Fakta Penjagaan Tulang Belakang Wanita Hamil


Sakit belakang yang golongan wanita sering alami ketika hamil merupakan sesuatu yang lazim. Ia berlaku kerana tubuh seorang wanita akan berubah bagi menampung tumbesaran bayi kandungan mereka. Kajian demi kajian menunjukkan bahawa sekitar 50 hingga 80 peratus ibu mengandung mengalami masalah sakit pinggang ketika hamil. Oleh itu, penjagaan kesihatan tulang belakang menjadi lebih penting dalam setiap peringkat kehamilan seorang wanita.

Antara punca-punca sakit belakang di kalangan wanita hamil adalah kenaikan berat badan, perubahan postur, perubahan hormon, serta stres. Berat badan wanita yang hamil lazimnya akan bertambah sekitar 11 hingga 16 kg, sekaligus menambah beban pada tulang belakang mereka. Kehamilan juga akan mengubah pusat graviti seorang wanita kerana mereka akan menyesuaikan postur dan pergerakan untuk menampung perut mereka yang semakin membesar.

Tambahan lagi, tubuh wanita menghasilkan hormon relaksin ketika hamil yang membolehkan ligamen di kawasan pelvis dan sendi mereka menjadi lebih longgar sebagai persediaan untuk proses kelahiran. Ia membolehkan ligamen tersebut menyokong tulang belakang yang mengendur, lalu menjurus kepada ketidakstabilan dan kesakitan. Tekanan emosi juga boleh menyebabkan ketegangan otot di bahagian belakang badan, yang mungkin akan dirasai sebagai kesakitan atau kekejangan.

Bagaimanapun, tiada istilah “terlalu lambat” atau “terlalu awal” bagi wanita untuk melindungi tubuh mereka daripada komplikasi sakit pinggang ketika hamil.

Mempersiapkan Tubuh Anda Sebelum Hamil

Wanita boleh mencegah atau mengurangkan sakit belakang sebelum mereka hamil dengan menguatkan tubuh mereka – terutamanya anggota kaki, abdomen, dan bahagian belakang badan – menerusi senaman yang dilakukan secara bersederhana. Sebelum hamil, para wanita seharusnya mengambil langkah penjagaan prakehamilan yang meliputi konsultasi dengan doktor untuk merangka pelan, selain berbincang mengenai pelbagai jenis teknik senaman untuk mempersiapkan tubuh mereka bagi menampung beban kehamilan.

Sesetengah senaman seperti berjalan atau mengayuh mesin basikal selama 20-30 minit sehari dapat membina kekuatan kaki, begitu juga dengan pelbagai senaman ringkas yang dapat menguatkan otot abdomen untuk menampung beban perut selain melindungi tulang belakang apabila proses kehamilan mula menginjak peringkat demi peringkat. Dengan memiliki kekuatan ini, tubuh kita dapat mengekalkan keselarian dan keseimbangannya ketika perut mula membesar dan menarik pinggang ke hadapan.

Mengurus Sakit Belakang Ketika Hamil

Setelah seorang wanita hamil, risiko sakit belakang akan tercetus. Ia biasanya berlaku ketika bulan kehamilan yang kelima hingga ketujuh, malah turut berpotensi untuk bermula lebih awal. Lazimnya, kesakitan akan mula dirasai sekitar minggu ke-18 dan akan memuncak pada minggu kehamilan yang ke-24 hingga ke-36. Ketika fasa ini, wanita hamil harus mengamalkan tabiat yang sihat untuk memastikan tubuh mereka diberi sokongan yang sebaiknya.

Untuk mencegah atau meringankan masalah sakit belakang ketika mengandung, wanita patut memantau kenaikan berat badan, mengamalkan diet yang sihat, serta bekerjasama dengan pakar obstetrik-ginekologi (OB) untuk memelihara berat badan yang disyorkan untuk mengecapi proses kehamilan yang sihat. Penjagaan postur yang disokong dengan kaedah yang ergonomik ketika duduk atau berdiri juga akan membantu meringankan beban pada pinggang. Postur tidur secara mengiring dengan penggunaan bantal sokongan yang diletakkan di antara lutut, di bawah abdomen atau di bahagian belakang badan juga disarankan ketika mengandung.

Selain itu, elakkan penggunaan kasut tumit tinggi dan selipar. Dapatkan kasut baharu jika saiz kasut anda berubah ketika hamil, cuba gunakan kasut tumit rendah dengan sokongan arkus untuk membantu tulang belakang mengekalkan lengkungannya yang betul. Di samping itu, senaman juga merupakan langkah pencegahan yang penting untuk masalah sakit belakang tapi hadkan aktiviti berintensiti tinggi. Berjalan, berenang atau yoga merupakan senaman yang efektif untuk membina kekuatan pelvis, pinggul, dan pinggang ketika hamil, tapi lebih baik jika anda mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu mengenai cara untuk bersenam dengan selamat ketika hamil.

