KEBANGKITAN ANGKATAN PELAWAK BAHARU DI ‘AWESOME RAJA LAWAK’


Program ‘Awesome Raja Lawak’ terbitan saluran stesen televisyen swasta percuma (free-to-air) Awesome TV ialah sebuah pertandingan pencarian bakat bagi mengenal pasti pelapis pelawak versatil angkatan baharu sekaligus mengangkat martabat genre komedi ke peringkat yang lebih tinggi.

Pertama kali diperkenalkan pada tahun 2007, platform perintis program realiti komedi popular yang dahulu dikenali dengan jenama ‘Raja Lawak’ terbukti berjaya mencetuskan fenomena tersendiri dalam industri seni tanahair dan sudah melahirkan ramai pelawak versatil seperti Nabil Ahmad, Jihan Muse, Johan, Zizan Razak, Sepahtu, Shiro, Zero serta ramai lagi.

Untuk edisi yang terbaharu, seramai 14 peserta yang merangkumi empat peserta solo, enam peserta duo dan empat peserta trio bakal bersaing di pentas utama ‘Awesome Raja Lawak’ selama sepuluh minggu untuk musim yang pertama. Empat peserta solo terdiri daripada Azhar, Kanmani, Hanif dan Zunny. Peserta duo pula terdiri daripada Kumpulan Soda, Se’eh, Sedare, Mabo, Manja dan Beduk. Manakala peserta trio pula ialah Kumpulan Kacau, Semmat, Pelan dan Sesah.

Uniknya, format penjurian akan diadili berdasarkan pemarkahan 70% oleh barisan juri profesional dan 30% undian peminat secara online. Peserta yang mendapat markah keseluruhan terendah akan disingkirkan.

Datin Ezzan Zalilah Zulfadzli, Pengarah Unit Kandungan Awesome TV

Datin Ezzan Zalilah Zulfadzli, Pengarah Unit Kandungan Awesome TV berkata, “Sebagai pemain baharu dalam industri kandungan hiburan di Malaysia, strategi paling pantas untuk memikat hati audiens ialah dengan meletakkan permintaan dan tabiat menonton mereka sebagai keutamaan paling atas bagi memastikan saluran Awesome TV terus menjadi pilihan ramai.

Melihat kepada penerbitan pelbagai program hiburan sebelum ini, kami mendapati bahawa program-program yang berteraskan komedi dan lawak jenaka amat popular di kalangan penonton dan kami jangkakan genre ini akan terus mempelopori industri seni tanah air sekiranya kualiti dan nilai komersial setiap pengisian yang ditawarkan berada di aras yang tinggi.

Justeru, pihak Awesome TV ingin melakar inisiatif strategik dengan menganjurkan edisi terbaharu program realiti komedi popular ‘Awesome Raja Lawak’ dalam usaha mencari pelapis pelawak angkatan baharu yang relevan, berilmu dan serba boleh.

Menerusi ‘Awesome Raja Lawak’, para peserta diberi peluang untuk mempamerkan bakat dan sisi kreatif yang tersendiri agar mampu melonjakkan nilai jenama mereka ke peringkat yang lebih tinggi. Selain platform komersial, kami juga turut menyediakan kelas bimbingan untuk para peserta bagi memastikan kehadiran mereka di dalam industri hiburan kreatif bukanlah sekadar tempelan sahaja.

Kami juga dengan berbesar hati mengalu-alukan kehadiran nama-nama besar seperti Saiful Apek, Khir Rahman dan Ayda Jebat untuk mengisi kerusi juri tetap serta barisan mentor yang terdiri daripada Ajak Shiro, Atu Zero dan Tauke Jambu sebagai tarikan utama edisi kali ini. Bagi menyuntik kelainan, kami turut memberikan kepercayaan kepada Chiwan Cilok dan Nizam Jentik-Jentik untuk mengemudi pentas utama dengan cara mereka yang tersendiri.

Dengan pengalaman dan penglibatan mereka dalam pelbagai cabang hiburan sebelum ini, kami yakin kesemua mereka dapat berkongsi aura seni yang unik kepada para peserta sekaligus dijadikan sebagai inspirasi kejayaan untuk pergi lebih jauh.

Semoga program ‘Awesome Raja Lawak’ bakal menjadi sebuah lagi testimoni cemerlang untuk saluran Awesome TV dalam menawarkan program-program hiburan beraneka format khusus untuk tontonan seisi keluarga. Selamat menonton!”



