DURASI ‘OMAR & HANA’ KINI LEBIH PANJANG DI BULAN RAMADAN

 

Digital Durian dengan berbesar hati mengumumkan siri animasi popularnya hasil usahasama dengan Astro, ‘Omar & Hana’ akan bersiaran dalam durasi yang lebih panjang, selama 11 minit, di sepanjang bulan Ramadan Al Mubarak ini. Musim terbaharu ‘Kisah Omar & Hana’ ini hadir dalam Bahasa Melayu dan Inggeris.

Justeru, pengisian kandungan siri ‘Omar & Hana’ ini dilihat lebih padat dengan intipati pembelajaran, sajian lagu dan pelbagai doa untuk panduan semua. Musim baharu ini merangkumi empat episod bertemakan Ramadan dan satu episod berlatarbelakangkan Raya, yang mana akan disiarkan di Astro Ceria (saluran 611) bermula dari 16 April hingga 14 Mei.

Episod-episod Ramadan musim terbaharu ‘Kisah Omar & Hana’ berkisar tentang cerita tauladan para Malaikat dan tanggungjawabnya, kesabaran ketika berpuasa, manfaat dan pahala yang dikumpul melalui sadaqah dan untuk mengasihi dan menghargai orang yang anda sayangi ketika mereka masih bersama dengan kita di dunia ini. Manakala, episod khas Raya pula akan memperlihatkan Omar & Hana belajar mengenai panduan Kiblat dan sebab-sebab mengapa umat Islam perlu melaksanakan solat dalam keadaan menghadap ke arah Kaabah.

Sinan Ismail, Pengasas dan CEO Digital Durian Animation, berkata, "Salam Ramadan Mubarak kepada semua peminat kami! Ramadan ini, kami telah menghasilkan kandungan khas untuk semua peminat Omar & Hana di luar sana. Kami sentiasa titipkan harapan untuk menyebarkan kebaikan di seluruh dunia melalui sajian kandungan Omar & Hana ini dengan menyediakannya dalam beberapa bahasa yang lain. Mudah-mudahan, penonton kami dapat menerima baik dan menikmati episod-episod istimewa Omar & Hana yang telah disusun sepanjang Ramadan tahun ini."

Fadilah A. Rahman, Penerbit siri animasi ‘Omar & Hana’, pula berkata, “Kami menghasilkan episod berdurasi panjang untuk musim baharu ini atas permintaan daripada peminat kami di seluruh dunia. Kami sangat menghargai sokongan daripada ibu bapa & peminat cilik kami!”

Fadilah juga turut menambah dengan berkata bahawa bulan Ramadan merupakan bulan paling istimewa buat Omar & Hana dan Digital Durian, dan mereka ingin berkongsi detik-detik terbaik dengan peminat di seluruh dunia menerusi kandungan segar yang disajikan.

Sempena musim terbaharu ‘Omar & Hana’ ini, Digital Durian juga telah melancarkan kempen ‘Hero Ramadan’ demi meraikan kedatangan bulan Ramadan ini. Kempen ini adalah untuk meraikan peminat mereka dengan mengadakan satu pertandingan, di mana para peminat diperlukan untuk berkongsi detik-detik istimewa mereka di bulan mulia ini. Peminat yang dipilih menerusi perkongsian penglaman terbaik mereka akan berpeluang memenangi hadiah dan barangan cenderahati dari Omar & Hana.

“Besar harapan saya agar setiap Muslim dapat menjadi seorang ‘Hero Ramadan’ pada tahun ini dengan melakukan pelbagai jenis kebaikan. Kami turut berharap agar peminat kami di luar sana akan menonton dan menyokong kisah terbaharu Omar & Hana. Salam Ramadan Kareem buat semua! " tambah Fadilah.

Siaran E-Khutbah juga akan diadakan sempena kempen ‘Hero Ramadan’ khas buat ibu bapa dan ia hadir dalam tiga bahasa; Melayu, Inggeris dan Indonesia. E-khutbah ini menyaksikan penglibatan barisan ustaz tempatan dan antarabangsa seperti Mufti Menk, Imam Yahya Adel Ibrahim, Ustaz Syah, Imam Muda Nazrul, Ustaz Elyas Ismail dan Ustaz Muzammil Hasballah. E-khutbah akan disiarkan setiap hari Jumaat di YouTube Omar & Hana.

Siri animasi ‘Kisah Omar & Hana’ ini bersiaran pada setiap Jumaat, jam 11.00 pagi dan 4.00 petang di Astro Ceria (saluran 611). Sebagai pilihan alternatif, kesemua episod Omar & Hana juga boleh distrim secara eksklusif bagi pelanggan Astro melalui aplikasi Astro GO.

Untuk maklumat lanjut mengenai Omar & Hana, sila layari www.omarhana.com.

Comments

Popular posts from this blog

CARIAN TAHUN 2024: INILAH PERKARA YANG DICARI, DISAMBUT, DAN DIINGATI OLEH RAKYAT MALAYSIA

‘REAL MEN MALAYSIA: WIRA MERAH’- 8 SELEBRITI JALANI KEHIDUPAN SEBENAR JABATAN BOMBA DAN PENYELAMAT MALAYSIA