ATLAS VENDING PERKENALKAN MESIN LAYAN DIRI BRAILLE PERTAMA


ATLAS Vending, pengendali mesin layan diri makanan dan minuman terbesar di seluruh Malaysia dan Singapura, mencipta sejarah menerusi kerjasama dengan Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) bagi melancarkan program rintisnya untuk menempatkan mesin-mesin layan diri yang menampilkan ciri-ciri bantuan tambahan bagi membolehkan akses oleh pelanggan kelainan upaya penglihatan. Program yang pertama seumpamanya ini menampilkan mesin layan diri yang diiktiraf oleh Malaysia Book of Records sebagai mesin layan diri Braille pertama di Malaysia. Usaha ini selaras dengan sasaran ATLAS Vending untuk mengurangkan halangan yang dialami oleh komuniti kelainan upaya penglihatan, seperti akses yang terhad kepada mesin layan diri yang menjual minuman di tempat-tempat awam. ATLAS Vending menyasarkan untuk terus meningkatkan akses bagi golongan yang mempunyai keperluan khas ini, untuk menambah baik pengalaman membeli mereka.

11 mesin layan diri yang dilancarkan dalam program rintis ini diletakkan di sekitar stesen LRT, termasuk di sekitar Brickfields. Pemilihan lokasi tersebut dilakukan melalui rundingan dengan MAB yang telah mengenal pasti lokasi yang sering dilalui oleh komuniti kelainan upaya penglihatan ketika mereka berulang-alik ke MAB bagi tujuan kerja atau menghadiri aktiviti sosial. Bagi memudahkan akses, mesin layan diri tersebut telah dilengkapi dengan plat Braille, petunjuk bercahaya dan alat pengimbas gerakan yang akan mengaktifkan arahan audio secara automatik. Ciri-ciri bantuan tambahan pada mesin layan diri berkenaan telah direka bentuk dan diuji dengan kerjasama pasukan Akses MAB, yang pakar dalam menilai fungsi akses untuk golongan kelainan upaya penglihatan. Hal ini adalah penting bagi memastikan ciri-ciri istimewanya benar-benar dapat memenuhi keperluan pengguna kelainan upaya penglihatan. Mesin ini juga masih mengekalkan ciri-ciri biasa untuk kegunaan pelanggan-pelanggan lain.

Di Malaysia, Tinjauan Mata Kebangsaan (NES) yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan mendapati bahawa prevalens penglihatan kabur di kalangan populasi umum Malaysia ialah 2.44%, manakala prevalens kebutaan adalah 0.29% daripada keseluruhan populasi. Ini bermakna, kini dianggar terdapat seramai 800,000 rakyat Malaysia yang mengalami penglihatan separa, manakala hampir 95,000 adalah buta. Untuk penduduk yang mempunyai penglihatan separa, mereka mungkin masih boleh melihat warna dan cahaya, serta pergerakan dan bentuk. Oleh itu, petunjuk bercahaya pada mesin-mesin tersebut sangat membantu sebagai alat bantuan tambahan, selain daripada penggunaan plat Braille dan arahan audio untuk semua pengguna kelainan upaya penglihatan.

“Di ATLAS Vending, kami berasa amat gembira kerana kerjasama ini telah membuahkan hasil selepas berbulan lamanya kami berganding bahu dengan pasukan di MAB, daripada fasa konsep hinggalah kepada pengujian prototaip, dan pelancaran mesin yang sebenar. Pada setiap langkah, maklum balas serta cadangan daripada pasukan MAB telah dikaji dan diterima pakai bagi memastikan reka bentuk akhir mesin tersebut benar-benar dapat memberi kemudahan kepada pelanggan kelainan upaya penglihatan. Perincian seperti kelajuan suara arahan audio dan warna petunjuk bercahaya menjadi panduan penting bagi kami dalam membantu pasukan teknologi ATLAS Vending menambah baik reka bentuk fizikal dan ciri-ciri perisian. Di ATLAS Vending, kami telah menjalankan perniagaan menyediakan penyelesaian mesin layan diri selama lebih 40 tahun, oleh itu inisiatif untuk memperbaiki inklusiviti melalui usaha untuk terus meningkatkan akses dengan menggunakan teknologi adalah satu pencapaian penting bagi kami,” Ketua Pemasaran & Perniagaan Sokongan ATLAS Vending, Amy Gan.

