MISI EMISI SIFAR BEAM: “DRIVE SOMETHING NEW TODAY” ALTERNATIF PENGANGKUTAN BAHARU


Sebuah evolusi dalam sistem pengangkutan Malaysia, Beam Mobility melancarkan kempen Drive Something New Today bagi mendidik para pengguna mengenai kaedah pengangkutan alternatif yang memudahkan lagi lestari. Kempen ini ingin mendemonstrasikan peranan penting yang dimainkan oleh perkhidmatan e-skuter kongsi miliknya dalam menangani isu perjalanan singkat yang terseling di antara penggunaan pengangkutan awam.

Misi Beam sebenarnya ringkas sahaja: untuk menaik taraf kaedah perjalanan singkat serta melancarkan pergerakan dalam kawasan bandar demi manfaat semua. E-skuter yang diperkenalkan oleh Beam mengisi jurang yang telah lama wujud dalam sistem pengangkutan awam kita, yakni dengan menghubungkan orang ramai kepada titik-titik transit, destinasi-destinasi popular, serta kawasan tumpuan dengan lancar dan mudah. Ia dapat meningkatkan kadar penggunaan pengangkutan awam sambil mengurangkan kebergantungan orang ramai terhadap kenderaan persendirian. Bagi seseorang pengguna yang ingin bergerak dari lokasi ke lokasi di kawasan bandar menerusi e-skuter, Beam melengkapi ekosistem pengangkutan awam yang sedia ada menggunakan pendekatan yang lebih menyenangkan serta lebih lestari. Jika dibandingkan dengan kereta, setiap 10km yang disusuri melalui e-skuter Beam membolehkan pengguna mengurangkan emisi CO2 sebanyak 2.65kg.

Berdasarkan tinjauan terkini melibatkan pengguna mobiliti mikro pada bulan Mei 2022, hampir 50% daripada 1,800 orang penunggang Beam yang telah ditinjau menyatakan bahawa akses ke atas e-skuter bagi perjalanan singkat menjadikan mereka lebih cenderung untuk menggunakan pengangkutan awam sebagai pilihan bagi perjalanan panjang berbanding penggunaan kereta atau perkhidmatan tempahan kereta. Sikap ini turut dicerminkan dalam situasi sebenar, di mana 77% daripada penunggang yang biasa menggunakan perkhidmatan ini menyatakan bahawa mereka sentiasa, lazimnya, atau kadang kala menggunakan e-skuter sebagai medium hubungan dari dan ke titik pengangkutan awam.

“E-skuter Beam dirumus untuk memudahkan dan menggalakkan orang ramai memilih kaedah pengangkutan yang lebih lestari di kawasan pusat bandar. Dengan meningkatnya ketersediaan kenderaan ini di titik-titik transit dan destinasi tumpuan di sekitar Lembah Klang, maka warga Malaysia dapat membuat perjalanan singkat dengan mudah dan segera menerusi e-skuter ini di antara penggunaan pengangkutan awam. Sekiranya sesuatu tempat yang ingin dituju terlalu jauh untuk pejalan kaki namun terlalu singkat jika kereta digunakan, maka e-skuter kami boleh dimanfaatkan sebagai solusi kepada dilema ini,” sebut Taty Azman, Ketua Hal Ehwal Awam di Beam Mobility Malaysia.

Tinjauan ini memperlihatkan sikap keterbukaan penduduk kawasan bandar di Malaysia terhadap manfaat pengoperasian e-skuter kongsi di bandar masing-masing, dan hanya 9% daripada 1,544 individu yang ditinjau meluahkan pandangan yang sebaliknya. Angka ini telah dipotong separuh setelah ciri-ciri keselamatan, kemudahan, dan manfaat alam sekitar yang dapat ditimba menerusi e-skuter kongsi ini telah dijelaskan kepada mereka.

Lebih Selamat dengan Teknologi Tinggi

Keselamatan merupakan keutamaan tertinggi di Beam, dan syarikat ini telah menyuntik pelaburan secara ekstensif ke dalam teknologi keselamatan e-skuter miliknya. E-skuter Beam disokong oleh sebuah casis aluminium yang kukuh bergred pesawat, dan ia memuatkan rangkaian kuasa yang efisien di samping peranti komunikasi IoT bergred tinggi yang berfungsi bagi tujuan keselamatan penunggang dan pengoperasian yang bertanggungjawab. Ia turut membekalkan fungsi seperti teknologi parkir virtual proprietari milik Beam yang menggalakkan amalan penggunaan dan pemulangan e-skuter yang berhemah, manakala teknologi pengehad laju (dihadkan kepada 25 km/j) mencegah pengguna daripada menunggang terlalu laju – termasuk semasa menuruni curam.

