TIKTOK MEMPERKENALKAN FATIA, ARTIS TIKTOK PERTAMA


TikTok, destinasi utama untuk video pendek mudah alih, telah melebarkan sayap dalam industri muzik dengan mengumumkan artis global pertamanya dari Malaysia, Fatia serta single sulung beliau, My World Too.

Dikenali sebagai @thisisfatia di TikTok, Fatia merupakan gadis berusia 21 tahun dari Kuala Lumpur yang mencintai muzik dan meraih pengikut menerusi video duet nyanyiannya di TikTok. Dibesarkan dalam persekitaran irama pop, rock klasik dan musikal, bakat muzik Fatia telah diasah sedari usia muda. Beliau mendapat galakan penuh daripada ibu bapanya dan mula menyedari akan bakat yang ada semasa membuat persembahan koir dan pengucapan berirama di sekolah menengah. Alunan suaranya yang lembut namun bertenaga dalam video nyanyian semula beliau yang dirakam di bilik tidurnya telah menarik perhatian TikTok. Dengan kekuatan vokal dan persona yang meriangkan, kehadiran Fatia dan komuniti di TikTok terus berkembang setiap hari.

“TikTok telah mempelopori platform pencarian muzik, dengan membuka peluang terhadap penemuan ramai artis dan genre baharu. Kami amat teruja dengan kehadiran Fatia sebagai artis pertama di dunia yang bernaung di bawah TikTok! Dalam pada TikTok terus mencipta nama sebagai lubuk bagi bakat muzik, kami juga komited untuk terus menyokong persada muzik tempatan serta memberi platform kepada artis berbakat seperti Fatia bagi mengetengahkan bakat mereka di mata dunia. Apatah lagi misi kami adalah untuk sentiasa membawa kegembiraan kepada komuniti melalui kreativiti serta ekspresi tanpa had,” kata Sheau Mei Cheah, Ketua Pemasaran Muzik Asia Tenggara TikTok.

Lagu ini dihasilkan berdasarkan pengalaman Fatia sendiri yang mencari keberanian untuk membebaskan diri daripada pandangan masyarakat dan kembali menjadi lebih kuat daripada sebelumnya. Diilhamkan oleh gaya vokal ratu pop seperti Taylor Swift, Ariana Grande dan juga artis Malaysia sendiri, Yuna, My World Too menyeru masyarakat untuk sentiasa menjadi diri sendiri serta berani mengukir perjalanan hidup masing-masing.


Fatia berkata, “Debut ini merupakan langkah pertama saya secara profesional dalam industri muzik dan saya teruja dengan apa yang menantikan saya. TikTok telah memainkan peranan penting dalam mengangkat bakat saya, justeru itu saya amat berbesar hati apabila menjadi artis pertama yang bernaung di bawah TikTok. Sejujurnya, saya memuat turun aplikasi TikTok semasa pandemik untuk “mengekspresikan diri” tanpa terlintas walau sedikit pun tindakan tersebut akan membawa saya sejauh ini! Saya sungguh bersyukur atas peluang yang diberikan.”

My World Too digubah dan ditulis oleh komposer lagu terkemuka Malaysia, Aubrey Suwito yang juga telah menghasilkan karya klasik Malaysia seperti Gemilang serta Layarlah Kembali. Lagu ini menandakan kerjasama kedua Suwito dengan TikTok, selepas pelancaran Perihal Dirimu pada awal tahun ini antara artis Malaysia, Haikal Farid dan penyanyi merangkap pencipta lagu dari Indonesia, Weswey.Prapelancaran eksklusif My World Too di TikTok adalah pada 19 November dan tersedia di semua platform penstriman digital mulai 26 November 2021. Bukan itu sahaja, malah sebuah filem pendek eksklusif juga akan dikeluarkan pada 24 November, untuk dinikmati semua! Cabaran tanda pagar #MyWorldToo memberi peluang kepada pengguna untuk menyerlahkan bakat mereka menggunakan efek filter, dalam menggalakkan lebih ramai pengguna mencungkil kelebihan masing-masing.

Muat turun atau layari aplikasi TikTok sekarang untuk mengenali Fatia dan mendengar My World Too. TikTok tersedia secara percuma di iOS dan Android melalui Apple Store, Google Play Store serta Huawei AppGallery.

Comments

Popular Posts