NASKHAH ADAPTASI ‘LOVE, ELSA’ TARUHAN TERBAHARU ASTRO RIA


Drama bersiri ‘Love, Elsa’ ialah sebuah karya adaptasi novel dengan judul yang sama nukilan Acik Lana yang mengangkat genre fantasi cinta terbitan syarikat produksi Juita Viden Sdn Bhd. Drama 24 episod ini diarahkan oleh pengarah prolifik Michael Ang serta turut menampilkan Nadia Khan dan Mamu Vies selaku penulis skrip.

Drama ‘Love, Elsa’ bakal menemui penonton pada setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam mulai 15 Jun 2021 menerusi slot Megadrama secara secara eksklusif di saluran Astro Ria (104) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan platform On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.


Emarina Kamal, Pengurus Saluran Astro Ria berkata, “Berbeza dengan drama cinta yang biasa disajikan kepada penonton sebelum ini, keunikan naskhah ‘Love, Elsa’ terletak kepada konsep kisah cinta santai dengan suntikan elemen magis yang sering diketengahkan dalam drama Korea atau istilah lebih dekat, K-Drama. Penceritaan kisah cinta fantasi seperti ini pastinya memberi kelainan kepada para penonton yang pastinya tertunggu-tunggu buah tangan terbaharu daripada kami selepas berakhirnya drama sensasi ‘Rindu Awak Separuh Nyawa’.

Kesemua barisan pelakon yang membintangi drama ini juga telah memainkan peranan yang cukup bermakna dengan lakonan mantap yang mampu mengagumi khalayak penonton melalui pembawaan watak yang cukup berkesan. Drama ‘Love, Elsa’ juga menjanjikan paparan yang menarik dengan olahan plot penceritaan yang menyeronokkan.

Tambah menarik lagi, single terbaharu ciptaan penyanyi dan pelakon terkenal Marsha Milan featuring Fanzi Ruji Khan berjudul ‘Ika Noh’ juga turut diangkat menjadi lagu tema untuk drama bersiri ini.

Kami berharap gabungan kesemua elemen-elemen ini mampu meletakkan ‘Love, Elsa’ sebagai sebuah drama yang paling ditunggu sekaligus mencetuskan fenomena yang tersendiri di kalangan peminat drama Melayu. Semoga terhibur!”


Michael Ang, Pengarah Drama ‘Love, Elsa’ berkata, “Keunikan drama ‘Love, Elsa sebenarnya terletak kepada ‘chemistry’ lakonan di antara Zul Ariffin dan Uyaina yang merupakan penggerak utama yang memberi warna kepada drama ini.

Pada mulanya saya agak gementar kerana ‘chemistry’ di antara mereka agak lambat untuk muncul. Namun perasaan tersebut tidak lama kerana kegusaran tersebut terus hilang apabila kedua-dua teraju utama saya saling ‘memberi’ dan memudahkan keseluruhan penggambaran. Begitu juga dengan barisan pelakon lain yang masing-masing memberikan kerjasama penuh untuk mendapatkan hasil lakonan yang mantap.

Sepanjang penggambaran dijalankan, pelbagai cabaran pahit manis telah kami tempuhi bersama sebagai satu pasukan. Cabaran paling getir adalah kekangan masa dan keselamatan. Pihak produksi juga harus mengejar masa yang terhad kerana kesibukan jadual kerja Zul dan Uyaina yang banyak terikat dengan komitmen kerja yang lain.

Kekangan seperti ini memberi impak besar daripada segi jadual dan lokasi. Walau bagaimanapun, kami bersyukur kerana segala cabaran dapat diatasi dan penggambaran juga dapat diselesaikan seperti yang dirancang.”


SINOPSIS

Alahan? Kedengarannya seperti keadaan biasa yang berlaku pada banyak orang tetapi tidak kepadanya kerana ‘alahan’ itu mengubah hidupnya. Ammara alahan terhadap sentuhan manusia, setiap kali dia bersentuhan dengan kulit manusia lain, dia akan melihat masa lalu seseorang itu.

Alahannya menjadi seperti musibah bagi Ammara, penyakit itu tidak ada penawar atau ubat. Ammar membesar menjadi seorang gadis yang mengalami masalah kemurungan. Keluarganya tidak dapat menerima keadaannya dan membiarkannya bersendirian untuk menghadapi dunia.

Ketika Ridza muncul, hidupnya mula berubah. Dia mula bercakap dengan orang dan merasa gembira buat pertama kalinya dalam hidupnya. Ridza adalah satu-satunya rakan yang pernah dia ada. Ketidaksempurnaannya menjadi kekuatannya ketika dia menggunakan kelebihannya untuk menolong Ridza dalam menyelesaikan kes pembunuhan ayahnya. Satu demi satu misteri dapat diselesaikan olehnya.


Jangan lupa untuk menyaksikan Love, Elsa pada setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam mulai 15 Jun 2021 menerusi slot Megadrama secara secara eksklusif di saluran Astro Ria (104) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan platform On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Comments

Popular posts from this blog

SERTAI KEMERIAHAN ’HELLO NU SENTRAL’ BERSAMA BINTANG TERHEBAT TEMPATAN PADA 27 APRIL INI!

FIRETALK 2024 BY NOURUL DEPP KEMBALI SUNTIK MOTIVASI, UBAH MENTALITI

COMBAT BAZE MEMBAWA PENGALAMAN REKREASI PENUH AKSI DI MALAYSIA