PERATUSAN PELAJAR WANITA DALAM PENDIDIKAN ONLINE SEMAKIN NAIK

 

Coursera, Inc. (NYSE: COUR), salah satu platform pembelajaran dalam talian terbesar di dunia, menerbitkan kajian baharu yang menghuraikan impak pandemik terhadap kemahiran dan trend pembelajaran dalam kalangan wanita. Laporan bertajuk ‘Wanita dan Kemahiran’ membandingkan data pendaftaran dan prestasi pra-pandemik dengan trend yang diperhatikan di platform Coursera, sejak tercetusnya wabak COVID-19 sehingga Jun 2021. 

Menurut data Coursera, kadar pembelajaran dalam talian wanita di Malaysia lebih tinggi berbanding era pra-pandemik, dengan peningkatan pelajar baharu daripada 42% pada tahun 2019 kepada 51% pada tahun 2021. Di samping itu, lebih ramai wanita turut menyertai program latihan sijil yang dikhususkan untuk jawatan peringkat kemasukan.

Krisis pengangguran akibat wabak ini mungkin memberi impak yang tidak seimbang ke atas wanita. Setakat Jun 2021, kadar penyertaan tenaga kerja wanita di Malaysia kekal stabil pada 55.2%, manakala trend bagi tenaga kerja lelaki mencatatkan peningkatan pada 81.6%. Sugguhpun demikian, peratusan wanita dalam pekerjaan digital masih ketinggalan.

Menurut Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), wanita kini menyumbang kepada 35% jumlah tenaga kerja ekonomi digital, sekaligus mencerminkan kenaikan memberangsangkan berbanding beberapa tahun lalu. Tambahan pula, pelajar wanita di Malaysia juga cenderung meningkatkan pelaburan dalam kemahiran baharu melalui platform Coursera walaupun berhadapan dengan keadaan pasaran tenaga kerja yang semakin mencabar.

“Kajian kami mendedahkan, meskipun jurang penggajian jantina semakin lebar, jurang jantina berkaitan pembelajaran dalam talian telah mengecil dalam tempoh wabak COVID-19,” kongsi Jeff Maggioncalda, Ketua Pegawai Eksekutif Coursera. “Kami gembira mengetahui bagaimana golongan wanita memanfaatkan pembelajaran dalam talian untuk mengembangkan kemahiran baharu yang dapat membantu merancakkan perjalanan mereka untuk kembali ke dunia kerja, selain memacu mobiliti ekonomi.”


Pemerhatian daripada Laporan ‘Wanita dan Kemahiran’ dalam konteks Malaysia termasuk:
  • Kadar peralihan wanita kepada pendidikan dalam talian lebih tinggi berbanding era pra-pandemik. Pada tahun 2021, lebih separuh (51%) pelajar baharu di Malaysia ialah wanita, berbanding dengan 42% pada 2019, sekaligus membawa kepada jumlah 190,000 pelajar wanita yang berdaftar dalam negara (45% daripada 410,000 jumlah keseluruhan pelajar di negara).
  • Lebih ramai wanita mendaftar untuk kursus Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) dan Sijil Profesional peringkat kemasukan. Pada keseluruhannya, peratusan pendaftaran kursus dalam kalangan wanita telah meningkat daripada 36% pada tahun 2019 kepada 45% pada tahun 2021. Dalam kursus STEM, jurang jantina telah mengecil daripada 29% pada tahun 2019 kepada 36% pada tahun 2021 dari segi pendaftaran wanita. Malah, pendaftaran wanita dalam Sijil Profesional peringkat kemasukan telah meningkat daripada 25% pada tahun 2019 kepada 32% pada tahun 2021. Sijil-sijil tersebut yang dikeluarkan oleh peneraju industri seperti Google, IBM dan Facebook, direka khas bagi mempersiap siagakan pelajar tanpa ijazah kolej atau pengalaman teknologi untuk pelbagai profesion digital yang berpermintaan tinggi.
  • Wanita Malaysia menunjukkan pelaburan seimbang antara kemahiran insaniah dengan kemahiran digital dalam kemahiran-kemahiran paling popular. 10 kemahiran paling popular daripada tahun lalu meliputi kemahiran kepemimpinan, seperti komunikasi (70,000 pendaftaran daripada wanita di Malaysia), pengurusan (50,000), keusahawanan (50,000) dan pemasaran (40,000). Wanita turut melabur dalam kemahiran STEM, seperti kebarangkalian dan statistik (50,000), pengaturcaraan komputer (40,000), dan pembelajaran mesin (40,000). Kursus-kursus paling popular yang mendidik kemahiran berkaitan pekerjaan serta kemahiran pengembangan sahsiah diri, termasuk The Science of Wellbeing daripada Yale University, Programming for Everybody (Getting Started with Python) daripada University of Michigan, Excel Skills for Business: Essentials daripada Macquarie University, Learning How to Learn from Deep Tech Solutions, dan Machine Learning daripada Stanford University.
  • Inovasi produk memacu penyertaan wanita dalam pembelajaran dalam talian. Peranti mudah alih sangat berkesan dalam menjamin fleksibiliti pembelajaran. 40% daripada pelajar wanita di Malaysia mengakses Coursera pada peranti mudah alih, berbanding dengan 41% lelaki. Faktor-faktor lain yang menyumbang kepada kenaikan pendaftaran wanita termasuk menyediakan kuiz latihan sebelum ujian yang mencabar, menyenaraikan kesalahan paling biasa bagi tugasan dengan ulasan sebaya (peer review), serta menyediakan ujian-ujian sepanjang kursus.
“Saya memperoleh ijazah sains komputer bersama hanya beberapa orang wanita yang lain. Meskipun banyak perubahan semenjak itu, kita masih perlu mempergiat usaha meningkatkan perwakilan wanita dalam teknologi dan kepemimpinan,” kata Betty Vandenbosch, Ketua Pegawai Kandungan di Coursera. “Akses ke pendidikan yang fleksibel dan relevan dengan pekerjaan, dapat melengkapkan wanita dengan kemahiran baharu yang diperlukan untuk profesion berpermintaan tinggi, di samping memperbetulkan keseimbangan jantina dalam tenaga kerja.”

Berbekalkan lebih 87 juta pelajar dan 5,000 kursus di platformnya, Coursera mempunyai antara kumpulan data yang terbesar untuk mengenal pasti dan mengukur trend kemahiran. Laporan ‘Wanita dan Kemahiran’ meliputi data daripada 40 juta pelajar baharu yang mendaftar dalam tempoh pendemik antara 1 Januari 2020 dan 30 Jun 2021.

Comments

Popular posts from this blog

SERTAI KEMERIAHAN ’HELLO NU SENTRAL’ BERSAMA BINTANG TERHEBAT TEMPATAN PADA 27 APRIL INI!

"CHECK, CONFIRM, CONSULT AND CHANGE" UNTUK MEMERANGI PRADIABETES

FIRETALK 2024 BY NOURUL DEPP KEMBALI SUNTIK MOTIVASI, UBAH MENTALITI