CERRUTI 1881 MEMBUKA LEMBARAN BAHARU DENGAN KIOS BERWAJAH BAHARU DI IOI CITY MALL DAN KOLEKSI JAM TANGAN FW26
Jenama fesyen antarabangsa CERRUTI 1881 membuka lembaran baharu dalam perkembangan jenamanya di Malaysia menerusi pelancaran semula kios berwajah baharu di IOI City Mall, Putrajaya, sekali gus menjadikan Malaysia sebagai pasaran pertama di dunia yang memperkenalkan konsep reka bentuk kios baharu ini. Majlis tersebut turut menyaksikan pengenalan koleksi jam tangan Musim Luruh/Sejuk 2026 (FW26) serta kehadiran istimewa pelakon tanah air, Aedy Ashraf.
Bertemakan ‘A New Chapter’, kios berwajah baharu ini menampilkan pendekatan kontemporari terhadap falsafah rekaan CERRUTI 1881 yang telah lama menjadi identiti jenama tersebut, dengan menggabungkan keunikan warisannya dan suasana membeli-belah yang lebih elegan. Antara perubahan yang diperkenalkan termasuk logo jenama dengan gaya huruf baharu, susun atur yang lebih kemas dengan menggabungkan empat laluan kepada satu laluan utama, serta panel pameran kaca bercahaya bersaiz besar yang menyerlahkan koleksi jam tangan. Gabungan elemen ini mewujudkan suasana yang lebih menarik dengan memberikan tumpuan kepada koleksi jam tangan yang dipamerkan, sambil mengekalkan keanggunan dan identiti tersendiri CERRUTI 1881.
Pelancaran semula ini juga menandakan satu lagi pencapaian penting dalam kerjasama jangka panjang antara CERRUTI 1881 dan A.D. Time Sdn. Bhd., yang telah menjadi pengedar jenama tersebut di Malaysia sejak tahun 2005. Kerjasama berterusan ini mencerminkan komitmen kedua-dua pihak untuk terus memperkukuh kedudukan CERRUTI 1881 dalam pasaran jam tangan tempatan.
Encik MB Lim, Pengarah Eksekutif Perniagaan A.D. Time Sdn. Bhd., berkata, “Seiring dengan usaha kami untuk terus mengembangkan jenama CERRUTI 1881 di Malaysia, kami kekal komited untuk menawarkan koleksi yang menarik serta pengalaman membeli-belah yang lebih baik kepada pelanggan. Pelancaran semula ini memberi peluang kepada kami untuk mengeratkan lagi hubungan dengan pengguna di Malaysia menerusi pengalaman membeli-belah yang lebih interaktif dan bersifat peribadi. Kami mahu pelanggan berasa terinspirasi apabila meneroka koleksi kami dan menemui jam tangan yang benar-benar mencerminkan cita rasa serta gaya hidup masing-masing.”
![]() |
| M.B. Lim, Pengarah Eksekutif Perniagaan A.D. Time Sdn. Bhd., menyampaikan ucapan alu-aluan pada majlis pelancaran semula kios CERRUTI 1881 bertemakan ‘A New Chapter’ di IOI City Mall, Putrajaya. |
Melengkapi konsep ruang jualan berwajah baharu ini ialah koleksi jam tangan FW26 yang mendapat inspirasi daripada warisan CERRUTI 1881 dalam menggabungkan kreativiti Itali dengan keanggunan Paris. Koleksi ini menampilkan rekaan kontemporari, perincian yang unik serta pelbagai bentuk dan gaya yang berbeza, sekali gus menawarkan pilihan jam tangan yang mencerminkan kepelbagaian cita rasa dan gaya peribadi.
