MENYINGKAP KECEMERLANGAN HOSPITALITI DI SERATA DUNIA: MICHELIN GUIDE UMUM SENARAI MICHELIN KEY 2026
MICHELIN Guide baru-baru ini mengumumkan senarai hotel pilihan 2026, yang kini boleh diakses menerusi platform MICHELIN Guide (MICHELIN Key Hotels 2025: Senarai Hotel Pilihan di Seluruh Dunia). Pelancong boleh meneroka senarai hotel baharu, menyemak pengiktirafan MICHELIN Key bagi setiap hotel, serta mendapatkan inspirasi untuk penginapan mereka.
Selepas beberapa bulan melakukan penilaian secara rahsia, panel penilai MICHELIN Guide telah memilih lebih daripada 470 hotel baharu di 79 destinasi. Senarai 2026 turut menyaksikan pengiktirafan MICHELIN Key diperkenalkan di 10 destinasi buat kali pertama, manakala lebih daripada 80 hotel menerima kenaikan taraf.
Malaysia turut tersenarai dalam senarai pilihan tahun ini. Senarai MICHELIN Key 2026 menyaksikan lima hotel baharu di Malaysia menerima pengiktirafan One Key, iaitu The Sireya Desaru Coast, Mandarin Oriental di Desaru, Cheong Fatt Tze – The Qing Suites (di Penang), Soori Penang, dan Park Hyatt Kuala Lumpur, dan The Datai Langkawi (di Teluk Datai). Empat hotel lain pula mengekalkan pengiktirafan sedia ada: Else Kuala Lumpur, Four Seasons Hotel Kuala Lumpur, dan The RuMa Hotel and Residences (di Kuala Lumpur), masing-masing mengekalkan pengiktirafan One Key, manakala Four Seasons Resort Langkawi mengekalkan pengiktirafan Two Keys.
Menurut Gwendal Poullennec, Pengarah Antarabangsa MICHELIN Guide, perkembangan senarai hotel ini hadir pada detik yang menarik bagi industri hospitaliti. Seiring dengan usaha MICHELIN Guide memperluas kehadirannya dalam dunia hospitaliti dan gaya hidup di seluruh dunia, beliau turut menekankan peranan penting hotel persendirian dan hotel butik dalam memacu kemajuan sektor ini.
Beliau berkata: “Pemilihan global kedua MICHELIN Key ini mencerminkan perkembangan luar biasa yang terus memacu sektor hospitaliti pada tahun ini. Dengan hampir 470 hotel baharu menerima pengiktirafan, kita dapat melihat peningkatan berterusan dalam penawaran hotel, didorong oleh projek-projek yang semakin kreatif dan berani. Di seluruh dunia, penggiat industri perhotelan terus mencipta pendekatan baharu terhadap pengalaman menginap menerusi konsep yang lebih imersif, diperibadikan dan yang mengutamakan pengalaman.
Keupayaan untuk berinovasi ini terserlah bukan sahaja di destinasi yang menjadi tumpuan pelancong, malah turut berkembang dalam pasaran pelancongan yang sedang meningkat naik. Perkembangan konsep ini, yang sering diterajui oleh pengusaha hotel persendirian yang berfikiran progresif, kini menjadi sumber inspirasi kepada seluruh industri. Evolusi ini turut disokong oleh pelaburan daripada kumpulan hotel antarabangsa terkemuka, sekali gus membantu mempercepatkan transformasi sektor ini. Justeru, senarai pilihan 2026 meraikan kepelbagaian, kemajuan dan kecemerlangan sebuah sektor yang sentiasa berkembang dan terus melangkaui kebiasaan dalam mencipta pengalaman hospitaliti yang lebih bermakna, sambil membuka peluang kepada para pelancong untuk meneroka destinasi-destinasi baharu.”
Daripada Permata Tersembunyi kepada Ikon Moden: Kepelbagaian Pengalaman Penginapan
Penambahan hotel pada tahun ini menyerlahkan kepelbagaian landskap perhotelan. Hotel-hotel baharu yang menerima pengiktirafan MICHELIN Key terdiri daripada pelbagai saiz, gaya, lokasi serta kategori harga.
Kini, senarai hotel global MICHELIN Guide merangkumi lebih daripada 9,400 hotel, termasuk 2,832 hotel yang menerima pengiktirafan MICHELIN Key. Lebih daripada 2,200 hotel telah ditambah ke dalam senarai global sejak pengumuman senarai MICHELIN Key pada Oktober 2025.
Eropah dan Asia mencatatkan jumlah penambahan baharu tertinggi. Penambahan ketara direkodkan di Perancis, Jerman, Itali, Portugal, Sepanyol dan United Kingdom, selain China, India, Indonesia, Jepun, Thailand dan Arab Saudi.
