SIDEC MENGUMUMKAN KEMUNCULAN SEMULA ANUGERAH TOP ECM MALAYSIA DAN SELANGOR FASHION ACCELERATOR YANG PERTAMA


Selangor Information Technology and Digital Economy Corporation (Sidec) telah bersama dengan komunitinya dari awal untuk menambah baik dan mengembangkan ekosistem digital, di samping berfungsi sebagai platform untuk syarikat pemula (startup) dan PKS tempatan untuk berkembang maju. Sidec juga komited untuk membina ekonomi digital dan ekosistem dengan memupuk dan mendigitalisasikan PKS tempatan, seiring dengan wawasan Selangor untuk menjadi "Negeri Pintar" yang boleh didiami peringkat ASEAN menjelang 2025.

Susulan kejayaan Malaysia Top E-Commerce Merchant (Top ECM) Awards selama enam tahun berturut-turut, Sidec mengumumkan edisi terbaharu Anugerah Top ECM 2022 dengan sokongan Affin Bank Berhad (AFFIN BANK) sebagai penaja utama dan SUBPLACE sebagai marketplace e-dagang rasmi, di samping program Selangor Fashion Accelerator (SFA) 2022 yang pertama.

Merangkul dunia e-dagang

Anugerah Top ECM yang berprestij ini bertujuan untuk memberi ganjaran kepada peniaga e-dagang tempatan yang paling berjaya, kreatif dan inovatif. Pada masa yang sama, peniaga yang mengambil bahagian boleh mendapat manfaat daripada peningkatan pengiktirafan dan peluang untuk menyerlahkan jenama mereka dalam kalangan pemain industri.

Selaras dengan rancangan Sidec untuk meningkatkan dan mengukuhkan ekosistem e-dagang negara, sasaran yang lebih tinggi telah ditetapkan untuk mempromosikan anugerah ini serta membantu untuk menggalakkan lebih ramai peniaga e-dagang untuk menjadi sebahagian daripada Anugerah Top ECM 2022.

“Ketika kami mula-mula melancarkan Top ECM pada 2016, hanya 60 peniaga e-dagang mengambil bahagian manakala pada 2021, jumlahnya meningkat kepada 181 peniaga dan menjana jualan sebanyak RM47 juta. Penambahbaikan ini menunjukkan bahawa industri e-dagang terus berkembang, dan Sidec di sini ingin menobatkan peniaga e-dagang terbaik tahun ini. Selepas merekodkan jumlah jualan RM123 juta sejak enam tahun lalu, kami menyasarkan untuk menerima 250 penyertaan dan mencapai jumlah jualan sebanyak RM20 juta,” kata Yong Kai Ping, Ketua Pegawai Eksekutif Sidec.

Pertandingan selama 3 bulan itu menawarkan hadiah wang tunai bernilai RM60,000 dan pelbagai hadiah menarik yang lain. Kesemua peniaga yang disenarai pendek akan dinilai berdasarkan tiga kriteria yang telah ditetapkan oleh pihak penganjur iaitu Peraduan Jualan Dalam Talian (50%), Peraduan Siaran Langsung (Livestream) (25%) dan Potensi Perniagaan (25%).

Tahun ini, Anugerah Top ECM juga menambah elemen baharu iaitu “Livestream Festival” di mana peniaga yang mengambil bahagian di Selangor Smart City and Digital Economy Convention (SDEC) ke-7 akan berpeluang mempromosikan produk atau perkhidmatan mereka di studio strim langsung dalam kawasan pameran. Strim langsung ini akan disiarkan secara langsung melalui platform media sosial sepanjang 6 hingga 9 Oktober 2022 dari SDEC 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Peserta dikehendaki mempunyai laman e-dagang yang telah beroperasi sebelum Mac 2022 dan menjual produk kepada pengguna sahaja (B2C), mencapai jualan sekurang-kurangnya RM25,000 atau sekurang-kurangnya 100 pesanan dalam mana-mana bulan antara Jun 2021 hingga Jun 2022, dokumen sokongan dan didaftarkan di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Tahun ini, Top ECM menampilkan tiga kategori anugerah - Malaysia Top E-Commerce Merchant Awards, Selangor Onboarding Programme Awards dan AFFIN BANK Special Awards (Rising Star dan AFFINGEM Women Trailblazer Awards). Anugerah Rising Star ialah kategori anugerah khas di mana tiga pemenang akan dipilih berdasarkan potensi perniagaan syarikat, beroperasi kurang daripada tiga tahun dan disenarai pendek dalam senarai 40 terbaik kategori utama. AFFINGEM Women Trailblazer Awards pula merupakan subkategori baharu yang diperkenalkan untuk menyokong dan memupuk keusahawanan wanita, dan mengiktiraf usahawan wanita yang telah berjaya dalam industri.

Selain itu, Sidec juga berbesar hati menerima sokongan daripada Malaysia External Trade Development Corporation (MATRADE) di mana mereka akan menyediakan kemudahan eksport tambahan kepada lima pemenang terbaik Anugerah Top ECM untuk mengembangkan perniagaan mereka ke pasaran antarabangsa.