TRIVIA MENGENAI ‘AWESOME RAJA LAWAK’

1. Program ‘Awesome Raja Lawak’ turut disokong oleh Koperasi Amanah Pelaburan Berhad dan Her Beauty selaku Penaja Bersama.

2. Bagi merancakkan penerbitan edisi kali ini, produksi ‘Awesome Raja Lawak’ turut memperkenalkan anugerah mingguan ‘Man of The Match’ yang akan diberikan kepada peserta yang mendapat markah keseluruhan tertinggi pada setiap minggu.

3. Barisan penghibur versatil popular yang terdiri daripada Saiful Apek, Khir Rahman dan Ayda Jebat telah dilantik untuk menggalas tanggungjawab sebagai juri tetap untuk mengadili pertandingan ‘Awesome Raja Lawak’.


4. Kesemua juri bakal menilai para peserta berdasarkan keaslian idea asal dan kreativiti, teknik penyampaian lawak dan persembahan serta kelucuan dan elemen jenaka dalam sesebuah persembahan berdasarkan tema mingguan.

5. Selain itu, khidmat tiga pelawak tersohor yang terdiri daripada Ajak Shiro, Atu Zero dan Tauke Jambu turut dibawa masuk sebagai ‘Mentor’ untuk memberi bimbingan serta membantu persembahan mingguan para peserta.

6. Setiap peserta akan diberi cabaran berbeza setiap minggu berdasarkan tema yang telah ditetapkan. Antara tema tersebut termasuklah muzikal, loghat, viral, parodi, seram, sejarah, bebas, peribahasa, superhero serta banyak lagi.

7. Melihat kepada keserasian dan reaksi positif yang diterima sewaktu penjelajahan sesi uji bakat untuk mengenal pasti peserta ‘Awesome Raja Lawak’ sekitar bulan Jun yang lalu, pelawak berbakat yang semakin meningkat naik, Chiwan Chilok dan Nizam Jentik-Jentik diberi kepercayaan untuk mengemudi pentas utama 'Awesome Raja Lawak’ selaku pengacara program.

8. Menariknya lagi, Chiwan dan Nizam turut berpadu suara untuk menjayakan lagu tema ‘Awesome Raja Lawak’ yang berjudul ‘Kasi Berapa Up’. Lagu tersebut merupakan hasil nukilan komposer Jeff A To Z.

9. Manakala pengacara baharu yang juga merupakan pembaca berita program 7.57 terbitan Awesome TV, Kamalia Jamaludin pula dilantik sebagai Pengacara ‘Back Stage’ untuk program ini.

10. Juara ‘Awesome Raja Lawak’ akan membawa pulang wang tunai bernilai RM50 ribu beserta trofi sumbangan Awesome TV. Manakala pemenang tempat kedua dan ketiga pula akan memenangi RM25 ribu dan RM15 ribu beserta trofi.


Rangkaian program ‘Awesome Raja Lawak’ akan disiarkan secara eksklusif di Awesome TV menerusi platform Astro (Saluran 123) dan MyTV (Saluran 112).

Tiga buah episod khas program ‘Hikayat Awesome Raja Lawak’ yang menghimpunkan kompilasi istimewa sewaktu sesi uji bakat yang diadakan di empat buah lokasi termasuk Kuantan (Pahang), George Town (Pulau Pinang), Johor Bahru (Johor) dan Shah Alam (Selangor) pada setiap hari Rabu, jam 9.00 malam telahpun menemui penonton bermula 17 Ogos yang lalu dan sehingga 31 Ogos 2022.

Manakala klip sedutan sesi latihan, persediaan dan trivia menarik para peserta dapat ditonton melalui liputan program ‘Kapsul Awesome Raja Lawak’ yang berdurasi selama 2 minit pada setiap hari mulai 18 Ogos 2022.

Konsert mingguan ‘Gelanggang Awesome Raja Lawak’ pula akan bersiaran secara langsung dari Studio FINAS, Jalan Hulu Kelang selama 10 minggu pada setiap hari Rabu, jam 9.00 malam mulai 7 September 2022.

Comments

Popular posts from this blog

FOODPANDA MALAYSIA LANCAR INISIATIF RAMADAN BERSAMA COCA-COLA MALAYSIA DAN VIU MELALUI KEMPEN ‘BAKUL MAKANAN’ DI SELURUH NEGARA