KEMPEN PELANCONGAN “NIKMATI PULAU PINANG” DILANCARKAN


Pelancongan Negeri Pulau Pinang baru-baru ini melancarkan kempen "Nikmati Pulau Pinang" di The Ritz-Carlton Kuala Lumpur untuk mempromosikan negeri ini sebagai destinasi pilihan dan memacu industri pelancongannya.

Kempen ini dilancarkan sempena majoriti rakyat telah divaksin, aktiviti pelancongan telah dibenarkan dan kawalan pergerakan telah dilonggarkan di negara ini. EXCO Pelancongan dan Ekonomi Kreatif (PETACE) Negeri Pulau Pinang YB Yeoh Soon Hin, yang juga mengetuai Pelancongan Negeri Pulau Pinang, mempengerusikan majlis pelancaran bersama Encik Ooi Chok Yan, Ketua Pegawai Eksekutif Penang Global Tourism (PGT).

Balik Pulau

Kempen "Nikmati Pulau Pinang" bertujuan untuk memacu pengunjung domestik dan antarabangsa ke Pulau Pinang dengan memperkayakan pengalaman dan menampilkan lokasi-lokasi utama di seluruh pulau dan Seberang Perai yang pasti dapat memuaskan hati orang ramai. Iklan kempen ini mengingatkan pengunjung-pengunjung tentang tarikan luar biasa di negeri ini, daripada dua tapak warisan yang ditetapkan oleh UNESCO; iaitu Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town dan Rizab Biosfera UNESCO Bukit Bendera yang baru sahaja diiktiraf, seni jalanan yang unik, makanan tempatan yang lazat, hutan hujan yang berusia 130 juta tahun, dan kepelbagaian landskap semula jadi seperti bukit dan pantai yang menjadikan Pulau Pinang sebagai salah satu destinasi paling ikonik di dunia. Ia menggalakkan pelawat menerokai keindahan percutian di negeri ini sama ada di pulau mahupun di Seberang Perai. Selain itu, risalah bertajuk 'Other Side of the Island, Teluk Bahang and Balik Pulau' dan 'Opposite Side of the Island, Seberang Perai' turut dilancarkan bersama-sama kempen ini untuk membantu pengunjung-pengunjung agar dapat menikmati segala yang ditawarkan oleh negeri ini. Semua ini adalah selaras dengan aspirasi Pulau Pinang untuk menjadi destinasi pelancongan yang terulung, mampan dan dari pelbagai segi seperti yang digariskan dalam Pelan Induk Pelancongan Pulau Pinang dan wawasan Pulau Pinang 2030 untuk mencipta pelbagai produk pelancongan berkualiti di seluruh pulau dan Seberang Perai.

Selain daripada iklan dan risalah, kempen ini disokong oleh promosi dan tawaran berpatutan di laman web kempen; penangtraveldeals.com. Pengunjung-pengunjung dapat menelusuri pelbagai tawaran menarik seperti Tawaran Hotel Terbaik, Tawaran Tarikan Terbaik, Pakej Pelancongan Terbaik, Tawaran Keperluan Pelancongan Terbaik, Produk Terbaik Pulau Pinang, Tawaran Bawa Pulang/Penghantaran Terbaik, serta Tawaran Perkahwinan Terbaik. Promosi ini menawarkan pengunjung pengalaman yang berbeza dan penjimatan yang besar bagi penginapan, tarikan, dan lawatan. Di samping itu, kempen “Nikmati Pulau Pinang” juga dipaparkan pada platform e-dagang seperti Klook dan Shopee dengan promosi berterusan sehingga akhir tahun, menawarkan pakej pelancongan yang menarik.

Permatang Pauh

YB Yeoh Soon Hin, EXCO Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Negeri Pulau Pinang (PETACE) berkata, “"Kempen Nikmati Pulau Pinang" adalah langkah penting untuk membina semula pelancongan dengan menarik lebih ramai pelancong dalam negeri untuk melawat Pulau Pinang. Syukurlah, pengunjung-pengunjung masih berminat untuk melawat Pulau Pinang walaupun pandemik COVID-19 ini mungkin telah menyebabkan rakyat Malaysia semakin berwaspada dengan tempat-tempat yang sesak. Tinjauan baru-baru ini oleh platform tempahan pelancongan dalam talian mendedahkan bahawa rakyat Malaysia masih berminat dengan tempat pelancongan dalam negeri yang terkenal, dan Pulau Pinang merupakan antara lima destinasi teratas yang paling ditempahi orang ramai. Hal ini demikian kerana persekitaran bandar Pulau Pinang menawarkan kemeriahan kehidupan kontemporari sambil mengekalkan daya tarikan sejarahnya.”

