PAMERAN P. RAMLEE DAN SALOMA DI PUSAT BELI-BELAH FAHRENHEIT88 SEMPENA HARI RAYA


Arkib Negara Malaysia dengan kerjasama Pusat Beli-belah Fahrenheit88, Bukit Bintang, Kuala Lumpur menganjurkan pameran khas P. Ramlee dan Saloma di Tingkat 2 pusat beli-belah tersebut mulai 14 April 2022 hingga 16 Mei 2022. 

Pameran khas ini diadakan bersempena dengan kempen “Raya Melodies” anjuran Fahrenheit88 sepanjang Ramadan dan Syawal tahun ini yang memilih Seniman Agung Tan Sri P. Ramlee dan Puan Sri Saloma sebagai tema dekorasi pusat beli-belah itu. 


Arkib Negara Malaysia telah dipilih oleh Fahrenheit88 sebagai rakan strategik kerjasama memandangkan Arkib Negara adalah jabatan kerajaan yang bertanggungjawab menyimpan, memelihara dan mempamerkan koleksi artifak milik Tan Sri P. Ramlee dan Puan Sri Saloma di Pustaka Peringatan P. Ramlee, Kuala Lumpur dan Rumah Kelahiran P. Ramlee, Pulau Pinang. 


Pameran khas ini mempamerkan koleksi terpilih busana milik Seniman Agung dan Biduanita Negara serta barang-barang peribadi mereka yang jarang-jarang dipamerkan kepada umum. 

Nama Allahyarham Tan Sri P. Ramlee sememangnya sinonim dengan perkembangan dan pembangunan industri perfileman dan penerbitan muzik tanah air. P. Ramlee atau nama sebenarnya Teuku Zakaria bin Teuku Nyak Puteh dilahirkan di Pulau Pinang pada 22 Mac 1929. Minat beliau yang mendalam terhadap seni muzik, seni lakon, pembikinan filem dan penggubahan lagu terserlah sejak beliau masih muda lagi. 

Kerjaya beliau sebagai anak seni bermula ketika P. Ramlee ditawarkan berlakon di dalam sebuah filem bertajuk Chinta pada tahun 1948. Kesungguhan dan keupayaan beliau mempelajari pelbagai aspek pembikinan filem menyebabkan beliau diberi peluang mengarah filem Penarek Becha pada tahun 1955. Filem ini telah terpilih sebagai filem terbaik dan beliau dipilih sebagai “Pengarah Terbaik” pada tahun 1956. 


Sepanjang hayatnya, P. Ramlee telah berlakon hampir 66 buah filem, mengarahkan 37 buah filem dan mencipta banyak lagu. Hampir 250 buah lagu yang dicipta oleh beliau telah menjadi popular. 

P. Ramlee pernah menerima banyak anugerah dan pengiktirafan di peringkat antarabangsa. Antaranya, beliau telah terpilih sebagai “Pelakon Lelaki Terbaik” untuk filem Anakku Sazali di Pesta Filem Asia, Tokyo pada tahun 1957 dan memenangi filem “Komedi Terbaik” di Pesta Filem Asia ke 6 pada tahun 1959 bagi filem Pendekar Bujang Lapok. 

Demikian juga filem Nujum Pak Belalang dan filem Madu Tiga telah memenangi anugerah “Filem Komedi Terbaik” pada tahun 1958. Dalam Pesta Filem seluruh Asia pada tahun 1963, beliau telah menerima satu anugerah luar biasa, “The Most Versatile Talent” melalui filem Ibu Mertuaku. Manakala pasangan hidup P. Ramlee iaitu Salmah binti Ismail atau lebih dikenali sebagai Saloma adalah seorang anak seni sejati yang telah mengabadikan dirinya semata-mata hanya untuk seni sepanjang hayatnya. 

Beliau dilahirkan di Pasir Panjang, Singapura pada 22 Januari 1935. Saloma mula mengasah bakatnya dalam bidang seni suara apabila mendapat peluang untuk membuat persembahan bersama Kumpulan “The Singapore Boy” di New World Cabaret dan nyanyian pertama beliau adalah “Seven Lovely Days”. 


Pada tahun 1950-an, Saloma hanya dikenali melalui lagu-lagu dendangannya serta watak sampingan dalam filem-filem Melayu sehinggalah beliau melakonkan watak utama dalam filem Azimat (1958) dan filem Kaki Kuda (1958) dan terus melangkah ke dalam bidang lakonan dengan membintangi beberapa filem popular seperti Seniman Bujang Lapok (1961), Ragam P. Ramlee (1964) dan Ahmad Albab (1968). 

P. Ramlee dan Saloma telah melangsungkan perkahwinan pada 31 Oktober 1961 dalam satu majlis yang amat sederhana. Keserasian yang ditonjolkan oleh pasangan ini sering mendapat pujian dan digelarkan sebagai pasangan merpati dua sejoli. Sikap Saloma yang mencintai P. Ramlee seadanya sebagai seorang yang biasa menyebabkan beliau kekal menjadi suri hidup sehati sejiwanya sehingga ke akhir hayat mereka berdua. 


