LIMA HARI, SATU MISI: MESRA MALL SATUKAN KOMUNITI DEMI KESIHATAN MENTAL
Mesra Mall sekali lagi membuktikan komitmennya terhadap kesejahteraan komuniti apabila berjaya melabuhkan tirai Kempen Kesedaran Kesihatan Mental 2025 yang berlangsung selama lima hari dari 8 hingga 12 Oktober. Inisiatif berimpak tinggi ini bukan sahaja menyatukan elemen sukan, kesihatan dan pendidikan, malah meneruskan legasi tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang dirintis oleh Suria KLCC sejak 2021.
Advokasi Kesihatan Mental di Arena Peruncitan
Kempen tahun ini mengangkat tema global “Access to Services: Mental Health in Catastrophes and Emergencies”, dan dilaksanakan melalui kerjasama erat antara Pejabat Pendidikan Daerah Kemaman, Kementerian Belia dan Sukan (KBS Daerah Kemaman), serta Hospital Kemaman.
Francis Tan, Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC Sdn Bhd, menyatakan:
“Melihat inisiatif ini berkembang dan membuahkan hasil dari tahun ke tahun, dan kini membawa impak maksima di Kemaman, adalah sesuatu yang amat membanggakan.”
Dr. Amran Japar, Ketua Jabatan Psikiatri Hospital Kemaman pula menambah:
“Kempen ini berjaya merapatkan jurang antara perkhidmatan kesihatan dan masyarakat. Sambutan terhadap bengkel dan pameran kesihatan menunjukkan keinginan yang tulen untuk mendapatkan ilmu dan sokongan.”
Sorotan Aktiviti Kempen Kesedaran Kesihatan Mental Mesra Mall 2025
Mesra Run dan Hari Sukan Negara
Kemuncak kempen berlangsung pada 11 Oktober dengan acara Mesra Run sejauh 5KM yang menghimpunkan hampir 1,000 peserta. Majlis perasmian disempurnakan oleh Francis Tan dan Cik Aziam Muhammad, Pengurus Besar Mesra Mall. Para pelari menerima kit eksklusif dan berpeluang memenangi lebih 50 hadiah menarik termasuk basikal MTB dan TV Pintar.
Pertandingan MesraActive
Bersama Pejabat Pendidikan Daerah Kemaman, pertandingan antara sekolah menyaksikan pelajar dari Kemasik dan Kerteh bersaing dalam futsal, badminton dan boling. Aktiviti ini berjaya memupuk semangat kerja berpasukan dan daya tahan dalam kalangan generasi muda.
Pameran Kesihatan Komuniti
Lobi Sukan Mesra Mall bertukar menjadi hab kesihatan dari 8 hingga 12 Oktober. Bersama Hospital Kemaman, pameran ini menawarkan pemeriksaan kesihatan percuma, konsultasi kesihatan mental, dan bengkel pengurusan stres yang mudah diakses oleh semua pengunjung.
Sokongan Komuniti dan Penaja
Kejayaan kempen ini turut disokong oleh rakan kongsi seperti TMC, Pasar Suri, F and N, Farm Fresh, Hush Puppies, Carlo Rino dan ramai lagi. Semangat kolaborasi ini mencerminkan kekuatan komuniti Kemaman dalam menjayakan inisiatif kesejahteraan bersama.
Pengurusan Mesra Mall merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua rakan kerjasama, penaja dan komuniti Kemaman atas sokongan padu mereka. Kempen ini bukan sekadar acara tahunan, tetapi satu gerakan berterusan untuk membina masyarakat yang lebih sihat, inklusif dan berdaya tahan.
Untuk info lanjut, sila layari laman web Mesra Mall - www.mesramall.com.my / www.facebook.com/MyMesraMall
Comments
Post a Comment