FATTAH AMIN RAIH TROFI AKTOR TERBAIK DI WORLD FILM CARNIVAL


Sedekad berada dalam belantera seni, pelakon Fattah Amin melakar sejarah peribadi apabila lakonan dalam filem seram, Miimaland berjaya menobatkan namanya untuk mengungguli gelaran Aktor Terbaik di World Film Carnival (WFC) Singapore 2021. Kemenangan Fattah itu diumumkan di laman sesawang WFC Singapore 2021, malam tadi.

Mengulas kemenangannya itu, Fattah atau nama sebenarnya, Abdul Fattah Mohd Amin meluahkan rasa terkejut dengan kejayaan yang tidak pernah dimimpikan itu.


"Saya dimaklumkan mengenai kemenangan itu oleh pihak pengurusan. Sebaik sahaja melihat nama tertera sebagai pemenang kategori Aktor Terbaik, saya jadi terkejut... Memang saya tidak sangka. Secara jujur, masih banyak lagi yang perlu saya belajar daripada bidang lakonan. Ini bukanlah yang terbaik kerana masih ada filem saya belum ditayangkan dan saya tidak sabar untuk menyaksikan hasilnya. Bagaimanapun, saya anggap kemenangan ini rezeki kerana ini adalah julung kali lakonan saya mendapat pengiktirafan peringkat di antarabangsa," katanya dalam nada teruja.

Menurut penyanyi lagu Kiriman Agung ini, kemenangannya itu juga mencatat momen manis buat filem Miimaland yang sebelum ini banyak merangkul anugerah di festival filem luar negara.


“Miimaland sebelum ini pernah memenangi beberapa anugerah di festival filem luar negara. Awal bulan ini, naskhah ini dinobatkan sebagai Filem Seram Terbaik pada AltFF Alternative Film Festival Spring 2021 di Toronto, Kanada. Karya sentuhan Nevin Hiong ini juga berjaya menggondol trofi Pengarah Terbaik selain menjadi finalis bagi kategori Sinematografi Terbaik,” ujar Fattah.

Berkongsi mengenai watak dibawa dalam Miimaland, Fattah menjelaskan karakter Ariel sangat berbeza dan memerlukannya bermain emosi.

"Ini adalah filem seram pertama lakonan saya. Cabarannya adalah bagaimana mahu bermain dengan emosi dan pemahaman terhadap sesuatu karakter itu. Selain itu, berikutan genre filem ini seram, kebanyakan penggambarannya dibuat pada waktu malam dan lokasinya dalam hutan. Suasana itu sendiri memberikan pengalaman baharu buat saya. Gangguan mistik ketika penggambaran juga menjadi antara cabaran yang terpaksa dihadapi ketika membintangi filem ini," dedah pemegang Ijazah Pengurusan Industri Kreatif Universiti Utara Malaysia (UUM) ini.


WFC adalah sebuah medium yang menyokong pembikin filem bebas untuk mengembangkan karier mereka dalam bidang yang sangat kompetitif ini dengan mempamerkan karya mereka di platform global yang memberi mereka pengiktirafan dan penghargaan.

WFC juga berperanan sebagai platform besar untuk artis-artis baharu dan juga menjadi tempat pembuat filem terkenal di seluruh dunia berkumpul dan bertukar idea.

Comments

Popular posts from this blog

CARIAN TAHUN 2024: INILAH PERKARA YANG DICARI, DISAMBUT, DAN DIINGATI OLEH RAKYAT MALAYSIA

‘REAL MEN MALAYSIA: WIRA MERAH’- 8 SELEBRITI JALANI KEHIDUPAN SEBENAR JABATAN BOMBA DAN PENYELAMAT MALAYSIA

SEBARKAN KASIH SAYANG DAN KEBAIKAN DENGAN VOLUNTOURISM