Membawa fesyen ke tahap yang lebih tinggi dengan pendigitalan

Sidec juga mengambil langkah untuk membantu perusahaan fesyen baharu berkembang maju dari segi potensi jualan dan pelaburan. Program 2 bulan itu akan membawa 16 usahawan fesyen ke tahap sedia untuk menerima pelaburan dan pengembangan dengan menyediakan bimbingan hebat daripada mentor-mentor berpengalaman dan bengkel-bengkel yang komprehensif.

Inisiatif ini bertujuan untuk membantu syarikat pemula (startup) dan PKS di Malaysia dalam membangunkan ekosistem yang mampan untuk bakat dalam sektor fesyen modest (sopan) dengan menyediakan pengalaman menarik yang akan meningkatkan pengiktirafan jenama mereka dalam pasaran dan industri.

Dalam dunia di mana trend fesyen sering berubah, dari semasa ke semasa pakaian sopan telah berkembang menjadi sebahagian pakaian yang perlu ada di dalam almari pakaian dan tidak lagi dianggap sebagai satu trend semata-mata. Gaya ini tidak akan lapuk dek zaman, dan kemungkinan besar telah berada dalam koleksi anda selama bertahun-tahun. Berevolusi daripada tudung dan lengan panjang dan sekarang dengan sentuhan moden yang kurang mendedahkan dan longgar, fesyen sopan telah mendapat penerimaan meluas, sama ada atas sebab keagamaan atau keinginan peribadi.

“Mengadaptasi dengan perubahan ini, kami telah memutuskan “Modest Fashion” sebagai tema, yang akan memfokuskan pada pakaian ready-to-wear (RTW) sopan dengan sentuhan elemen moden dan minimalis. Kami di sini untuk memberi pendedahan dan mengiktiraf usahawan fesyen tempatan atas sumbangan dan kerja keras mereka selama ini,” tambah Yong.

Percaya pada potensi besar program ini, Sidec mendapat sokongan besar daripada juri-juri yang berbeza latar belakang dan kepakaran. Ini termasuk ikon muzik negara dan ahli perniagaan, Dato' Sri Siti Nurhaliza Tarudin. Dato’ Siti sangat menyukai fesyen serta rekaan fesyen dimana beliau telah mengasaskan pakaian ready-to-wear, Creacion oleh Siti Nurhaliza pada 2016 dan melancarkan label tudungnya sendiri iaitu Afiya pada tahun lepas.

Program ini akan merangkumi bengkel yang disusun khas dan sesi bimbingan yang dipimpin oleh barisan profesional industri fesyen yang terkenal. Dijalankan secara hibrid (dalam talian dan luar talian), program ini merangkumi modul seperti kemahiran asas pitching, kesesuaian pasaran produk, pengurusan jenama dan pemasaran digital, cara mencari pembekal dan pengilang serta identiti atau DNA jenama.

Pemohon juga harus merupakan syarikat startup fesyen Malaysia atau PKS dengan perolehan jualan minimum RM100,000 pada 2020 atau 2021, telah berniaga kurang daripada lima tahun, dan menghasilkan produk ready-to-wear (RTW) yang diklasifikasikan sebagai “modest fashion”. Tambahan pula, mereka akan mendapat manfaat tanpa bayaran dan ekuiti serta akan menerima pengenalan kepada pakar industri, jenama, peruncit dan pengilang, rundingan perniagaan dan bimbingan untuk berkembang growth mentoring, serta akses kepada rangkaian pelabur Sidec dan potensi pembiayaan.

Kesemua 16 peserta akan menerima latihan bermula 1 Ogos hingga 23 September, dan hanya enam akan dipilih untuk membuat pitching kepada pelabur dan rakan kongsi industri pada Hari Demo, yang akan berlangsung pada 8 Oktober 2022 di Pitch@Selangor 6, sempena Selangor Smart City and Digital Economy Convention (SDEC) yang ke-7. Paling menarik, pemenang berpotensi untuk menerima peluang pelaburan daripada The Hive Southeast Asia dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB).

"Kami di sini menyediakan penyelesaian digital untuk membantu usahawan tempatan dan PKS membina perusahaan mereka. Pandemik semestinya telah menguji PKS, dan kami perlu memberi mereka dorongan dan membawa mereka ke arah pendigitalan," kata Yong.

Program ini tepat untuk anda yang kreatif, merendah diri, dan bersedia untuk belajar atau berkongsi ilmu dengan orang ramai, dapat menyertai bengkel fizikal, ingin berinteraksi dengan pemain industri fesyen, dan memiliki jenama serta rekaan sendiri. Pendaftaran kini dibuka sehingga 15 Julai 2022.

Untuk keterangan lanjut, sila layari www.sidec.com.my.

Comments

Popular posts from this blog

WESTLIFE BAKAL KEMBALI KE MALAYSIA UNTUK KONSERT WESTLIFE THE HITS TOUR 2024 DI RESORTS WORLD GENTING

SERTAI KEMERIAHAN ’HELLO NU SENTRAL’ BERSAMA BINTANG TERHEBAT TEMPATAN PADA 27 APRIL INI!