CADBURY DAIRY MILK TAMPIL DENGAN IDENTITI JENAMA BAHARU



Mondelēz International (Malaysia) memberi wajah baru yang lebih segar kepada jenamanya yang ikonik iaitu Cadbury Dairy Milk. Bungkusan terbaru ini menampilkan reka bentuk perkataan yang telah dilakar semula, ikonografi baru, Cocoa Life, garis panduan pengambilan makanan ringan yang betul dan tipografi baru, yang menekankan komitmen syarikat terhadap kelestarian, pengambilan makanan ringan yang betul dan bahan ramuan berkualiti tinggi.

Bungkusan berwajah baru ini tampak dan terasa lebih semula jadi, asli dan berkualiti tinggi. Dengan pengenalan reka bentuk bungkusan terbaru ini, Mondelēz International berusaha untuk menghidupkan matlamat syarikat konfeksi global itu yang menumpukan tentang Snacking made right atau pembuatan makanan ringan yang betul; makanan ringan yang betul untuk masa yang sesuai, dibuat dengan cara yang betul. Identiti jenama baru ini telah dilancarkan buat pertama kalinya di Australia pada April, diikuti oleh Afrika Selatan. Malaysia adalah pasaran pertama di Asia Tenggara yang mengguna pakai wajah terbaru berkenaan tahun ini. 

Walaupun jenama coklat pilihan di bawah Mondelēz International ini telah menawarkan pelbagai snek yang enak kepada rakyat Malaysia selama lebih 70 tahun, namun sejarah Cadbury Dairy Milk sebenarnya telah bermula seawal 1905. Sejarah awalnya, John Cadbury telah memasukkan satu setengah gelas susu ke dalam setiap bar coklat berbanding hanya satu gelas, menghasilkan rasa klasik yang amat dikenali dan disukai ramai. Setelah Cadbury Dairy Milk berevolusi selama beberapa dekad, logo satu setengah gelas susu itu terus kekal menjadi simbol utama yang melambangkan kebaikan sejati dan kemurahan hati jenama berkenaan. Dalam identiti terbaharu ini, logo tersebut kini dihubungkan secara langsung dengan kepingan coklat bagi menekankan prinsip yang menjadi pegangan jenama berkenaan iaitu There’s Goodness in Everyone atau Ada Kebaikan Pada Setiap Insan di samping mempertengahkan kualiti bahan ramuannya. 

Bungkusan ni turut memaparkan logo Cocoa Life bagi mengukuhkan lagi komitmen syarikat berkenaan terhadap kelestarian sumber kokonya. Syarikat ini menjangkakan, menjelang penghujung 2020, semua rangkaian produk Cadbury Dairy Milk yang dijual di Malaysia diperbuat 100% menggunakan sumber lestari. 

Pengarah Bersekutu Pemasaran Coklat Asia Tenggara, Mondelez International, Vikram Karwal berkata, “Malaysia adalah salah satu daripada pasaran utama kami dan coklat CADBURY DAIRY MILK kami yang ikonik sangat digemari oleh rakyat Malaysia, oleh itu kami sangat gembira kerana dapat berkongsi wajah serta bungkusan terbaru jenama yang tidak asing lagi buat pertama kalinya di sini. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini kami telah berusaha untuk memahami asal-usul kami dan menghidupkan nilai yang menjadi asas pegangan kami dengan cara yang lebih relevan serta menarik untuk pengguna hari ini. Sebab itulah identiti baru kami dibina berasaskan kepada tujuan asal jenama ini dan meraikan pengiktirafan produk kami yang unik serta aset ikonik kami yang tersendiri dengan penampilan lebih moden sesuai dengan matlamat jenama untuk terus memupuk kemurahan hati”. 

Tambah beliau, “Cadbury Dairy Milk berupaya mewujudkan ikatan yang istimewa di kalangan masyarakat. Pelancaran bungkusan baharu Cadbury Dairy Milk ini selari dengan prinsip kemurahan hati dan keaslian yang sentiasa menjadi pegangan kami terutama sekali ketika berdepan waktu yang serba mencabar ini. Ia turut mencerminkan komitmen kami ke arah usaha menghasilkan snek yang disenangi pengguna, dihasilkan oleh pembuat yang prihatin, menggunakan sumber bahan ramuan yang lestari serta memenuhi selera mereka yang menginginkan produk asli dan semula jadi.”

Selaras dengan matlamat ‘Snacking Made Right’ Mondelēz International, program kelestarian Cocoa Life telah menjadi salah satu daripada inisiatif penting jenama berkenaan sejak lapan tahun yang lalu, telah membantu melatih 140,000 pekebun koko dalam penjagaan alam sekitar; bantuan dari segi penanaman sebanyak 1.2 juta pokok di negara-negara pengeluar koko di seluruh dunia dan membantu memastikan penanaman koko dapat dijadikan sebagai sumber pendapatan untuk menyara kehidupan masyarakat.

Mondelēz International turut menitikberatkan usaha untuk memberi pendedahan dalam mendidik pengguna mengenai pengambilan snek yang betul, memperkasakan masyarakat untuk memilih makanan ringan yang betul pada masa yang sesuai. Vikram menjelaskan, “Pengambilan snek dengan cara yang betul adalah satu pendekatan terhadap tabiat pemakanan yang memberikan kuasa kepada pengguna untuk mengawal pengambilan snek dan bertujuan untuk membina hubungan positif di antara makanan ringan dan pengguna. Kami mahu pengguna menghayati sepenuhnya detik ketika menikmati makanan ringan. Kami juga telah mengambil beberapa langkah seperti mengalihkan maklumat mengenai jumlah kalori ke bahagian hadapan bungkusan bagi membantu pengguna mengetahui berapa banyak kalori yang mereka ambil.”

“Sebagai salah satu pengeluar coklat terbesar di dunia, kami berjaya menawan hati jutaan pengguna dengan jenama seperti Cadbury Dairy Milk, Toblerone dan Milka”, ujar Vikram lagi. “Menerusi coklat kami, kami ingin mengambil kesempatan dalam menyampaikan perubahan dan mesej positif kepada semua anggota masyarakat di sekeliling kami.”


Rangkaian produk pertama yang akan menampilkan identiti terbaharu Cadbury Dairy Milk ini ialah produk klasik kegemaran rakyat Malaysia iaitu CADBURY DAIRY MILK 165g dan ia kini boleh didapati di semua pasar raya utama di seluruh negara. 

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai bungkusan baharu Cadbury Dairy Milk, sila kunjungi laman Facebook di https://www.facebook.com/CadburyMalaysia. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai inisiatif Cocoa Life, sila layari laman sesawang https://www.cocoalife.org/.


Comments

Popular posts from this blog

ASTRO MENAMPILKAN DRAMA ‘TERNYATA SEBUAH BAHAGIA’, MEMAPARKAN KISAH KETABAHAN SUAMI DAN ISTERI.

PESTA SEMBILAN MAHARAJA DEWA DAN AMALAN VEGETARIAN

PARKSON PAVILION BUKIT JALIL LANCAR KEMPEN "THINK GREEN ACT GREEN"