PEMPENGARUH DIGALAKKAN UNTUK AMALKAN KAWALSEDIA KENDIRI
Peranan warga pempengaruh media sosial (atau lebih dikenali sebagai influencer) dalam membentuk pendapat umum semakin ketara – terutamanya dari aspek tingkah laku pengguna. Ini adalah selari dengan capaian mereka yang luas serta hubungan langsung yang dibina dengan pengikut mereka. Hasil tinjauan sebuah kaji selidik oleh Statista dan Rakuten Insight pada Oktober tahun lepas yang meliputi 8,182 orang warganegara Malaysia, 59% daripada jumlah responden didorong untuk membeli sesuatu produk kerana ianya disokong oleh pempengaruh.
Walau bagaimanapun, kebelakangan ini, terdapat peningkatan jumlah kes yang membimbangkan di mana pengikut diperdaya pempengaruh melalui produk yang dipromosikan. Malahan ada juga pempengaruh yang terlibat secara langsung dalam penipuan atau scam. Kes-kes tersebut merangkumi pelbagai jenis penipuan seperti paparan iklan berbayar yang menyamar sebagai perkongsian ikhlas ataupun promosi produk kesihatan dan kecantikan yang diragui. Adalah jelas bahawa tingkah laku tidak beretika oleh pempengaruh boleh memberi kesan buruk bukan hanya kepada para pengguna tetapi juga boleh mengancam industri influencer secara keseluruhan.
Sehubungan itu, Forum Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Forum Kandungan) percaya bahawa kawalselia kendiri adalah cara terbaik untuk mewujudkan persekitaran dalam talian yang sihat untuk pencipta kandungan (content creator) dan juga pihak pengguna. Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Kod Kandungan) merupakan sumber rujukan terbaik bagi amalan kawalselia kendiri. Kod ini dirangka oleh Forum Kandungan pada tahun 2004, dan mengandungi garis panduan mengenai amalan terbaik dan piawaian etika untuk kandungan dalam ruang digital.
Kejujuran dan kebenaran adalah asas utama garis panduan Kod Kandungan untuk iklan. Selain mengelakkan tuntutan yang palsu, mengelirukan atau ditokok tambah, apa jua testimoni yang diberi haruslah tulen dan berkaitan pengalaman sendiri pempengaruh setelah menggunakan produk atau perkhidmatan berkenaan.
“Pempengaruh memiliki pengaruh sosial dalam komuniti mereka dan kepercayaan merupakan tunggaknya,” kata pengarah eksekutif Forum Kandungan Mediha Mahmood. “Pempengaruh yang tidak mendedahkan bahawa produk yang disyorkan oleh mereka adalah sebenarnya iklan berbayar, menidakkan hak pengguna untuk membuat pilihan berdasarkan maklumat yang tepat. Pengguna mungkin tidak sebegitu yakin untuk melakukan pembelian sekiranya mereka tahu pempengaruh dibayar untuk membuat kenyataan atau testimoni yang dikongksikan ",” tambah beliau.
Kawalselia kendiri juga boleh membantu pempengaruh mengelakkan kesan negatif yang mungkin timbul dari pendedahan amalan yang tidak bertanggungjawab. “Pempengaruh haruslah berhati-hati kerana hanya satu kesilapan sahaja boleh memberi kesan buruk terhadap segala usaha mereka selama ini. Ia boleh mencemarkan nama baik mereka selain mengakibatkan kehilangan mata pencarian sekaligus menjejaskan masa hadapan mereka dalam bidang ini,” jelas Mediha. “Memastikan bahawa sesuatu promosi boleh dikenalpasti sebagai promosi berbayar sememangnya ditetapkan sebagai satu syarat dalam hampir semua pasaran di dunia – berdasarkan prinsip asas ketelusan dan akauntabiliti.”
Memandangkan pempengaruh kini memainkan peranan penting dalam strategi pemasaran dan strategi pencapaian (outreach strategies), Mediha berpandangan bahawa kawalselia kendiri dapat melindungi para pempengaruh daripada diperdaya oleh segelintir pengiklan yang berniat untuk melanggar peraturan pengiklanan. Di samping itu, ia juga dapat menggalakkan jenama-jenama untuk memanfaatkan kuasa pemasaran melalui kaedah mulut ke mulut (word-of-mouth) tanpa menjejaskan kredibiliti kaedah ini. “Kami menggalakkan pempengaruh untuk terus giat meluaskan pengaruh mereka dan berinteraksi dengan orang ramai. Namun begitu, mereka harus memahami bahawa kuasa dan pengaruh yang mereka miliki wajar dimanfaatkan dengan cara yang bertanggungjawab dan tidak dieksploitasi,” nyata Mediha.
Forum Kandungan kini sedang menjalankan runding awam di peringkat kebangsaan bagi mengumpulkan maklum balas masyarakat tentang cadangan meminda Kod Kandungan. Antara pindaan yang dicadangkan adalah garis panduan yang menggalakkan pempengaruh untuk memberi makluman tentang promosi berbayar, dan juga meningkatkan perlindungan terhadap kanak-kanak bawah umur daripada dimanipulasi oleh pengiklan. Orang awam digalakkan untuk memberi maklum balas menerusi rundingan awam ini bagi memastikan Kod Kandungan versi 2021 mengambil kira keperluan dan kepentingan para pengguna. Untuk maklumat lanjut tentang rundingan awam ini, orang awam juga boleh layari laman web Forum Kandungan di pautan ini: www.contentforum.my.
Feature photo by: Woman photo created by freepik - www.freepik.com
Comments
Post a Comment