KEPENTINGAN MENDAPATKAN RAWATAN AWAL BAGI SINUSITIS
Sinusitis adalah satu keadaan yang agak lazim di Malaysia. Simptom-simptom seperti kehilangan deria bau, keletihan melampau dan sakit kepala juga boleh disalah faham sebagai simptom-simptom Covid-19, terutama sekali ketika negara kita sedang memerangi gelombang keempat pandemik ini.
Sementara kedua-dua sinusitis dan Covid-19 memberi kesan ke atas saluran pernafasan, terdapat beberapa cara untuk membezakan kedua-dua penyakit ini, dan ia bermula dengan memahami secara jelas dua keadaan tersebut.
Sinusitis didefinisikan sebagai keradangan membran mukos yang menyelaputi paranasal sinus. Sinusitis berulang adalah disebabkan oleh rinitis yang alergik, di mana pembukaan sinus tersekat oleh kehadiran mukus, polips atau pembengkakan mukosal; atau disebabkan oleh abnormaliti struktur dalam hidung yang menjejaskan aliran sinus yang lancar, yang termasuk; satu septum hidung yang menyimpang, lelangit yang sumbing dan adenoid yang bengkak.
Dr Chai Chiun Kian, Pakar Perunding Telinga, Hidung & Tekak (ENT), Pakar Bedah Kepala dan Leher dari Sunway Medical Centre Velocity (SMCV) berkongsi bahawa kedua-dua sinusitis dan Covid-19 boleh menyebabkan demam, hidung tersumbat, hidung berhingus, sakit kepala dan kehilangan deria bau – dan menekankan bahawa kehilangan deria bau atau rasa meningkatkan lagi indeks kebarangkalian dijangkiti Covid-19.
“Terdapat sejumlah pesakit yang agak signifikan dengan jangkitan Covid-19 yang disahkan telah mengalami masalah kehilangan deria bau. Dalam kes yang lebih serius, pesakit mungkin mengalami kesesakan nafas apabila penyakit itu merebak ke paru-paru, mengakibatkan pneumonia. Secara kontrasnya, simptom-simptom sinusitis biasanya tertumpu di sekitar hidung dan tekak, dan jarang sekali menyebabkan kesesakan nafas,” Dr Chai menjelaskan.
Kedua-dua keadaan ini akan memerlukan perhatian perubatan pada tahap yang berlainan dan harus ditangani dengan serta-merta. Walaubagaimanapun, jika pesakit masih belum dapat membezakan kedua-duanya, Dr Chai menasihati agar mereka segera menjalani ujian RT-PCR Covid-19 untuk pengesahan diagnosa.
Rawatan awal untuk pemulihan awal
Sebaik sahaja seorang pesakit didiagnosa dengan sinusitis, rawatan awal adalah cara terbaik untuk menyelesaikannya tanpa komplikasi tambahan. Simptom-simptom biasa yang pesakit harus sedari termasuk discaj hidung yang luarbiasa, hidung tersumbat, kesakitan muka di bahagian dahi dan pipi, atau sakit kepala.
Dr Tang Mee Ling, Pakar Perunding ENT, Pakar Bedah Kepala dan Leher dari SMCV mengesyorkan agar pesakit menjaga kesihatan sinus mereka dengan mengekalkan pengudaraan yang baik dan menghapuskan risiko serta faktor-faktor persekitaran seperti pencemaran udara, habuk dan hama, serta berhenti merokok, jika mereka merokok. Terdapat beberapa remedi biasa yang pesakit boleh amalkan atas daya usaha sendiri jika simptom-simptom mereka tidak begitu teruk.
“Menghidu stim dan mengamalkan aliran air bergaram di hidung mungkin membantu untuk mengurangkan hidung tersumbat dan discaj hidung dengan melembabkan kaviti hidung. Makan makanan yang kaya dengan bawang putih boleh memberikan kesan dekongestan untuk jangka pendek. Untuk mengurangkan kesakitan muka, menggunakan tuala suam di sekitar hidung, pipi dan mata boleh memberikan sedikit kelegaan dari kesakitan. Walaubagaimanapun, jika simptom-simptom hidung masih berterusan atau pesakit mengalami demam, adalah dinasihatkan agar mereka mendapatkan rawatan perubatan awal dengan segera,” Dr Tang menegaskan.
Pembedahan mungkin diperlukan untuk mengurangkan simptom-simptom itu, dan ini termasuk prosedur-prosedur seperti Septoplasty, Polypectomy, Inferior turbinate hypertrophy, Functional Endoscopic Sinus Surgery (FESS) dan Adenoid curettage.
Komplikasi akibat sinusitis
Sinusitis yang tidak dirawat boleh mendatangkan bahaya, terutama sekali terhadap pesakit yang mempunyai imuniti yang lemah, dan mempunyai kandungan gula dalam darah yang tinggi. Jangkitan sinusitis mungkin menjadi lebih buruk dan merebak melampaui dinding tulang sinus itu ke dalam struktur yang lebih penting di sekelilingnya seperti mata, otak, telinga dan tekak atau lebih buruk lagi, berlakunya penanahan (pengumpulan nanah). Ini boleh membawa kepada orbit bernanah (nanah dalam ruang bola mata), meningitis (jangkitan dalam selaput otak), otak bernanah (nanah dalam otak), jangkitan telinga tengah dan pharyngitis (jangkitan tekak).
Dr Tang menjelaskan bahawa indikator utama keadaan menjadi semakin buruk adalah kehadiran demam panas dan kesejukan yang melampau, dan dalam kes meningitis atau otak bernanah, pesakit itu mungkin berasa mengantuk, mengalami sawan atau kekejangan dan malah mungkin jatuh ke dalam keadaan koma akibat daripada tekanan yang meningkat dalam otak. Kemasukan ke hospital, penjagaan intensif dan dos antibiotik intravenus yang tinggi kemudian perlu diberikan, dan juga pembedahan untuk mengeluarkan nanah tersebut.
“Adalah amat penting untuk berjumpa dengan seorang pakar ENT jika ‘selsema’ anda tidak sembuh dalam tempoh seminggu hingga dua minggu atau menjadi semakin teruk walaupun telah mengambil ubat selsema yang biasa. Rawatan sinusitis awal sentiasa lebih baik daripada merawat komplikasi yang timbul disebabkan oleh sinusitis,” Dr Tang berkata.
Penilaian itu akan bermula di klinik pesakit luar, di mana skop dengan satu kamera (endoskop hidung) akan digunakan untuk memeriksa kaviti hidung. Bergantung kepada penemuan dari prosedur skop itu, pesakit itu kemudiannya akan dinasihatkan oleh pakar perunding mengenai rawatan perubatan atau pembedahan yang perlu dilakukan.
Sunway Medical Centre Velocity terletak di Lingkaran SV, Sunway Velocity. Untuk sebarang pertanyaan, sila hubungi +603 9772 9191 atau emel smcv-enquiry@sunway.com.my. Untuk maklumat lanjut mengenai Sunway Medical Centre Velocity, layari https://www.sunmedvelocity.com.my/ (Facebook: Sunway Medical Velocity).
Background photo created by evening_tao - www.freepik.com
Comments
Post a Comment