JOM TEBUS BAUCAR PELANCONGAN SELANGOR 2.0 DI SHOPEE 22 OKT INI!

 

Kerajaan Negeri Selangor meneruskan pemberian subsidi Baucar Pelancongan Negeri Selangor dengan edisi kedua tahun ini setelah edisi pertama yang diedarkan pada umum pada Januari lalu menerima sambutan yang hangat dari orang ramai. Baucar Pelancongan Negeri Selangor 2.0 merupakan salah satu insentif yang terkandung dalam Pakej Kita Selangor 2.0 yang telah diumumkan oleh Y.A.B. Dato’ Seri Amirudin Shari, Dato’ Menteri Besar Selangor pada 9 Jun 2021 yang memperuntukkan sebanyak RM 2.55 juta kepada industri pelancongan Negeri Selangor.

Dari jumlah tersebut, RM 1 juta diperuntukkan untuk Subsidi Baucar Pelancongan Negeri Selangor 2.0 merangkumi 10,000 unit baucar bernilai RM 100 setiap satu yang akan ditawarkan kepada umum di aplikasi e-dagang terkemuka; Shopee bermula 22 Oktober 2021 sehingga 31 Disember 2021, atau sehingga baucar pembelian habis ditebus.

Baucar Pelancongan Negeri Selangor 2.0 ini boleh digunakan untuk membeli lebih dari 170 pakej-pakej pelancongan menarik yang ditawarkan secara khusus oleh 35 Agensi Pelancongan Negeri Selangor yang mengambil bahagian dalam edisi kali ini. Tempoh perjalanan atau penggunaan baucar pula bermula dari 22 Oktober 2021 sehingga 30 Jun 2022.

Y.B. Tuan Hee Loy Sian, EXCO Pelancongan dan Alam Sekitar Negeri Selangor dalam sebuah kenyataan pada Majlis Pelancaran Baucar Pelancongan Negeri Selangor 2.0 pada 5 Oktober lalu berkata, “Adalah diharap agar Program Subsidi Baucar Pelancongan Negeri Selangor 2.0 dengan nilai peruntukan sebanyak RM 1 juta akan menjadi sebuah inisiatif yang signifikan ke arah membangunkan semula industri pelancongan Negeri Selangor, di ambang pandemik Covid-19 yang semakin menghampiri ke fasa endemik ini. Diharapkan juga, insentif ini akan membuka ruang dan peluang kepada penggiat industri pelancongan di Negeri Selangor dalam menjamin kelangsungan industri pelancongan Negeri, seterusnya menyokong Kempen "Pusing Selangor Dulu!" dan "Splendid Selangor; Take me Anywhere!" yang sedang giat dijalankan oleh Kerajaan Negeri Selangor melalui pihak Tourism Selangor”.

Terma dan syarat penebusan Baucar Pelancongan Negeri Selangor 2.0 di aplikasi Shopee adalah seperti berikut:
  1. Tempoh Kempen / Tempahan: 22 Oktober 2021 hingga 31 Disember 2021.
  2. Tempoh Perjalanan: 22 Oktober 2021 hingga 30 Jun 2022.
  3. Promosi: Dapatkan SATU (1) baucar bernilai RM100 dengan syarat Warganegara Malaysia dan memiliki Kad Pengenalan yang sah (MyKad), dan berumur 18 tahun ke atas pada tahun 2021.
  4. Setiap pengguna Shopee terhad kepada SATU (1) transaksi setiap baucar sepanjang Tempoh Kempen.
  5. Terhad kepada sejumlah 10,000 penebusan baucar sepanjang tempoh Kempen.
  6. Semua pembayaran harus dilakukan dengan fungsi ‘ShopeePay’ SAHAJA.
  7. Tiada baucar tunai atau kombinasi baucar penerimaan dari medium lain yang dibenarkan untuk setiap transaksi.
  8. Promosi akan dihentikan setelah jumlah baucar habis, atau pada masa tempoh Kempen berakhir, mana yang lebih awal.
  9. Promosi ini tidak sah dengan baucar, diskaun potongan atau promosi lain.
  10. Promosi tidak boleh ditukar atau diganti dengan produk lain atau wang tunai.
Inilah masanya untuk anda “Pusing Selangor Dulu!” susulan pengumuman pembukaan semula sektor pelancongan domestik Negara. Rebut peluang untuk tebus Baucar Pelancongan Negeri Selangor 2.0 dan terokai pelbagai segmentasi pelancongan Negeri Selangor menerusi pembelian pakej-pakej pelancongan Negeri ini. Gunakan untuk percutian akhir tahun anda atau simpan dan guna pada tahun hadapan sehingga akhir Jun 2022!



Kempen Pusing Selangor Dulu memberi penekanan kepada inisiatif promosi pelancongan domestik dengan melibatkan usahasama dengan penggiat industri pelancongan seperti pihak Hotel, Agensi Pelancongan, Media dan Syarikat Penerbangan. Tarikan pelancongan Negeri Selangor dapat dipromosikan secara lebih meluas menerusi Kempen ini yang giat dijalankan di laman digital dan media sosial rasmi Tourism Selangor di laman Facebook, Instagram, Twitter, aplikasi TikTok, dan saluran YouTube, dengan tandapagar #PusingSelangorDulu.

Untuk informasi lanjut, layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor di Selangor.Travel.

Comments

Popular posts from this blog

CARIAN TAHUN 2024: INILAH PERKARA YANG DICARI, DISAMBUT, DAN DIINGATI OLEH RAKYAT MALAYSIA

‘REAL MEN MALAYSIA: WIRA MERAH’- 8 SELEBRITI JALANI KEHIDUPAN SEBENAR JABATAN BOMBA DAN PENYELAMAT MALAYSIA