Escape Penang

“Walaupun Pulau Pinang kekal sebagai destinasi pelancongan yang terkenal, kita mesti terus menambah baik dan mencipta produk pelancongan baharu untuk dilihat dan diterokai oleh para pengunjung supaya mereka dapat meluangkan masa dengan lebih panjang di Pulau Pinang. Misalnya, daripada menginap selama dua hari satu malam sahaja, pelancong boleh memilih untuk meneruskan penginapan mereka selama tiga hari dua malam – atau mungkin lebih – untuk menerokai Balik Pulau, Teluk Bahang, dan Seberang Perai.”

Penang Second Bridge

Kawasan desa Balik Pulau yang menawan menyediakan pelbagai khazanah untuk pencinta alam, dari pantai terpencil ke rumah kampung tradisional, ladang, perkampungan nelayan, ladang haiwan, dan sawah padi. Pengunjung-pengunjung dapat menikmati perjalanan yang indah melalui landskap luar bandar yang tenang di Balik Pulau dengan berbasikal dan meneroka industri rakyat kampung, ladang, dan pantai mengikut rentak masa mereka sendiri.”

Teluk Bahang merupakan destinasi yang terkenal bagi pencinta alam dan pengembara. Hutan Teluk Bahang adalah rumah kepada rangkaian tarikan ekopelancongan moden seperti Boulder Valley Glamping, Tropical Spice Garden, Taman Tema ESCAPE dan Entopia by Penang Butterfly Farm. Mereka yang ingin menikmati kehidupan di hutan tanpa melepaskan keselesaan kehidupan moden boleh berbuat demikian di Boulder Valley Glamping, sebuah tempat pelancongan yang mewah terletak di dalam hutan hujan Teluk Bahang. Tempat “glamping” ini menawarkan penginapan mewah dengan bilik mandi “en-suite” dan peluang yang tidak ternilai untuk bangun pagi dengan bunyi kicauan burung atau meringkuk di bawah bintang di tepi unggun api pada waktu malam. Pengunjung juga boleh menyerikan jadual perjalanan yang penuh dengan alam semula jadi di Tropical Spice Garden, di mana mereka boleh bersiar-siar di bawah pokok pala yang menjulang tinggi dan berehat di tepi kolam yang indah dengan teratai air terapung dan ikan koi berenang. Mereka yang dalam misi untuk melawati dua keajaiban buatan manusia yang tersenarai dalam bucket list "7 Keajaiban Dunia Pulau Pinang" mereka boleh menuju ke Taman Tema ESCAPE dan Entopia by Penang Butterfly Farm. Gelongsor air terpanjang di dunia berdasarkan Rekod Dunia Guinness di Taman Teman ESCAPE menjanjikan gelongsoran kegembiraan selama empat minit yang mendebarkan sepanjang 1,111 meter melalui hutan semula jadi dan kanopi pokok. Sementara itu, tempat perlindungan rama-rama dan serangga tropika yang pertama di dunia — Entopia by Penang Butterfly Farm — ialah tempat di mana kira-kira 15,000 rama-rama terbang bebas! Entopia by Penang Butterfly Farm juga mempunyai pusat penemuan yang menampilkan dua tingkat pameran dan aktiviti pembelajaran, membolehkan pelawat meneroka sendiri dunia invertebrata melalui pelbagai stesen pendidikan interaktif.

