4 WARGA MALAYSIA TERIMA PENGIKTIRAFAN UK ALUMNI AWARDS

 

British Council semalam mengumumkan para pemenang Study UK Alumni Awards 2021-2022 Malaysia di Majestic Hotel, Kuala Lumpur. Seramai 15 alumni UK di Malaysia telah menerima pengiktirafan atas pencapaian mereka yang cemerlang sebagai golongan profesional perniagaan, usahawan dan pemimpin komuniti, dan sumbangan positif mereka kepada komuniti, pekerjaan dan negara masing-masing.

Setelah dinilai secara terperinci oleh sekumpulan panel pengadilan, para pemenang dipilih untuk empat kategori anugerah: Anugerah Sains dan Kelestarian, Anugerah Budaya dan Kreativiti, Anugerah Tindakan Sosial, dan Anugerah Perniagaan dan Inovasi.

Anugerah antarabangsa yang berprestij ini meraikan pengajian tinggi di UK dan pencapaian para alumni UK di seluruh dunia. Anugerah yang kini dalam tahun kelimanya telah menerima lebih daripada 1,500 permohonan daripada alumni UK antarabangsa di lebih 100 buah negara, mewakili lebih daripada 140 institusi pengajian tinggi di seluruh UK.

Anugerah Sains dan Kelestarian telah disampaikan kepada Justin Jing Ho Chin, seorang siswazah Imperial College, London. Justin adalah Pengarah Urusan Gamuda Engineering dan telah meluangkan kerjayanya untuk membina terowong bagi laluan-laluan metro Kuala Lumpur dengan inovasi-inovasi kejuruteraan yang telah memenangi pelbagai anugerah. Pengalaman beliau melanjutkan pengajian di UK telah membantu beliau memberi penekanan kepada kelestarian untuk merealisasikan “Gamuda Green Plan” yang telah membantu organisasi tersebut menjadi peneraju dalam arena kelestarian, mengemudi perjalanan industri dalam pembangunan lestari dalam usaha menangani perubahan iklim.

Anugerah Budaya dan Kreativiti telah disampaikan kepada Dr. Nur Izzati Jamalludin, seorang siswazah King’s College, London, dengan pengkhususan dalam bidang Etnomuzikologi. Dr. Izzati yang kini bertugas sebagai Pensyarah Kanan di Fakulti Muzik Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah berpeluang memperoleh pengetahuan dalam pembangunan masyarakat dari sudut pandangan barat mengenai terapi perubatan muzik negeri-negeri utara Malaysia semasa di UK untuk menyokong matlamat beliau dalam memperjuangkan seni persembahan yang semakin dilupakan di negeri-negeri utara dan menggalakkan kesihatan dan kesejahteraan dalam kalangan pemain-pemain seni persembahan di rantau tersebut.

Anugerah Tindakan Sosial telah disampaikan kepada Izza Izelan, seorang wartawan, penyokong dan pengarah eksekutif Pertubuhan Pembangunan Kendiri Wanita dan Gadis (WOMEN:girls), sebuah organisasi bukan berasaskan keuntungan yang membangunkan pelbagai program untuk menyokong para wanita dan gadis mencapai potensi dan menjadi ejen perubahan dalam komuniti mereka. Izza yang menamatkan pengajian di Institute of Education, University College London, telah memanfaatkan pengalamannya di UK untuk membantu lebih 19,000 penerima manfaat di seluruh Malaysia melalui organisasi bukan berasaskan keuntungannya dan ingin terus menyeru kepada perubahan yang bermakna dalam sistem perundangan dan budaya Malaysia untuk membentuk dasar-dasar sosial bagi melindungi wanita dan kanak-kanak.

Anugerah Perniagaan dan Inovasi telah disampaikan kepada Melvin Poh, seorang siswazah Imperial College, London. Melvin Poh adalah pengasas dan Ketua Pegawai Operasi Empirics Asia, sebuah platform perkongsian pengetahuan dengan akses terbuka yang bertujuan memudahkan pertukaran bersama maklumat, idea dan pengalaman di seluruh Asia. Platform ini menyediakan ruang demokratik untuk pengetahuan praktikal disiarkan, dikongsi dan diakses bersama di rantau ini.

Tuan Yang Terutama Charles Hay berkata “UK menawarkan kecemerlangan akademik serta persekitaran pembelajaran yang meluaskan perspektif dan membina karakter. Saya amat gembira melihat begitu ramai rakyat Malaysia telah menerima manfaat daripada pengajian di UK dan telah meraih kejayaan yang hebat dalam kerjaya mereka. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada para finalis UK Alumni Awards. Mereka telah membukfikan bahawa mereka adalah pemimpin dan perintis yang berwibawa, mencipta perubahan dalam kerjaya dan komuniti masing-masing.”

Cik Jazreel Goh, Pengarah British Council Malaysia berkata, “Anugerah ini membolehkan kami meraikan peranan pelajar-pelajar antarabangsa dalam menjadikan UK salah satu destinasi pengajian tinggi antarabangsa yang paling dinamik dan menguntungkan. Ia juga memberi kami peluang untuk mengiktiraf pencapaian dan sumbangan yang telah diberikan oleh para alumni dari Malaysia dan dari seluruh negara kepada komuniti mereka. Saya amat berbangga dengan semua finalis yang gigih berusaha dalam pelbagai bidang dan memainkan peranan yang penting dalam menangani cabaran-cabaran global dan membentuk dunia untuk masa hadapan.”

Malaysia adalah salah satu daripada beberapa negara lain yang turut menganjurkan Study UK Alumni Awards. Majlis yang sama turut diadakan di 23 buah negara lain seperti India, Armenia dan Qatar. Majlis anugerah tahun ini adalah edisi kelima sejak ia diperkenalkan pada tahun 2017.

Berikutan pengumuman para pemenang anugerah tersebut di Malaysia, para pemenang akan berpeluang bertanding di peringkat global.

Satu lagi pusingan pengadilan oleh sebuah panel pengadil-pengadil global akan dijalankan sebelum 30 permohonan terbaik dipilih dari setiap rantau termasuk Malaysia. Para pengadil akan menyenarai pendek 28 finalis untuk bersaing di peringkat global, dalam empat kategori yang sama iaitu Sains dan Kelestarian; Budaya dan Kreativiti; Tindakan Sosial; serta Perniagaan dan Inovasi.

Setiap pemenang anugerah ini akan menerima geran sebanyak GBP500 untuk aktiviti-aktiviti pembangunan profesional. Mereka juga akan berpeluang berhubung semula dengan universiti UK yang pernah dihadiri untuk meneroka peluang-peluang baharu.

Sejak diperkenalkan, Study UK Alumni Awards telah menerima respons yang begitu baik dari para pemohon di seluruh dunia. Adalah diharapkan dengan anugerah ini, lebih ramai Alumni akan mengambil bahagian dan membantu menghasilkan pelbagai inovasi dan pendekatan yang lebih baik untuk menjadikan dunia ini lebih baik untuk semua.

Untuk maklumat lanjut mengenai Alumni Awards, sila layari Global Alumni Platform di https://www.britishcouncil.org/study-work-abroad/alumni-uk

Comments

Popular posts from this blog

LAGU 'BEGHAOK RAYA' MEMERIAHKAN LAGI SUASANA HARI RAYA TAHUN INI