ASTRO FIRST BAWAKAN FILEM KOMEDI ROMANTIK ‘AUTUMN IN WALES’

 

Astro First akan membawa penonton terbang menikmati keindahan negara Wales dan diiringi ‘mood’ romantis sepanjang menonton filem romantik komedi pertama tempatan tahun ini, Autumn In Wales bermula 24 Mac. 

Menambahkan lagi ‘mood melancong’ dalam kalangan penontonnya, filem arahan pengarah Rahila Ali ini juga dipadatkan lagi dengan tempat-tempat dan sinematografi memukau serta penampilan koleksi-koleksi busana yang menarik ketika melancong, di samping bersantai dengan telatah mencuit hati menerusi setiap watak.


Autumn In Wales menjalani sesi penggambaran di Wales, United Kingdom dan merupakan terbitan oleh produksi yang menerbitkan filem ‘Ada Apa Dengan Dosa’, iaitu Pencil Pictures And Record. Manakala, ia membariskan selebriti popular tanah air seperti Eyka Farhana, Jaa Suzuran, Keith Foo, Wanna Ali, Joey Daud, Amyza Adnan, Sissy Iman, Fara Mendoza, Wanns Ahmad dan Amirul Haswendy dalam menjayakan watak-watak yang digarap oleh penulis Amirul Haswendy.


Karya ini menjadi filem lakonan pertama oleh bekas penyampai radio ERA, Jaa Suzuran. Jaa memegang watak sebagai Jaka iaitu seorang tukang cuci pinggan yang berasal dari negeri pantai timur dan bersikap ceria serta lucu. Sementara itu, menerusi filem ini juga memperlihatkan kemunculan semula pelakon kacak yang sinonim dengan karakter romantik, Keith Foo.


Menurut Penerbit Filem Autumn In Wales, Dato’ Normashayu Puteh berkata, “Filem Autumn In Wales bukan sekadar filem romantik komedi biasa, tetapi selain mempertaruhkan jalan cerita yang mampu menyentuh perasaan dan dekat dengan hati penonton, ia turut di hiasi dengan sinematografi menarik di Wales, yang mana kami percaya, jarang filem tempatan mengetengahkan keindahan negara tersebut, dan sedikit sebanyak mampu menyuntik keterujaan penonton yang rindukan aktiviti melancong ke negara luar dalam norma baharu sekarang ini. Manakala, mengenai pemilihan pelakon pula ia menggabungkan selebriti tanah air daripada kelompok sasaran yang berbeza. Kami yakin percaturan Jaa Suzuran selaku teraju utama mampu menghidangkan satu kelainan, tambahan pula wataknya mempunyai karakter tersendiri iaitu seorang yang kelakar serta sentiasa mengagungkan dialek ibundanya walau ke mana dia pergi. Selain itu, gandingan mantap oleh Eyka Farhana, Wanna Ali, Keith Foo serta pelakon senior Joey Daud dan Amyza Adnan turut memberi sisi berbeza yang mampu membawa gelak tawa kepada penonton. Harapan saya agar Autumn In Wales menepati cita rasa penggemar filem tanah air dan dalam pada itu dapat membawa penonton keluar seketika daripada tekanan harian ketika menontonnya.”


Sementara itu, Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, “Pihak kami terus komited dalam memantapkan lagi barisan filem yang akan ditayangkan di platform Astro First. Selepas menerima sambutan yang memberangsangkan daripada penonton menerusi filem Kampong Pisang Berbuah Dua Kali, Hantu Mok Joh, Hantu Kuat Ketawa, kali ini kami menghidangkan genre romantik komedi buat penggemar filem tempatan. Menerusi filem Autumn In Wales, ia menyaksikan usaha sama buat kali kedua oleh pihak Astro First bersama penerbit dan produksi Pencil Pictures And Record selepas filem Ada Apa Dengan Dosa yang ditayangkan Di Pawagam Rumah Anda, Astro First pada tahun 2020. Kami amat berbesar hati di atas kepercayaan yang diletakkan oleh penerbit terhadap keupayaan platform Astro First dalam memasarkan karya mereka kepada umum. Dan sejajar dengan itu, kami akan terus memperhebatkan lagi inisiatif dalam menyokong penerbit tempatan dalam mengetengahkan karya terbaik, sekali gus merancakkan ekonomi industri perfileman Malaysia.”

Filem ini turut menampilkan lagu tema utama bertajuk ‘Pandu Lalu’, nyanyian oleh Wanna Ali, penulis lirik dan komposer oleh Shazee Ishak dan Audi Mok.

Autumn In Wales mengisahkan tentang Aira seorang gadis manja yang menanti detik bahagia bersama tunangnya, Darwish. Menjelang hari perkahwinan mereka, Aira telah pergi ke Wales untuk membuat kejutan buat Darwish. Ketika di Wales, satu insiden berlaku pada Aira dan Jaka a.k.a Jejaka Kacak berasal daripada pantai timur ingin memulakan hidup baru di Wales selepas berpisah dengan kekasih yang rupanya dua alam.


Langgan dan saksikan Autumn In Wales Di Pawagam Rumah Anda, Astro First bermula 24 Mac 2022. Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand. Dengan hanya RM15, anda boleh menonton selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang. Ikuti info dan klip-klip menarik tentang filem ini menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Shaw dan Astro Gempak.

Comments

Popular posts from this blog

WESTLIFE BAKAL KEMBALI KE MALAYSIA UNTUK KONSERT WESTLIFE THE HITS TOUR 2024 DI RESORTS WORLD GENTING

SERTAI KEMERIAHAN ’HELLO NU SENTRAL’ BERSAMA BINTANG TERHEBAT TEMPATAN PADA 27 APRIL INI!