Entopia by Penang Butterfly Farm

Terdapat banyak tempat-tempat tarikan tersembunyi di Seberang Perai seperti Butterworth Art Walk, Pulau Aman, Taman Rimba Bukit Mertajam, Frog Hill, dan Kampong Agong. Pengunjung boleh menyusuri lorong kecil di Jalan Bagan Luar yang dikenali sebagai Butterworth Art Walk. Lukisan dan pemasangan yang menarik perhatian berfungsi sebagai latar belakang berwarna-warni untuk ops foto sambil mendidik pengunjung tentang ekonomi dan sejarah pertanian di Seberang Perai. Sementara itu, pulau terpencil, Pulau Aman menawarkan ketenangan dan pemandangan indah kepada pengunjung, bot nelayan yang berwarna-warni, tapak bersejarah, pantai yang indah, dan pelbagai hidangan makanan laut. Selain itu, terdapat juga aktiviti menarik untuk mereka yang sukakan cabaran seperti berkayak, memancing, meredah hutan, berkhemah, dan banyak lagi di Pulau Aman. Pengunjung juga boleh pergi ke Taman Rimba Bukit Mertajam yang terkenal dengan pokok Mengkundur gergasi yang dianggarkan berusia lebih 80 tahun. Pokok itu sangat besar pada akar tunjangnya sehingga memerlukan kira-kira 20 orang berganding tangan untuk mengelilinginya. Mereka yang gemar merakam gambar Instagram mesti singgah di Kampung Agong. Terletak di Bakar Kapur di Penaga, pokok kelapa, sawah padi, rumah kayu tradisional dan piano-sedia-Instagram, buaian, dan sarang gergasi di kawasan itu telah tular di media sosial sejak 2018, menjadikannya berbaloi untuk memandu selama sejam dari Pulau Pinang. Sementara itu, Frog Hill (juga dikenali sebagai Bukit Katak) ialah tempat kegemaran para naturalis dan para jurugambar dan juga menyerupai Jiuzhaigou yang terkenal di China. Selanjutnya, dalam jarak pemanduan yang singkat dari Kampung Agong, Frog Hill menjanjikan pengunjung pemandangan dramatik kolam berwarna biru kehijauan dan sesekali penampakan kerbau liar yang berkubang di dalam air.

Penang Hill Biosphere Reserve by UNESCO

“Sudah tentu, perjalanan anda ke Pulau Pinang tidak lengkap tanpa melawat dua tapak warisan yang ditetapkan oleh UNESCO. Pulau Pinang adalah satu-satunya di semenanjung yang mempunyai dua tapak warisan UNESCO; iaitu Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town dan Rizab Biosfera UNESCO Bukit Bendera yang baru sahaja diiktiraf. Yang menariknya, disebabkan jarak pusat bandar yang berdekatan dengan bukit-bukau, seseorang boleh menikmati pendakian pagi melalui hutan hujan purba Bukit Bendera dan meluangkan sepanjang hari menikmati pesona dunia lama Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town."

“Dengan begitu banyak tempat menarik untuk diterokai di seluruh Pulau Pinang, dan ditambah lagi dengan diskaun dan tawaran menarik di bawah kempen ini, saya menggesa rakyat Malaysia untuk datang menerokai destinasi pelancongan yang terkenal di dunia yang berdekatan pada percutian akhir tahun ini — Pulau Pinang bukanlah destinasi yang jauh.”

Nasi Kandar

Untuk memastikan perjalanan yang lebih selamat untuk para pengunjung sambil mengekalkan usaha negeri untuk memulihkan industri pelancongan Pulau Pinang, Pulau Pinang melancarkan kempen "Pelancongan Bertanggungjawab Pulau Pinang" dan "Program Akreditasi Keselamatan COVID-19" tahun lepas untuk mengukuhkan langkah pencegahan yang akan dilaksanakan oleh para pemain industri pelancongan Pulau Pinang. Inisiatif ini adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia, bertujuan untuk menyemai keyakinan dalam pengunjung apabila melawat Pulau Pinang. Pengunjung mesti mendaftar masuk dan keluar melalui MySejahtera dan mematuhi pemeriksaan suhu, sanitasi biasa, penjarakan fizikal, dan memakai pelitup muka berganda semasa melawat Pulau Pinang untuk memastikan percutian yang selamat. [Penang Responsible Tourism: https://petace.gov.my/sop/]

Tanda pagar media sosial: 
#pulaupinang
#jomnikmatipulaupinang
#nikmatipulaupinang
#penangworldwonders
#othersideofpenangisland
#oppositesideofpenangisland


Comments

Popular posts from this blog

WESTLIFE BAKAL KEMBALI KE MALAYSIA UNTUK KONSERT WESTLIFE THE HITS TOUR 2024 DI RESORTS WORLD GENTING