman, Presiden Persatuan AIDS Antarabangsa

Dianjurkan dengan kerjasama WAO, sambutan YSD IWD 2021 mengadakan sesi perkongsian mengenai keganasan rumah tangga, stalking dan gangguan seksual di tempat kerja oleh paka-pakar hak asasi wanita termasuk Pengarah Eksekutif WAO Sumitra Visvanathan. Kerjasama YSD dengan WAO kini dalam usaha membantu kerajaan dalam menggubal Akta Kesaksamaan Gender, Rang Undang-Undang Anti Menghendap dan Rang Undang-Undang Gangguan Seksual.

"Dengan sokongan yang luar biasa daripada YSD sejak beberapa dekad yang lalu, kami telah bekerjasama dan mencapai kejayaan baru dalam kesaksamaan jantina dan ke arah menamatkan keganasan berasaskan jantina melalui sokongan berterusan terhadap mangsa, reformasi undang-undang dan pembaharuan dasar, dan juga pembinaan kapasiti petugas barisan hadapan dan komuniti. Kami berharap kerjasama ini akan terus mengangkat martabat wanita di Malaysia dan mewujudkan masyarakat yang lebih saksama," kata Sumitra.

Tahun ini, YSD memberi penghormatan kepada para pemimpin wanita yang telah bekerjasama dengan YSD dalam pelbagai projek tanggungjawab sosial korporat. Bertemakan "Wanita dalam Kepimpinan: Mencapai Masa Depan Yang Saksama Dalam Dunia COVID-19", acara itu meraikan usaha hebat kaum wanita dalam komuniti dan seluruh dunia, dalam membentuk masa depan yang sama untuk semua ketika dunia berusaha untuk pulih daripada pandemik ini.

Turut hadir ialah Prof. Dato' Dr. Adeeba Kamarulzaman, orang Asia pertama yang dilantik sebagai presiden untuk memimpin Persatuan AIDS Antarabangsa. Beliau juga ialah Pengerusi Majlis AIDS Malaysia, antara rakan projek YSD yang menjadi peneraju dalam menyediakan rawatan untuk pesakit HIV yang kurang bernasib baik dan menjalankan inisiatif pemerkasaan komuniti untuk individu-individu yang hidup dengan HIV (PLHIV) di Malaysia.

YSD menamatkan acara sambutan Hari Wanita tersebut dengan mengumumkan pemenang pertandingan foto media sosial YSD Choose to Challenge yang diadakan dalam kalangan pekerja Sime Darby, ahli-ahli rangkaian GirlsTakeover, WAO dan para siswa YSD bagi menyokong pergerakan global untuk menyuarakan ketidakadilan jantina dan ketidaksamaan, ke arah menjadikan dunia ini lebih inklusif untuk semua. Untuk maklumat lanjut mengenai YSD dan usaha berterusan mereka dalam memperjuangkan kesaksamaan dan menjadikan ruang komuniti lebih selamat untuk wanita, sila lawati: www.yayasansimedarby.com/our-projects/community-health.


Comments

Popular posts from this blog

"CHECK, CONFIRM, CONSULT AND CHANGE" UNTUK MEMERANGI PRADIABETES

COMBAT BAZE MEMBAWA PENGALAMAN REKREASI PENUH AKSI DI MALAYSIA

SERTAI KEMERIAHAN ’HELLO NU SENTRAL’ BERSAMA BINTANG TERHEBAT TEMPATAN PADA 27 APRIL INI!