‘SEKOLAH SAMPAH’ BAWAKAN ISU KETIDAKSAMAAN PENDIDIKAN DI KALANGAN MEREKA YANG TIADA HARTA’

 
Telemovie ‘Sekolah Sampah’ yakni hasil terbitan Arie Zaharie Production Sdn Bhd memaparkan kisah kecekalan seorang pengembara dan usahanya dalam memberi didikan yang adil saksama kepada kanak-kanak yang tidak berkemampuan. Telemovie terkini keluaran Astro Citra ini memberi penekanan kepada kepentingan ilmu bagi semua tidak kira darjat, status atau kemampuan kita.

Penceritaan berdurasi 94 minit ini mengisahkan Adam, seorang backpacker berumur 30-an menetap di Sandakan yang bercita-cita untuk mengembara ke seluruh Sabah. Sebelum pengembaraannya bermula, Adam mendapat tahu kisah kanak-kanak pengemis yang tidak berkemampuan untuk meneruskan pembelajaran mereka di sekolah. Kanak-kanak tersebut tinggal di Kampung Sampah dan menyara hidup dengan mengutip serta menjual barangan terbuang. Untuk memberi kesamarataan dalam pendidikan kepada mereka, Adam nekad mendidik anak-anak itu dengan membina Sekolah Sampah sehingga mengorbankan impian pengembaraannya. Pengorbanan ini dibantu oleh salah seorang muridnya, Erna yang juga mengambil bahagian dalam mengajar rakan-rakannya yang tercicir dalam pelajaran. Dengan usaha membangunkan Sekolah Sampah, Erna telah mengirimkan sepucuk surat kepada pemimpin tentang kewujudan sekolah tersebut.


Telemovie yang mampat dengan harapan dan impian serta merungkai isu-isu ketidaksamarataan yang relevan dalam kalangan masyarakat ini mengangkat empat orang pelakon iaitu Aliff Aziz sebagai Adam, Bella Astillah sebagai Nureen, Pasqueletta Joan Paulus sebagai Erna dan Aidil Zaquan Astillah sebagai Adi.

‘Sekolah Sampah’ merupakan arahan pelakon dan penyanyi keluaran Akademi Fantasi musim kelima yang berbakat besar, Ebi Kornelis dan turut didukung oleh barisan pelakon baharu yang hebat seperti Rubisa Tiasin, Nuhamizan Syahmi Musa, Syed Haiqal Saputra, Fatima Nadhira, Sahrah Asor, Ejin Dinting dan Jaipin Leggau.


Telemovie ini adalah bukan karya yang biasa kita tonton di televisyen. Bukan semua pengkarya berani menonjolkan kebenaran dalam berkarya lebih-lebih lagi telemovie ini tidak mengetengahkan aspek kekayaan atau pun cerita korporat seperti yang kita sering lihat. Karya ini lebih menonjolkan aspek yang jujur dan karya yang menunjukkan sisi-sisi manusia yang sebenar. Walaupun penuh dengan karya yang hebat, industri kita kurang dengan karya-karya yang sebegini. Para penonton pasti tidak akan menyesal dengan penceritaannya kerana tiada unsur klise.

Telemovie ini diterbitkan untuk memberi kesedaran kepada penonton mengenai kepentingan ilmu bagi semua rakyat tidak kira daripada mana mereka datang. Banyak perkara yang mampu mengetuk pintu hati kita untuk lebih mengenali diri kita siapa serta menunjukkan kepada kita bahawa ada sesetengah orang yang betul-betul dalam kesusahan dalam menempuh kehidupan yang tidak terbayang. Namun, mereka masih mampu tersenyum seperti tiada apa-apa yang berlaku. Ada juga daripada kita yang hidup dalam keselesaan tetapi masih tidak bersyukur dengan apa yang dimiliki. Ini adalah karya yang mampu menginsafkan kita dan membuatkan kita bersyukur dengan nikmat yang diberikan. Itulah yang ingin saya terapkan kepada semua.


Telemovie ini diharap dapat memberi kesedaran kepada penoton juga tentang pentingnya ilmu dalam membangunkan negara serta diri sendiri. Saya juga berharap para penonton faham erti kesamarataan dalam menimba ilmu ini kerana tiada siapa patut dihalang daripada mendapatkannya. Saya juga ingin mengetengahkan bahawa pentingnya usaha pihak-pihak yang terlibat dalam menjaga kanak-kanak yang mampu menjadi tunjang kepada negara pada masa hadapan kelak tanpa menindas mereka berdasarkan kemampuan dan tempat mereka sahaja.


Telemovie ini akan ditayangkan pada hari Sabtu, 28 Mei 2022, jam 9.00 malam secara eksklusif di saluran Astro Citra (108) serta turut boleh distrim menerusi On Demand di Astro Box dan aplikasi Astro Go untuk pilihan yang lebih fleksibel. 

Sebagai tambahan, peminat juga boleh menantikan penampilan Alif Aziz yang bakal muncul bersama Intan Najuwa melalui drama Jodohku Babysitter yang diarahkan oleh Hadith Omar, Julai nanti di Astro Ria.

Comments

Popular posts from this blog

WESTLIFE BAKAL KEMBALI KE MALAYSIA UNTUK KONSERT WESTLIFE THE HITS TOUR 2024 DI RESORTS WORLD GENTING