Benua Amerika turut menyaksikan penambahan yang ketara di Kanada, Costa Rica, Mexico dan Amerika Syarikat. Di Afrika dan Oseania pula, panel penilai MICHELIN Guide amat mengagumi kekuatan yang ditonjolkan dalam barisan hotel baharu yang terpilih tahun ini.
Pengiktirafan MICHELIN Key juga terus berkembang ke beberapa destinasi baharu. Pada 2026, hotel di Armenia, Benin, Botswana, Kazakhstan, Liechtenstein, Mongolia, Myanmar, Rwanda, Slovakia dan Zimbabwe menerima MICHELIN Key buat kali pertama.
Daripada 2,832 hotel MICHELIN Key, sebanyak 155 hotel menerima pengiktirafan Three Keys, 657 hotel Two Keys dan 2,020 hotel One Key. Perancis dan Itali mendahului Eropah dengan kira-kira 220 hotel MICHELIN Key di setiap destinasi. Secara keseluruhan, terdapat lebih daripada 1,300 hotel MICHELIN Key di Eropah meliputi lebih 35 destinati.
Hotel Three-Key Baharu Dalam Senarai Pilihan
Pengiktirafan hotel tertinggi MICHELIN Guide kini disertai 18 hotel baharu bertaraf Three-Key pada 2026, termasuk enam di Asia, lapan di Eropah, dua di Oseania, satu di Afrika dan satu di benua Amerika.
Antara hotel baharu tahun ini adalah Borgo Santandrea di Pantai Amalfi, Itali, dan Southern Ocean Lodge di Australia, yang kedua-duanya diiktiraf kerana menawarkan pengalaman hospitaliti yang luar biasa. Secara keseluruhannya, hotel-hotel baharu bertaraf Three-Key ini mencerminkan kepelbagaian pengalaman hospitaliti istimewa yang ditawarkan di seluruh dunia.
Empat Anugerah Khas, Empat Keistimewaan Tersendiri
Senarai 2026 turut mengetengahkan empat hotel yang mempunyai pendekatan unik dalam hospitaliti, sekali gus berjaya menarik perhatian panel penilai MICHELIN Guide. Anugerah Khas ini merangkumi kategori seni bina dan reka bentuk, kesejahteraan, pembukaan baharu serta keterikatan dengan keistimewaan setempat.
MICHELIN Guide Architecture & Design Award dianugerahkan kepada Desert Rock Resort di Umluj, Arab Saudi, sebuah resort yang mengagumkan dan dibina menyatu dengan landskap Pergunungan Hijaz.
MICHELIN Guide Wellness Award pula mengiktiraf Schloss Elmau Luxury Spa Retreat & Cultural Hideaway di Elmau, Jerman, atas pendekatannya yang menyeluruh dan pelbagai dalam aspek kesejahteraan.
MICHELIN Guide Opening of the Year Award diberikan kepada Airelles Palladio Venice di Venice, Itali. Hotel ini merupakan hartanah Airelles pertama di luar Perancis, selain menjadi destinasi baharu yang menghadap Terusan Giudecca.
MICHELIN Guide Local Gateway Award menampilkan Londolozi Game Reserve di Kruger, Afrika Selatan, sebuah destinasi safari perintis yang sejak sekian lama menghubungkan tetamu dengan alam semula jadi dan budaya setempat.
Sorotan Senarai MICHELIN Key 2026
Amerika Utara & Tengah serta Caribbean
Senarai MICHELIN Key 2026 menyaksikan lebih daripada 100 hotel menerima pengiktirafan baharu atau kenaikan taraf merentasi lebih 10 destinasi di Amerika Utara, Amerika Tengah dan Caribbean. Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada turut menyaksikan perubahan dalam pengiktirafan MICHELIN Key masing-masing, dengan 65 hotel baharu menerima MICHELIN Key di Amerika Syarikat sahaja. Beberapa hotel baharu turut menyertai senarai di bandar-bandar utama seperti Atlanta, Austin, Chicago, New Orleans, New York dan Montreal. Costa Rica menjadi satu-satunya lokasi hotel baharu bertaraf Three-Key di benua Amerika apabila Nekajui, a Ritz-Carlton Reserve, menerima kenaikan taraf daripada Two Keys ke Three Keys. Antara hotel baharu yang turut menarik perhatian adalah Cataloochee Ranch dan The Swag berhampiran Taman Negara Great Smoky Mountains serta Hotel Sevilla di Mérida, Mexico, yang menerima MICHELIN Key pertamanya selepas melalui proses pemulihan kreatif sebuah bangunan bersejarah.
