REVIEW: 'ANAK RIMAU THE MOVIE' - MENGHIBURKAN DAN SARAT DENGAN MESEJ BERGUNA


Anak Rimau The Movie terbitan Keeklr Films Sdn Bhd bukan sekadar sebuah filem yang berlatarkan sukan bola sepak, malah, ia mengangkat semangat dan perjuangan generasi baharu dalam mengejar impian sebagai pemain bola sepak.

Filem ini memaparkan kisah sekumpulan anak muda berbakat tinggi dalam dunia bola sepak yang terdiri daripada pelbagai kaum ketika menyertai Akademi Bola Sepak Malaysia (Anak Rimau Academy). Mereka terpaksa mengharungi pelbagai cabaran sebagai individu dan berpasukan ketika menghadapi fasa baru dalam dunia bola sepak.


Di bawah pimpinan Coach Zainal Abidin (lakonan Beto Kusyairy), yang tegas tetapi prihatin, semua pemain perlu menghadapi isu-isu peribadi dan cabaran pasukan untuk memperolehi kemenangan yang dicitakan. Kecekalan dan ketabahan pemain diuji menerusi kerjasama, isu keluarga, halangan hidup dan perlumbaan untuk menjadi yang terbaik demi memenangi Piala Jemputan Bola Sepak Belia ASEAN.

REVIEW

Tema filem ini bukanlah sesuatu yang baharu. Filem dengan latar belakang sukan bola sepak memang sudah lama disajikan kepada penonton-penonton filem tempatan, antaranya Ola Bola, Suatu Ketika, Estet, Eye on the Ball, Gol dan Gincu, Bola Kampung dan banyak lagi. Namun begitu, Anak Rimau The Movie harus diberi perhatian, lebih-lebih lagi di bulan kemerdekaan dan menjelangnya Hari Malaysia. 


Banyak mesej penting yang mahu disampaikan dalam filem ini yang berkait dengan elemen perpaduan, semangat nasionalisme, patriotik dan kepelbagaian kaum, sekali gus sesuai untuk tontonan pelbagai kaum di Malaysia.

Kekuatan filem ini juga bersandar kepada kebolehan aktor versatil, Beto Kusyairy dalam wataknya sebagai jurulatih yang berjaya menyatukan semua pemain untuk mencapai matlamat yang lebih besar. Walaupun tegas, Coach Zainal bersifat prihatin dan mengambil berat tentang anak-anak didikannya.   

Pujian juga harus diberikan kepada pelakon-pelakon remaja yang sebenarnya merupakan atlet/ barisan pemain bola sepak muda kategori bawah 14 tahun dari Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD). Semuanya berjaya membawa watak masing-masing dengan baik dalam jalan cerita menyentuh hati.


Kisah-kisah peribadi pemain yang ditampilkan adalah relevan kepada isu-isu yang dihadapi oleh golongan remaja masa kini. Aspek kepimpinan dan semangat berpasukan juga ditanam di dalam mesej utama filem Anak Rimau The Movie dan diharapkan dapat memberi inspirasi kepada anak muda mencapai cita-cita sebagai pemain bola sepak demi Malaysia.

Sinematografi filem ini adalah indah sekali, menampilkan lokasi-lokasi menarik di Pulau Tioman, Air Terjun Panching, Beserah dan banyak lagi. 

Pada keseluruhannya, filem Anak Rimau The Movie adalah sebuah filem yang bukan sahaja menghiburkan tetapi sarat dengan mesej yang berguna untuk anak-anak remaja dan juga golongan dewasa. Jangan lepaskan peluang untuk menonton di layar perak mulai 1 September ini!


“Anak Rimau The Movie akan ditayangkan serentak di 68 pawagam di seluruh Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam pada 1 September ini,” katanya.


Selain itu, lagu tema berjudul Pentas Dunia ciptaan Bajai dan lirik oleh Amylea Azizan turut dinyanyikan barisan pelakon seperti Idan, Kechikimi, Hanz Daniel, Wan Omar Daanyal, Joel Law dan Hakeem. Video muziknya sudah dilancarkan menerusi laman YouTube sejak 7 Julai lalu.

Filem Anak Rimau The Movie dihasilkan menerusi usaha sama dengan Majlis Sukan Negara (MSN), Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) dan AMD dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS). 

Comments

Popular posts from this blog

ASTRO MENAMPILKAN DRAMA ‘TERNYATA SEBUAH BAHAGIA’, MEMAPARKAN KISAH KETABAHAN SUAMI DAN ISTERI.

PESTA SEMBILAN MAHARAJA DEWA DAN AMALAN VEGETARIAN

KULIT LEBIH CERAH DAN LEBIH DILINDUNGI DENGAN PELINDUNG MATAHARI SAFI PERFECT WHITE 3X ADVANCE BRIGHTENING SPF 50+ PA ++++ YANG BAHARU

KEHADIRAN WATAK-WATAK BAHARU MENCERIAKAN ASTRO SMK MUSIM 3