E-skuter Beam juga didatangkan dengan teknologi geobatas untuk memastikan penunggang berada di dalam sempadan designasi yang diluluskan oleh majlis jawatankuasa bagi penggunaan kenderaan mobiliti mikro. Ia dapat menjamin keselamatan penunggang, pejalan kaki, serta pengguna kenderaan yang lain, dan pada masa yang sama membolehkan Beam mengenal pasti sebarang kesalahan dalam tataguna atau kedudukan kenderaannya agar ia dapat ditangani dengan segera. Akhir sekali, kesemua e-skuter Beam juga dilengkapi dengan bateri yang mempunyai piawaian keselamatan api yang tertinggi.

Komitmen Beam ke atas keselamatan turut ditingkatkan lagi dengan program keselamatan khas yang diberi nama Beam Safe Academy. Diurus dan dikelola oleh tenaga pengajar Beam yang bertauliah, program ini mendidik para peserta mengenai tataguna e-skuter yang betul seperti kaedah memarkir dengan selamat, tabiat menunggang berhemah, dan peraturan mobiliti mikro tempatan. Ia berhasrat untuk bukan sahaja membekalkan keselamatan kepada penunggang Beam, tapi juga para pejalan kaki serta pengguna kenderaan lain di sekitar mereka.

“Keupayaan mobiliti tambahan menerusi e-skuter Beam bukan sahaja melengkapkan perjalanan singkat anda, tapi ia juga mempersembahkan cara yang menarik untuk meneroka sesebuah kota, justeru mengurangkan keperluan kereta. Ia merupakan pilihan yang baik untuk penduduk tempatan mahupun pelancong, malah perniagaan tempatan juga dapat menimba manfaat dengan kewujudan alternatif ini,” tambah Taty.

Memacu Ekonomi Tempatan

E-skuter Beam mempunyai potensi untuk menarik kunjungan dan perhatian ke atas perniagaan tempatan, sekali gus merancakkan kegiatan ekonomi tempatan dan juga pelancongan. Program ‘Beam Booster’ – sebuah platform yang mengetengahkan perniagaan-perniagaan tempatan menerusi teknologi parkir virtual proprietari Beam, menggalakkan pengguna Beam untuk membuat perhentian atau menamatkan perjalanan mereka di hadapan rakan peniaga Beam, lantas bantu mempromosikan serta menjana pendapatan perniagaan mereka.

Selain menaik taraf ketersambungan pengangkutan awam dan menarik pengunjung ke perniagaan tempatan, Beam turut membekalkan peluang pekerjaan dalam ekonomi sambilan, sejajar dengan Rancangan Malaysia ke-12. Sebagai rakan e-Rezeki MDEC, Beam menggajikan lebih daripada 250 pekerja sambilan di Malaysia sebagai ‘Beam Rangers’ untuk menjalankan kerja-kerja penyenggaraan e-skuter berteknologi tingginya, memastikan setiap e-skuter Beam berada dalam kondisi terbaik.

Susulan pengiktirafan mobiliti mikro sebagai komponen kerangka pengangkutan awam yang penting dalam Rancangan Malaysia ke-12, kerjasama berterusan Beam dengan agensi-agensi persekutuan serta majlis jawatankuasa tempatan bantu membekalkan cerapan yang bernilai bagi mencorak infrastruktur yang mesra pejalan kaki dan mobiliti mikro. Ia memastikan penggunaan e-skuter dapat terus berkembang, memudahkan akses di kawasan bandar dan memelihara keselamatan para penunggang, pejalan kaki, dan pengguna kenderaan lain.

Beam Mobility turut berusaha untuk memastikan perkhidmatan e-skuternya mampu dimiliki dan dapat diakses oleh seluruh rakyat Malaysia. Kempen #BeamForAll memperjuangkan akses saksama ke atas perkhidmatan pengangkutan, menyesuaikan harganya mengikut segmen-segmen komuniti tertentu, lantas menjadikannya alternatif yang tepat untuk perjalanan singkat di kawasan-kawasan yang kurang mendapat perhatian.

Comments

Popular posts from this blog

CARIAN TAHUN 2024: INILAH PERKARA YANG DICARI, DISAMBUT, DAN DIINGATI OLEH RAKYAT MALAYSIA

MULAKAN PAGI ANDA DENGAN PENUH BERTENAGA: ACARA IKONIK MILO® MALAYSIA BREAKFAST DAY KEMBALI SEMPENA SAMBUTAN ULANG TAHUN KE-75 MILO® DI MALAYSIA

IQIYI MEMPERSEMBAHKAN DRAMA BERSIRI TERBAHARU ‘SENYAWA’ LAKONAN MANTAP TRISHA OOI, SHAHZ JASZLE & SITI HARIESA