Ketua Pegawai Eksekutif MAB, George Thomas menambah, “Di MAB, salah satu daripada matlamat organisasi kami ialah mendidik dan mewujudkan peluang yang saksama untuk orang kelainan upaya penglihatan, bagi membolehkan mereka menikmati kualiti hidup sama seperti orang lain. Kami gembira kerana berpeluang untuk bekerjasama dengan ATLAS Vending dalam membangunkan teknologi bantuan tambahan untuk mesin layan diri ini. Ramai yang tidak menyedari bahawa tanpa teknologi yang direka bentuk secara khusus untuk golongan kelainan upaya penglihatan seperti ini, mereka terpaksa berdepan dengan halangan semasa melakukan aktiviti yang nampak mudah bagi orang biasa, seperti membeli minuman daripada mesin layan diri tanpa memerlukan bantuan.”

Mesin layan diri tersebut akan menawarkan beberapa pilihan minuman botol dan tin kegemaran rakyat Malaysia dan menampilkan arahan audio sebagai panduan untuk membeli minuman, serta meyediakan pilihan pembayaran secara tunai dan tanpa tunai. Sempena kerjasama di antara ATLAS Vending dan MAB, ATLAS Vending turut menyumbangkan RM10,000 kepada Tabung Kempen Covid-19 MAB yang menyasarkan untuk membantu komuniti buta, terutama sekali mereka yang kehilangan sumber pendapatan akibat pandemik ini ekoran pelaksanaan PKP.

Eksekutif Aksesibiliti dan Advokasi MAB, Siti Huraizah Ruslan yang juga ahli jawatankuasa Pertubuhan Orang Cacat Penglihatan Malaysia (SBM) mengulas, “Komuniti kelainan upaya penglihatan dan buta sentiasa berdepan dengan pelbagai cabaran dalam kehidupan seharian. Oleh itu, adalah penting bagi kami untuk mencari jalan agar kami dapat berdikari dan menjalani kehidupan normal sebaik mungkin. Kolaborasi dan kerjasama dengan perniagaan dan pertubuhan yang sedia membantu seperti ATLAS Vending ini adalah sangat penting kerana kami perlu memberikan maklum balas dari sudut pandang peribadi kami sendiri serta daripada ahli persatuan kami. Saya gembira kerana dapat menjadi sebahagian daripada pelancaran pertama ini dan saya berharap agar dapat terus bekerjasama dengan ATLAS Vending dalam usaha mereka untuk memasang lebih banyak lagi mesin layan diri dengan ciri-ciri bantuan tambahan di masa depan.”

“Di ATLAS Vending, kami akan terus memastikan bahawa mesin layan diri kami dilengkapi dengan teknologi yang tepat bagi memperbaiki lagi pengalaman pengguna, termasuk inisiatif pertama kami untuk membawakan teknologi bantuan tambahan kepada komuniti kelainan upaya penglihatan. Kami amat berbangga kerana dapat melancarkan 11 mesin layan diri Braille pertama untuk pelanggan kelainan upaya penglihatan di Malaysia di sekitar Lembah Klang dan berharap untuk terus memperluaskan lagi pelancarannya ke tempat-tempat yang ada permintaan atau wujud keperluan daripada komuniti berkenaan,” tambah Gan lagi.

Comments

Popular posts from this blog

IQIYI MEMPERSEMBAHKAN DRAMA BERSIRI TERBAHARU ‘SENYAWA’ LAKONAN MANTAP TRISHA OOI, SHAHZ JASZLE & SITI HARIESA

APAKAH RISIKO MAKANAN DIPROSES BERLEBIHAN YANG WAJIB DIKETAHUI?

NESTLÉ MALAYSIA DAN BSMM BERGANDING BAHU MEMBANTU PENDUDUK TERJEJAS BANJIR : 5,000 KOTAK BARANGAN MAKANAN ASAS DISEDIAKAN BARISAN SUKARELAWAN