Sebagai seorang seniman Agung yang serba boleh, P. Ramlee berjaya mengetengahkan unsur-unsur kebudayaan Melayu dan kesepakatan dalam masyarakat yang berbilang kaum dan agama di dalam setiap karya filem yang dihasilkan. Karya yang ditonjolkan olehnya bukan sahaja relevan sepanjang zaman tetapi juga sarat dengan nilai dan kritikan sosial yang tajam. Malah beliau berjaya mempamerkan Malaysia sebagai sebuah negara yang bersatu padu tanpa mengira bangsa, kaum dan budaya. 

Karya-karya beliau mampu untuk melahirkan masyarakat yang harmoni dan mempunyai nilai budaya yang tinggi. Kerana kekuatan ‘aura bintang’ kedua-dua tokoh inilah pihak Fahrenheit88 dan Arkib Negara Malaysia bersepakat untuk mengangkat mereka berdua dalam menyemarakkan sambutan Syawal pada tahun ini dengan tema “Raya Melodies” memandangkan negara kita telah beralih ke fasa endemik. 

Sudah dua tahun pusat beli-belah sunyi sepi tanpa sebarang aktiviti perayaan yang besar berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikeluarkan bagi mengekang penularan wabak Covid-19. Pemilihan Seniman Agung Tan Sri P.Ramlee dan Puan Sri Saloma ini diharapkan dapat mengembalikan kemeriahan sambutan perayaan di negara ini.

Di samping pameran P. Ramlee dan Saloma, Fahrenheit88 juga menampilkan Kraftangan Malaysia yang membawakan cenderahati unik sempena hari raya  termasuk produk seni artisan, busana perayaan, aksesori buatan tangandan juga barangan kemas. Di samping itu, para pengunjung juga boleh mencuba pelbagai permainan tradisional seperti congkak dan batu Seremban.

Permainan Congkak

Suasana Hari Raya untuk tujuan bergambar Instagram

Busana Raya KOME yang dipamerkan di ruang Arium Fahrenheit88

Pelbagai Kraftangan Malaysia 

Raya Craft Market

Sepanjang kempen ini, pelbagai aktiviti dan persembahan telah disediakan untuk para pengunjung, termasuk persembahan busking dan siri bengkel Mewarna Batik, Mewarna Seramik, Membuat Rantai Kunci Dawai, Membuat Aksesori Manik dan membuat Kuih Raya Tanpa Bakar. 

Bagi mereka yang ingin berbuka puasa di Fahrenheit88, dapatkan hidangan yang enak di  Al-Amar dan Koryo Won. Para pengunjung juga boleh membuat persediaan untuk berhari raya dengan promosi istimewa di Brands Outlet, Daiso, Emrusa, Feith, Kronoz, MR.DIY dan Uniqlo. 

Medalion Emas Edisi Istimewa P. Ramlee

Bagi menghargai para pengunjung ke Fahrenheit88, pelbagai Ganjaran Raya juga disediakan dari sekarang sehingga 16 Mei 2022. Dengan pembelian minimum  RM280 dalam satu rsit, anda boleh menebus sekeping Medalion Emas Edisi Istimewa P. Ramlee. 

Ketupat Dip

Cabutan bertuah, Ketupat Dip juga menawarkan pelbagai baucar membeli-belah sebagai hadiah. 


Sebagai ganjaran kepada pelancong, 200 tetamu pertama yang menginap di Fahrenheit Suites & CHAOS Hotel berpeluang utuk menebus baucar pelancong. Penebusan boleh dilakukan di kaunter Concierge counter, Aras G dan terhad kepada 2 penebusan setiap orang dalam satu hari, sementara stok masih ada.


Untuk maklumat lanjut, sila ikuti laman Facebook Fahrenheit88 di https://www.facebook.com/Fahrenheit88/, Laman Instagram di https://www.instagram.com/fahrenheit88/ atau hubungi Kaunter Khidmat Pelanggan di talian 03-2148 5488.

 #F88RayaMelodies #F88Raya2022 

Comments

Popular posts from this blog

COMBAT BAZE MEMBAWA PENGALAMAN REKREASI PENUH AKSI DI MALAYSIA

"CHECK, CONFIRM, CONSULT AND CHANGE" UNTUK MEMERANGI PRADIABETES

POWER ROOT TERUS MENYUMBANG KEPADA TABUNG KEMANUSIAAN PALESTIN MEDIA PRIMA

IQIYI TAMPILKAN DRAMA BERSIRI 'RESTU' LAKONAN REMI ISHAK, WANNA ALI, SITI ELIZAD, ELIZABETH TAN, DAN RAMAI LAGI