Akhir sekali, pengurusan stres ketika hamil juga mempunyai kelebihannya dari segi fizikal dan emosi. Urutan pranatal, meletakkan pad panas pada pinggang, dan melebihkan rehat juga merupakan kaedah yang ideal untuk mengurus stres di samping menyokong kesihatan tulang belakang.

Kebanyakan wanita menganggap beban pada belakang mereka merupakan sebahagian daripada proses kehamilan yang tidak dapat dielakkan, dan mereka tidak berusaha untuk mencegah atau merawatnya – tanggapan ini salah sebenarnya. Jika anda mengalami sakit belakang yang teruk ketika hamil atau sakit belakang yang berlarutan lebih daripada dua minggu, anda patut merujuk pembekal perkhidmatan kesihatan anda. Doktor boleh mendiagnos dengan tepat punca kesakitan dan merangka protokol rawatan serta terapi yang sesuai untuk membantu anda menghindari atau mengurangkan sakit pinggang.

Penjagaan Pascakehamilan

Kesakitan yang berlarutan atau yang baru dialami pada bahagian pinggang selepas kehamilan, juga disebut sebagai sakit belakang postpartum, biasanya akan surut selepas 6 bulan setelah anak dilahirkan, namun ia boleh berterusan lebih lama. Majoriti wanita yang merasai sakit belakang postpartum mengalami simptom komplikasi ini akibat perubahan yang disumbang oleh kehamilan pada sistem rangka otot yang berlarutan selepas melahirkan anak.

Kesakitan ini biasanya dialami ketika melakukan aktiviti yang melibatkan pergerakan badan, seperti berjalan, mengangkat, membongkok, atau mendukung bayi, dan ia boleh diredakan dengan berehat, bersenam, dan melakukan rawatan di rumah. Berikut merupakan tip pencegahan sakit belakang buat para ibu baharu:
  • Mulakan rutin senaman seawal yang mungkin setelah melahirkan anak untuk mengembalikan tona otot abdomen dan belakang. Jika boleh, cuba kecapi semula berat badan normal anda dalam tempoh enam bulan selepas melahirkan anak.
  • Elakkan memusing badan anda terlalu kerap. Hampirkan bayi anda ke dada sebelum mengangkat, jangan unjurkan tangan untuk mengangkat bayi. Untuk mengangkat bayi dari lantai, bengkokkan lutut (bukannya pinggang), cangkung, tegangkan otot perut anda, dan angkat menggunakan otot kaki.
  • Sakit belakang yang berlaku di bahagian atas boleh diakibatkan oleh aktiviti penyusuan, ia dapat ditangani dengan merapatkan bayi ke dada dan bukannya membongkok ke arah bayi. Gunakan kerusi menegak dan bukannya sofa lembut agar tulang belakang anda dapat diberikan sokongan yang lebih baik.
Para ibu baharu biasanya membelakangkan keselesaan mereka – masa, tenaga, dan perhatian mereka ditumpukan ke atas bayi. Jika anda gagal merawat simptom sakit belakang ia boleh menjurus kepada kesakitan kronik, selain menjejaskan kualiti hidup anda. Wanita digalakkan untuk mendapatkan rawatan bagi menangani simptom dan masalah yang dialami. Dengan mengatasi masalah sakit belakang selepas melahirkan anak, para ibu baharu boleh menjaga anak mereka dengan lebih efektif di samping menikmati pengalaman keibuan mereka dengan lebih bahagia.

Sekiranya sakit belakang anda tidak surut, rujuk doktor anda untuk mengetahui sama ada ujian atau rawatan tambahan patut dilakukan.

Dr Lim Sze Wei

Artikel ihsan Dr. Lim Sze Wei, Pakar Bedah Ortopedik, Tulang Belakang & Trauma, ALTY Orthopaedic Hospital 

Comments

Popular posts from this blog

SERTAI KEMERIAHAN ’HELLO NU SENTRAL’ BERSAMA BINTANG TERHEBAT TEMPATAN PADA 27 APRIL INI!

"CHECK, CONFIRM, CONSULT AND CHANGE" UNTUK MEMERANGI PRADIABETES

FIRETALK 2024 BY NOURUL DEPP KEMBALI SUNTIK MOTIVASI, UBAH MENTALITI