VAKSINASI PEKERJA KUNCI KEPADA PEMULIHAN INDUSTRI HOSPITALITI
Memandangkan sekatan perjalanan telah berlanjutan terlalu lama, maka tidak hairanlah ramai pelancong tegar di Malaysia tidak sabar menunggu bila sempadan negeri akan dibuka semula. Malah, hampir semua orang tidak sabar untuk bertukar angin dengan mengunjungi tempat-tempat menarik bagi mencari ketenangan, memulihkan semangat dan bercuti bersama-sama dengan orang yang tersayang.
OYO Hotels & Homes baru-baru ini telah melakukan tinjauan bagi memahami perkembangan terkini sekitar perancangan, sikap serta trend perjalanan di kalangan rakyat Malaysia yang tidak sabar menunggu bila masanya perjalanan merentas negeri akan dibenarkan semula. Tinjauan yang melibatkan 380 responden dari seluruh Malaysia ini, turut menyoal apakah persepsi para responden mengenai standard keselamatan yang patut ditetapkan oleh penyedia penginapan dan pengendali kawasan tarikan pelancong, dan perkara lain yang menjadi keutamaan dalam senarai semak pelancongan mereka.
Standard Keselamatan yang Diperlukan
Hasil tinjauan tersebut jelas menunjukkan bahawa majoriti responden (83.7%) lebih selesa untuk menginap di hotel di mana semua pekerja telah divaksinasi sepenuhnya bagi mengekang Covid-19. Kebimbangan ini turut dibayangkan dalam maklum balas mengenai perasaan risau akan kemungkinan dijangkiti Covid-19 serta kebimbangan mengenai berlakunya kesesakan di kawasan tumpuan pelancong dan ketidakpatuhan SOP di kalangan pelancong-pelancong lain.
Pengumuman oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) baru-baru ini mengenai rangka kerja pemulihan sektor pelancongan dalam tiga fasa yang selaras dengan Pelan Pemulihan Negara, menekankan tentang keperluan untuk meningkatkan kadar vaksinasi di kalangan rakyat Malaysia dan meningkatkan kapasiti vaksinasi untuk petugas barisan hadapan pelancongan. Imunisasi adalah salah satu langkah penting ke arah melindungi semua petugas barisan hadapan hospitaliti dan para pelancong, dan pada masa sama dapat mengurangkan kebimbangan berlakunya jangkitan dan mewajarkan langkah kerajaan dalam melonggarkan sekatan yang selama ini telah membantutkan operasi sektor pelancongan dan hospitaliti akibat pelaksanaan PKP yang terlalu lama.
Merawat Kemurungan Akibat PKP
Rakyat Malaysia telah membuat pelbagai perancangan untuk melancong semasa mereka terperangkap di rumah, dengan 91.8% responden merancang untuk membuat perjalanan sebaik sahaja sempadan dibuka, di mana 77.1% memilih untuk melancong di dalam negara, di mana mereka telah menamakan Langkawi diikuti dengan Kota Kinabalu dan Genting Highlands sebagai destinasi utama tempatan idaman mereka.
Memandangkan usaha ke arah pemulihan industri pelancongan di Malaysia amat bergantung kepada pelancong tempatan, adalah penting untuk penyedia perkhidmatan hospitaliti mengetahui kesukaan para pelancong. Ramai di kalangan responden yang menyatakan minat untuk melancong demi kesejahteraan diri mereka, dengan 77.4% menyatakan mencari ketenangan dan memulihkan semangat sebagai tumpuan utama percutian mereka, memilih bersantai di pantai yang tenang sebagai aktiviti pilihan mereka, sambil berjemur di bawah sinaran matahari dan merendamkan kaki di dalam air laut yang menyegarkan. Sudah tentu, Program Destinasi Bebas Covid-19 anjuran MOTAC yang mencadangkan Langkawi dan Kuching sebagai destinasi rintis akan menarik minat ramai rakyat Malaysia yang tidak sabar untuk melancong sebaik sahaja mereka menerima vaksinasi penuh.
Merancakkan Semula Perniagaan
Tidak melupakan sumbangan ekonomi daripada pengembara perniagaan di Malaysia, 69.7% responden menyatakan keselesaan untuk menghadiri acara dan persidangan sebaik sahaja mereka dibenarkan merentas negeri. Walaupun mereka tidak menetapkan had saiz sesuatu acara itu, namun apa yang penting ialah penjarakan sosial yang sesuai mestilah dilaksanakan.
Pemulihan sektor acara perniagaan memainkan peranan penting dalam pemulihan ekonomi, apabila kita melihat pada tahun 2019, acara perniagaan menyumbang perbelanjaan langsung berjumlah RM3.9 bilion kepada negara dan menjana impak ekonomi berjumlah RM9.1 bilion.
Naib Presiden dan Ketua OYO Malaysia & Singapura, Tan Ming Luk berkata, “Pelancongan domestik adalah langkah segera yang amat diperlukan bagi memulihkan sektor pelancongan dan hospitaliti, kerana perbelanjaan pelancongan tempatan juga telah terjejas teruk, yang hanya mencatatkan pendapatan RM40.4 bilion pada tahun 2020 berbanding RM103.2 bilion pada tahun sebelumnya[2], akibat sekatan perjalanan.
“Di semua negara di mana kami memberikan perkhidmatan, kami melihat bahawa di mana-mana sahaja tempat yang lebih daripada 40% penduduknya telah menerima dos pertama vaksinasi, tempahan pelancongan mereka meningkat secara mendadak. (Setakat 15 Ogos, 52.3% rakyat Malaysia telah menerima dos pertama vaksin mereka). Kami menjangkakan perkara yang sama akan berlaku di Malaysia memandangkan ramai orang telah divaksinasi dan persekitaran yang lebih selamat telah diwujudkan untuk semua orang di Malaysia. Tinjauan ini jelas menunjukkan bahawa keyakinan pengguna untuk melancong semula dapat membantu merancakkan lagi pemulihan sektor perjalanan dan pelancongan.”
“Kami berharap rakyat Malaysia dapat menerokai semula keindahan yang ditawarkan oleh setiap negeri apabila sempadan negeri dibuka kerana ia memainkan peranan penting dalam pemulihan industri pelancongan dan hospitaliti. OYO bersedia berkhidmat untuk para pelancong dengan menyediakan penginapan yang selamat, mampu milik dan selesa di seluruh Malaysia apabila rakyat dibenarkan merentas negeri semula,” jelas Ming Luk.
Comments
Post a Comment