RIUH RAYA SOUK BAKAL RANCAKKAN KEMBALI SENI KREATIF


Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) menerusi MyCreative Ventures Sdn. Bhd. (MyCV) tampil dengan program RIUH Raya Souk bersempena dengan bulan Ramadan, yang akan berlangsung pada 23 hingga 24 April 2022 di Sentul Depot, mulai pukul 4.00 petang sehingga 12.00 tengah malam.

Melewati fasa peralihan endemik ini, MyCV mengajak seluruh Keluarga Malaysia untuk sama-sama meraikan bakat kreatif tempatan dengan menampilkan 109 jenama tempatan yang menawarkan pakaian, aksesori, kuih raya, barangan penjagaan kanak-kanak, hiasan rumah serta produk kecantikan melalui RIUH Raya Souk.

Pengunjung juga boleh memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri dengan pilihan fesyen kegemaran termasuk daripada jenama seperti Whimsigirl, Velvet Vanity, Machino dan Nazifi Nasri serta jenama baharu terdiri daripada Lathalia Jewellery, Harirose, Inisaya dan Samora, selain menceriakan kediaman dengan pokok hiasan dari Kayan Tropika, set bilik tidur dari Urban Edit. Co dan perkakas rumah oleh Naren Home.

Bagi anda yang menggemari makanan boleh menjamu selera dengan seleksi juadah berbuka puasa tradisi Kelantan oleh Gamelan, hidangan Johor oleh Kecur, sate Sataysfaction, Phil's Pizza, MyBurgerLab, Sosej Sizzle dan minuman oleh Bo The Avocado, Brotani dan TFKL serta banyak lagi. Dapatkan juga hidangan daripada SheBakes, Poppy Cherry Pop, That Last Bite dan pencuci mulut oleh F.R. Copper dan gelato oleh The Unusual Greens.

Di samping itu, sempena Bulan Kesedaran Autisme, Pameran We & I Art x Nak Seni akan menampilkan karya-karya artis autistik diiringi sesi kugiran muzik Seni Komuniti dan cenderahati jualan untuk menyokong kelangsungan para artis. Persatuan Bantuan Kesihatan Mental (NYAWA) juga akan membawakan karya-karya menerusi pameran dan aktiviti mereka bagi mempromosikan usaha bersempena dengan Bulan Kesihatan Mental.

Pengunjung juga berpeluang menyerlahkan bakat terpendam melalui Bengkel Meja Jubin Mini oleh Self Supply dan Bengkel Quilling Kertas Kitar Semula oleh Steampunk Arts x Minimolly yang semuanya dalam usaha membina kesedaran tentang mencipta seni kitar semula menggunakan bahan yang mampan dan mesra alam.

Selain itu pengunjung boleh mencuba 'Plant Mixology' dengan edisi minuman Eat, Shoot & Roots' pelbagai perisa serta rasa herba tempatan yang berbeza. Pelbagai aktiviti menyeronokkan untuk seisi keluarga bakal berlangsung dengan Seni dan Kraf bertemakan Hari Raya di kawasan yang dikhaskan untuk kanak-kanak.

Kerjasama istimewa dalam RIUH Souk Raya kali ini juga membawakan bengkel oleh Yayasan AirAsia bagi mempelajari seni anyaman ketupat bersama-sama Dr. Jarina Mohd Jani, selain berpeluang mempelajari cara menanam ulam-ulaman dengan REWILD Malaysia dan menikmati 'Taste of Kerabu' yang lazat dengan Dr David Neo. Selain itu jualan Yayasan AirAsia, Destination Good juga akan turut dibuka.

Ketua RIUH, Marissa Wambeck berkata MyCV meraikan ulang tahun ke-10 dalam menyokong industri kreatif Malaysia bulan ini. “Justeru, kami sebagai satu pasukan amat teruja untuk bersama-sama memeriahkan sambutan tersebut dengan penganjuran acara secara langsung dan memberikan sokongan kepada jenama, bakat dan komuniti kreatif kerana kami percaya konsistensi dan keazaman adalah kunci kepada masa depan ekonomi kreatif yang kukuh dan pelbagai perancangan telah dibuat untuk tahun ini terutamanya melalui program Kembara RIUH yang akan diadakan di setiap negeri,” kata Marissa lagi.

RIUH merupakan platform kreatif yang menyasarkan peningkatan ekosistem kreatif dengan menghubungkan pelbagai jenama tempatan, usahawan kreatif, para pencipta dan artis dengan komuniti.

Maklumat lanjut berkenaan RIUH boleh didapati melalui laman web www.riuh.com.my atau layari laman Instagram dan Facebook @riuhinthecity!

Comments

Popular posts from this blog

"CHECK, CONFIRM, CONSULT AND CHANGE" UNTUK MEMERANGI PRADIABETES

COMBAT BAZE MEMBAWA PENGALAMAN REKREASI PENUH AKSI DI MALAYSIA

SERTAI KEMERIAHAN ’HELLO NU SENTRAL’ BERSAMA BINTANG TERHEBAT TEMPATAN PADA 27 APRIL INI!