Antara tarikan utama koleksi ini ialah CERRUTI 1881 Lucardo, jam tangan automatik lelaki yang menyerlah dengan rekaan berstruktur yang berani serta perincian mekanikal yang rumit. Lucardo menampilkan muka jam berlapis dengan rekaan terbuka yang memperlihatkan komponen mekanikal di dalamnya. Jam tangan ini menggabungkan elemen rekaan berinspirasikan gaya industri dengan kemasan yang elegan, termasuk perincian berwarna emas ros yang memberikan kontras menarik serta tali jam bertekstur unik. Rekaannya yang menonjol memberikan sentuhan moden kepada gaya lelaki yang sofistikated, khususnya bagi mereka yang menggemari aksesori dengan identiti tersendiri dan sesuai digayakan bersama pakaian formal mahupun kasual.
![]() |
| Barisan selebriti dan pempengaruh bergambar bersama pada majlis pelancaran semula kios CERRUTI 1881 bertemakan ‘A New Chapter’ di IOI City Mall, Putrajaya. |
Sementara itu, CERRUTI 1881 Norcia Mini menawarkan pilihan yang lebih anggun menerusi rekaan jam tangan wanita yang diinspirasikan daripada barang kemas klasik. Jam tangan ini menampilkan kerangka berbentuk bujur yang halus, bingkai muka jam bertatahkan kristal serta gelang logam berbilang pautan dengan perincian yang teliti. Gabungan elemen ini menghasilkan penampilan yang elegan dan sesuai digayakan untuk kegunaan harian mahupun acara istimewa. Antara variasi yang menarik perhatian ialah muka jam berwarna hijau zamrud dengan kemasan berkilau yang menyerupai pancaran cahaya matahari, dilengkapi perincian berwarna emas serta penanda waktu angka Rom. Gabungan elemen klasik dan sentuhan kontemporari ini menyerlahkan keunikan rekaan Norcia Mini.
Kehadiran Aedy Ashraf sebagai tetamu istimewa turut memeriahkan majlis pelancaran tersebut, sekali gus memperlihatkan hubungan antara fesyen, aksesori dan ekspresi gaya peribadi. Penampilannya selari dengan konsep koleksi yang menekankan keunikan gaya individu, khususnya menerusi rekaan Lucardo yang tersendiri. Ia turut memperlihatkan bagaimana jam tangan bukan sekadar aksesori untuk mengetahui waktu, malah menjadi pelengkap kepada penampilan dan gaya seseorang.
Mengulas mengenai Lucardo, Aedy Ashraf berkata, “Bagi saya, jam tangan bukan sekadar alat untuk melihat waktu, tetapi juga sebahagian daripada cara saya menampilkan gaya peribadi. Apa yang menarik perhatian saya tentang CERRUTI 1881 Lucardo ialah rekaannya yang berani serta perincian mekanikal pada muka jam yang begitu teliti. Saya sukakan rekaannya yang menonjol tanpa kelihatan keterlaluan, dan saya boleh bayangkan jam tangan ini digayakan dengan pakaian formal mahupun kasual.”
Diasaskan pada tahun 1967 oleh mendiang pereka fesyen Itali, Nino Cerruti, CERRUTI 1881 membina identitinya berteraskan keseimbangan antara tradisi dan inovasi. Bermula dengan pendekatan tersendiri dalam seni jahitan pakaian serta fesyen uniseks sehinggalah kepada koleksi kontemporari masa kini, jenama ini terus meneroka idea dan pendekatan rekaan baharu tanpa mengetepikan warisan yang menjadi asas identitinya.
Kios CERRUTI 1881 yang berwajah baharu terletak di Lot LG-K2, Aras Lower Ground, IOI City Mall, Putrajaya, dan menawarkan suasana membeli-belah yang lebih menarik untuk pelanggan meneroka pelbagai koleksi jam tangan serta aksesori jenama tersebut. CERRUTI 1881 Lucardo ditawarkan pada harga antara RM1,999 hingga RM2,099, manakala Norcia Mini berharga antara RM1,499 hingga RM1,559. Untuk maklumat lanjut mengenai koleksi jam tangan FW26, pelanggan boleh mengunjungi kios CERRUTI 1881 di seluruh Malaysia atau mengikuti A.D. Time Malaysia menerusi Instagram (https://www.instagram.com/adtimemy/) dan Facebook (https://www.facebook.com/adtimeMY/).
.png)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
Comments
Post a Comment