DRAMA PENUH MISTERI ‘BLACK’ KEMBALI UNTUK MUSIM KEDUA DI VIU


Viu, penyedia perkhidmatan streaming OTT (over-the-top) PCCW terkemuka di Malaysia, mempersembahkan musim kedua drama Viu Original Melayu yang berkisar tentang alam bunian, Black. Diadaptasi daripada drama Korea fantasi-seram karya CJ ENM dari Korea dengan judul yang sama, Black musim kedua versi Malaysia ini mula ditayangkan pada 10 Jun, secara eksklusif di Viu. 

Dengan lebih 45 juta pengguna bulanan aktif* dan operasi di seluruh Asia, Timur Tengah, dan Afrika Selatan, perkhidmatan streaming ini telah menyiarkan sembilan drama terbitan asli pengkarya Malaysia di bawah panji Viu Original, setakat ini. Tahun ini, Viu menayangkan beberapa drama bersiri melayu Viu Original, bermula dengan Black Musim kedua, dibintangi oleh pelakon asal musim pertama termasuk Kamal Adli, Siti Saleha, Nabila Huda, dan Zoey Rahman.


Musim pertama siri Viu Original ini ditayangkan pada Disember 2019, dan menerima sambutan hebat oleh peminat drama Melayu di Malaysia. Kamal Adli memegang watak Black, seorang penguatkuasa undang-undang alam bunian yang datang ke dunia manusia untuk memburu rakan setugasnya dan kemudiannya bertemu Sofia (Siti Saleha), wanita muda yang bermasalah tetapi memiliki keistimewaan yang membolehkannya melihat kematian melalui bayang-bayang seseorang. Kedua-dua watak ini terpaksa berdepan dengan satu demi satu misteri yang dikaitkan dengan orang yang mereka kasihi dan kisah silam yang mereka pernah kongsi bersama. Drama 8 episod yang cukup menghiburkan ini meraih dua kemenangan untuk Viu pada Anugerah Akademi Kreatif Asia dalam kategori Sinematografi dan Visual FX Terbaik, dan diakhiri dengan babak tergantung yang meninggalkan penonton tidak sabar untuk kepulangan Black.

Dalam musim baru ini, pemburuan Black ke atas bekas rakannya dipertingkatkan, malah siasatannya membawa beliau kepada beberapa kes pembunuhan yang tidak dapat diselesaikan, termasuk – yang paling mengejutkan – dirinya sendiri. Rahsia-rahsia menggerunkan dibongkar dengan kesan yang sangat buruk. Didorong oleh Sofia yang berani dan penyayang, Black yang dulunya angkuh dan pentingkan diri mendapati dirinya menentang ketidakadilan dan gigih menyelamatkan nyawa manusia bersama Sofia disisinya. Setelah menemui semula nilai-nilai kemanusiaan dalam dirinya, Black akhirnya terpaksa berdepan dengan hakikat sebenar bahawa, bertentangan dengan peraturan kumpulannya dan pendirian peribadinya sendiri, Black melakukan sesuatu yang dilarang – dan jatuh cinta.


Cik Sahana Kamath, Ketua Produksi Asli bagi Viu Malaysia dan Indonesia berkata, “Mengadaptasi judul Korea yang disukai ramai merupakan risiko yang dipertimbangkan oleh kami semua dan telah mencapai kejayaan lebih daripada kami jangkakan, dengan musim pertama meraih ulasan pengkritik dan diletakkan dalam kedudukan 10 siri paling ditonton di platform ini di Malaysia. Begitu banyak yang jadi pertaruhan dan penyempurnaan drama 10 episod ini pasti tidak akan mengecewakan para penonton. Sarat dengan kisah percintaan, pendedahan dan adegan aksi yang mendebarkan, Black musim kedua akan menjadi piawaian emas baharu bagi drama Melayu premium yang boleh kita jadikan penanda aras baru di rantau ini.”

Musim kedua Black yang ditunggu-tunggu ini diarahkan oleh Ghaz Abu Bakar dan Sein Qudsi. Ghaz merupakan pengarah filem berbakat yang telah memenangi anugerah untuk filem seperti Hantu Kapcai (2012), dan telah mengarahi francais filem yang cukup berjaya, Polis Evo pada 2015. Drama Melayu Black musim kedua ini diterbitkan oleh Independent Pictures, serta diterajui oleh produser veteran Zurina Ramli.



Episod pertama Black musim kedua kini boleh didapati di Viu, dengan dua episod baharu disiarkan setiap hari Khamis, mulai 10 Jun. Para penonton boleh menonton drama yang mendebarkan ini menerusi aplikasi Viu, yang boleh dimuat turun secara percuma di App Store, Google Play, dan TV pintar terpilih, dan juga laman web www.viu.com.

Comments

Popular posts from this blog

WESTLIFE BAKAL KEMBALI KE MALAYSIA UNTUK KONSERT WESTLIFE THE HITS TOUR 2024 DI RESORTS WORLD GENTING