BOH TERIMA PENGIKTIRAFAN JENAMA TERBAIK WORLD BRANDING AWARDS

 


BOH Plantations Sdn Bhd (BOH), penanam teh terkemuka dan jenama teh pilihan di Malaysia, telah dinamakan sebagai Jenama Terbaik 2021-2022 bagi kategori Teh di World Branding Awards, anugerah berprestij yang berpangkalan di London.

Dikenali sebagai satu penganugerahan global yang unggul, World Branding Awards memberi pengiktirafan kepada jenama-jenama terbaik dunia atas usaha dan pencapaian mereka. Pemenang anugerah dinilai berdasarkan penilaian jenama, pengundian pengguna dalam talian dan penyelidikan pasaran.

Bagi BOH, kemenangan ini adalah sumbangan peminat-peminat teh BOH “yang menginspirasikan jenama itu untuk terus berkongsi pengalaman Ummph dengan secawan teh BOH yang lazat. Ada BOH, Ada Ummph adalah satu frasa yang sinonim dengan teh BOH dan menggambarkan koleksi tehnya yang tersendiri dengan rasa yang menyerlah dan penuh aroma,” kata Aina Ramly, Timbalan Ketua Pemasaran, BOH Plantations.

Legasi Teh Malaysia

Legasi BOH bermula pada tahun 1929 apabila J.A. Russell, seorang usahawan berpandangan jauh, menyedari adanya permintaan terhadap teh berkualiti tinggi. Beliau terus mendapatkan sebidang tanah yang terletak 1,500 meter dari aras laut di Cameron Highlands, yang juga merupakan antara kawasan pertanian yang paling subur di negara ini. Di situ, beliau telah mewujudkan taman teh BOH yang pertama, dan sejak itu, segalanya menjadi satu sejarah.

Kini, setelah lebih 90 tahun berlalu, keluarga Russell meneruskan visi beliau.

Merupakan antara beberapa syarikat di dunia yang menanam, memproses, membungkus dan memasarkan sendiri jenama teh tanah tinggi tulen, BOH menyediakan teh segar ‘daripada pokok teh ke cawan’ dan telah menerima pelbagai pengiktirafan industri untuk standard tertinggi dalam kualiti produknya.

BOH memiliki 1,200 hektar kebun teh dan menghasilkan lebih 4.5 juta kilogram teh setiap tahun atau 5.5 juta cawan teh setiap hari. Dengan peredaran masa, BOH telah mempelbagaikan pilihan teh, daripada satu kebun teh tunggal kepada gabungan istimewa, untuk memenuhi pilihan dan cita rasa berbeza rakyat Malaysia dan peminat-peminat teh di seluruh dunia.

Pilihan terbaik BOH termasuk Cameronian Gold Blend, Garden Teas, Malay Herbs, Seri Songket dan Spa Infusions. Kebanyakan koleksi ini juga telah dipek khas, sesuai sebagai hadiah unik. Selain daripada teh hitam BOH yang terkenal, ia juga menyediakan teh berperisa, teh hijau, teh herba dan buah-buahan, campuran teh segera, campuran teh ais dan teh daripada sumber kebun tunggal.

Antara pilihan lazat teh BOH

Satu Pengalaman Deria

Di Sungei Palas, Cameron Highlands, BOH menawarkan pengalaman deria ‘penemuan teh’ yang benar-benar unik menerusi Pusat Teh BOH. Sebuah destinasi terkemuka yang menerima pelbagai pengiktirafan, Pusat Teh ini sering menjadi pilihan pengembara tempatan dan antarabangsa. Di sini, para pengunjung boleh menikmati pengalaman menenangkan ketika duduk di teres-teres dengan panorama ladang teh yang terbentang luas sambil menghirup secawan segar teh BOH dalam suasana dingin. Selain itu, pengunjung juga boleh melawati Kedai BOH untuk membeli pulang teh BOH kegemaran mereka.

Dikenali sebagai Home of BOH, Pusat Teh BOH telah diubah suai dua tahun lalu dengan tambahan sayap baharu yang dikenali sebagai Tristan’s Terrace sebagai menghargai jasa bekas Pengerusi BOH yang paling lama berkhidmat. Menerusi penambahan ini, Pusat Teh ini mampu menerima lebih ramai pengunjung serta menyediakan lebih banyak kemudahan yang berhadapan dengan keindahan panorama ladang-ladang teh BOH. Pada masa sama, tarikan ini juga dapat menyokong initiatif pelancongan Cameron Highlands.

Pusat Teh BOH yang memenangi anugerah merupakan antara destinasi tumpuan pelancong tempatan dan asing di Cameron Highlands

Mengembalikan Jasa Khazanah Alam

“Sebagai pengeluar teh, BOH sedar bahawa kehidupan dan kelangsungan perniagaan kami bergantung pada tanah subur dan cuaca dingin Cameron Highlands yang amat sesuai untuk penanaman teh. Oleh demikian, kemampanan teguh menjadi nilai teras perniagaan kami. BOH sentiasa berusaha melaksanakan amalan perniagaan yang bersifat mesra alam dan memastikan pembungkusan teh kami menggunakan lebih banyak bahan yang boleh dikitar semula dan dibiodegrasikan untuk mengurangkan sisa dan memelihara alam sekitar. BOH proaktif mengubah pembungkusan kami kepada penggunaan kotak boleh dikoyak bagi menyingkir penggunaan pembalut plastik. Uncang teh kami juga dibuat daripada bahan boleh dikitar semula,” tambah Aina.

Program-program Tanggungjawab Korporat BOH juga melibatkan sokongan terhadap pemeliharaan alam sekitar dan haiwan. Ia telah menjalin kerjasama dengan beberapa organisasi dan badan bukan kerajaan seperti Tropical Rainforest Conservation and Research Centre (TRCRC), Global Environment Centre (GEC), WWF-Malaysia dan Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) untuk menyokong inisiatif kelestarian dan menggalakkan masyarakat umum untuk meningkatkan usaha pemeliharaan alam dalam komuniti.

Bagi menyokong usaha kesenian, BOH telah menjadi penaja utama BOH Cameronian Arts Awards sejak diwujudkan pada tahun 2002.

BOH - Dalam menyokong usaha pemuliharaan alam sekitar

Untuk maklumat lanjut mengenai BOH, layari laman www.bohtea.com suka laman Facebook BOH dan ikuti Instagram BOH.

Comments

Popular posts from this blog

COLGATE OPTIC WHITE PURPLE: UBAT GIGI PEMUTIH UNGU PERTAMA COLGATE

ICBS 2024: MENJEMPUT ANDA MENEROKA INOVASI KAFE DI KUALA LUMPUR!