Amerika Selatan
Di Amerika Selatan, senarai 2026 menyaksikan 20 pengiktirafan baharu dan kenaikan taraf di enam destinasi, menjadikan jumlah keseluruhan hotel MICHELIN Key di benua itu kepada 94 hotel. Lima hotel kini memegang pengiktirafan Three Keys, dengan pengiktirafan baharu serta kenaikan taraf direkodkan di Argentina, Brazil, Chile, Colombia, Ecuador, Peru dan Uruguay. Di Colombia, Cinco Quintas Hotel Boutique merupakan antara lima hotel baharu yang menerima MICHELIN Key, manakala Explora Rapa Nui di Pulau Easter menerima kenaikan taraf kepada Two Keys. Di Peru, Las Casitas mengekalkan pengiktirafan Three-Key bagi tahun kedua berturut-turut, menawarkan lokasi luar biasa untuk menerokai keindahan Andes dan Lembah Colca.
Eropah
Senarai MICHELIN Guide 2026 di Eropah kini merangkumi 1,338 hotel MICHELIN Key di lebih 35 destinasi, dengan 194 hotel menerima pengiktirafan baharu dan kenaikan taraf pada tahun ini. Sebanyak tujuh hotel menerima kenaikan taraf kepada Three Keys, manakala Slovakia dan Liechtenstein menerima pengiktirafan MICHELIN Key buat kali pertama. Itali mendahului benua ini dengan 224 hotel MICHELIN Key, diikuti Perancis dengan 220 hotel. Jerman pula mempunyai 130 hotel manakala United Kingdom mencatatkan 131 hotel. Senarai ini merangkumi pelbagai pengalaman penginapan, daripada resort ski di Andorra dan estet wain di Georgia, hingga hotel kontemporari di Norway. Antara yang menarik perhatian adalah Borgo Santandrea di Pantai Amalfi yang menerima kenaikan taraf kepada Three Keys, Les Sources de Vougeot di Burgundy, salah satu daripada dua hotel baharu bertaraf Two-Key di Perancis serta Park Hotel Sonnenhof di Vaduz, hotel pertama di Liechtenstein yang menerima MICHELIN Key.
Afrika
Senarai MICHELIN Guide 2026 di Afrika berkembang kepada 113 hotel MICHELIN Key, dengan 28 pengiktirafan baharu dan kenaikan taraf. Empat destinasi iaitu Benin, Botswana, Rwanda dan Zimbabwe, dianugerahkan MICHELIN Key buat kali pertama, sekali gus memperluaskan lagi kehadiran MICHELIN Guide di benua tersebut. Delaire Graff Estate di Stellenbosch menjadi hotel bertaraf Three-Key terbaharu di Afrika, manakala One&Only Gorilla’s Nest menyertai senarai MICHELIN Key yang semakin berkembang di Rwanda, menawarkan pengalaman melihat gorila di Pergunungan Virunga. Di Fez, Maghribi, Riad Mayfez Suites & Spa merupakan hotel baharu bertaraf One-Key yang diiktiraf kerana menawarkan pengalaman tersendiri menginap di riad.
Asia & Timur Tengah
Senarai MICHELIN Key 2026 di Asia dan Timur Tengah kini merangkumi 600 hotel, termasuk 173 hotel menerima pengiktirafan baharu dan kenaikan taraf, serta 34 hotel bertaraf Three-Key. Pemilihan MICHELIN Key turut meliputi empat destinasi buat kali pertama: Mongolia, Myanmar, Armenia dan Kazakhstan. Pada masa yang sama, kemas kini senarai di destinasi seperti Jepun, China, India, Indonesia, Maldives, Singapura dan Vietnam terus memperluas jangkauan MICHELIN Guide.
Soneva Secret di Maldives merupakan satu-satunya hotel baharu bertaraf Three-Key di Asia pada tahun ini, manakala Shinta Mani Wild di Kemboja menyertai senarai dengan pengiktirafan baharu Two-Key. Di Beijing, Yanbai Villa pula merupakan penambahan baharu bertaraf One-Key.
Oseania
Senarai MICHELIN Guide 2026 di Oseania menyaksikan 37 pengiktirafan baharu dan kenaikan taraf, menjadikan jumlah keseluruhan hotel MICHELIN Key di rantau ini kepada 92 hotel. Senarai ini merangkumi Australia, New Zealand, Fiji dan Polinesia Perancis, dengan pilihan penginapan terdiri daripada resort pulau terpencil, keindahan seni bina hingga hotel bandar dengan identiti tersendiri. Southern Ocean Lodge di Australia menerima kenaikan taraf daripada Two Keys kepada Three Keys, manakala Rosewood Matakauri di Queenstown meningkat daripada One Key kepada Two Keys. Di Sydney, The Porter House Hotel Sydney – MGallery turut menerima pengiktirafan baharu One Key, menambahkan pilihan penginapan bandar kontemporari dalam rantau yang terkenal dengan destinasi hotelnya yang luar biasa.
.jpg)
Comments
Post a Comment