BELLABOT DIPERKENALKAN DI PUSAT PERUBATAN SUNWAY

 

Pusat Perubatan Sunway (SMC) memperkenalkan empat “pekerja ala kucing” baharu di wad pediatrik pada minggu ini, yang membangkitkan keterujaan para pekerja dan pesakit.

Di Malaysia, BellaBot adalah yang pertama seumpamanya menyertai operasi hospital. Robot canggih ini akan membantu menghantar makanan tiga kali sehari kepada pesakit kanak-kanak dan penjaga mereka untuk makan tengah hari, minum petang dan makan malam. BellaBot mempunyai rak empat tingkat untuk menempatkan dulang makanan serta dilengkapi dengan fungsi penghantaran yang boleh disesuaikan di samping sistem navigasi untuk membolehkannya bergerak dengan selamat di sekitar wad dan juga pekerja lain.

Apabila tidak bertugas menghantar makanan, BellaBot mampu memberikan keceriaan kepada pesakit melalui fungsi ‘mod hari jadi’, yang menyaksikannya menghantar kek hari jadi sambil diiringi lagu hari jadi yang sungguh menghiburkan.

Selain daripada tugasnya di wad pediatrik, BellaBot juga dapat dilihat di lobi hospital sebagai Duta Lobi untuk membantu pelawat mencari arah di sekitar hospital yang kian bertambah besar. Buat masa sekarang, robot canggih ini dikendalikan dalam dua bahasa iaitu bahasa Inggeris dan Mandarin, selain berpotensi menambah lebih banyak lagi bahasa pada masa akan datang.

“Kami amat berbesar hati untuk menjadi hospital pertama di Malaysia yang menggunakan teknologi BellaBot. Kejayaan ini juga hadir tepat pada masanya selepas diiktiraf sebagai Syarikat Hospital Pintar Tahun 2021 oleh Frost & Sullivan dua bulan lalu. Dalam menghadapi cabaran COVID-19, kami komited untuk terus mencari kaedah inovatif bagi meningkatkan pengalaman pesakit di samping mengutamakan keselamatan dan kesejahteraan mereka,” kata Bryan Lin, Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Perubatan Sunway.

Beliau menambahkan, “Potensi pertumbuhan BellaBot sangat besar. Ini hanyalah permulaan. Kehadiran teknologi pintar seperti BellaBot dapat membantu pekerja kami memberi perhatian terhadap penjagaan pesakit, memenuhi lonjakan kapasiti sesama keperluan memuncak sekaligus meningkatkan kecekapan operasi secara keseluruhan.”

Memperkenalkan BellaBot, Pengurus Perkhidmatan Makanan Pusat Perubatan Sunway, Joanne Leow berkongsi pengalaman pasukannya mengalukan-alukan kaedah digital dalam mengendalikan perkhidmatan makanan, serta proses mengadaptasi anggota pasukan robot baharu tersebut dalam memenuhi keperluan hospital dan pesakit. Kami sangat gembira disediakan kemudahan menggunakan BellaBot untuk menghantar makanan kepada pesakit di wad. Kini, Bella adalah sebahagian daripada pasukan kami. Kami berharap teknologi ini merupakan batu loncatan ke arah lebih banyak lagi kaedah integrasi untuk berkhidmat dan menjaga pesakit dengan pengalaman yang serba baharu,” katanya.


Melabur dalam Penyelesaian Pintar Menghadapi COVID-19

Pusat Perubatan Sunway (SMC) komited dalam pelaburan yang mengintegrasikan teknologi hospital pintar dalam automasi proses robotik dan melaksanakan pelbagai inisiatif untuk meningkatkan prosedur operasi standard bagi kecekapan operasi, peralatan perubatan yang terkini, perkhidmatan penjagaan maya, pesanan makanan pesakit yang disesuaikan dan tempahan janji temu dalam talian.

Pada Mac 2020 semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang pertama, Pusat Perubatan Sunway bekerjasama dengan Sunway iLabs untuk membina Pod Pengujian COVID-19 tanpa sentuhan untuk membolehkan pekerja kesihatan menjalankan ujian terhadap kes yang disyaki dalam persekitaran yang lebih selamat.

Bukan itu sahaja, pada Januari tahun ini SMC menubuhkan Pusat Kawalan Teleperubatan 24 jam pertama negara, untuk membolehkan pesakit terus mendapatkan rundingan doktor dan pakar dari keselesaan serta keselamatan kediaman mereka.

Pada Mac 2021, Pusat Perubatan Sunway dijadikan Pusat Vaksinasi COVID-19 untuk Fasa 1 bagi Program Imunisasi Nasional yang menguruskan pemberian vaksin kepada petugas barisan hadapan perubatan di 12 hospital swasta. Hospital tersebut kini berada pada Fasa 3 program di bawah ProtectHealth dan terus berkhidmat untuk kemudahan rakyat sebagai Pusat Pemberian Vaksin Hospital Swasta (PPVHS). Pada Jun pula, SMC mengambil alih operasi di Pusat Konvensyen Sunway Pyramid yang dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mega untuk menjalankan vaksinasi kepada ribuan rakyat setiap hari bagi membantu negara dalam mencapai imuniti kelompok.

Comments

Popular posts from this blog

WESTLIFE BAKAL KEMBALI KE MALAYSIA UNTUK KONSERT WESTLIFE THE HITS TOUR 2024 DI RESORTS WORLD GENTING

LAGU 'BEGHAOK RAYA' MEMERIAHKAN LAGI SUASANA HARI RAYA TAHUN INI