MALBATT MISI BAKARA FILEM TERMAHAL DALAM SEJARAH YANG MENELAN KOS RM20 JUTA BAKAL MENGANGKAT PERJUANGAN WIRA SEBENAR


Ketika suasana perfileman tempatan negara semakin hangat sebuah Majlis Pelancaran dan Sidang Media Malbatt Misi Bakara telah diadakan di Berjaya Times Square Hotel. 

Buat kali pertama klip promosi filem ini dipertontonkan kepada rakan media dan barisan pelakon filem telah diperkenalkan. Satu sesi temubual diadakan bersama pengarah filem iaitu Adrian Teh dan barisan pelakon seperti Adlin Aman Ramlie, Fauzi Nawawi, Bront Palarae, Zahiril Adzim, Hairul Azreen, Iedil Dzuhrie, Syazwan Zulkifly, Shaheizy Sam, Nafiez Zaidi, Dafi Ismail Sabri, Taufiq Hanafi, Ikhram Juhari, Safwan Nazri, Gambit Saifullah dan Theebaan G. 


Malbatt Misi Bakara akan dipersembahkan oleh Tentera Darat Malaysia bersama enam syarikat penerbitan gergasi iaitu Berjaya Pictures, Act 2 Pictures, Fast Bikes, Aurum Investments Limited, Golden Screen Cinemas dan Astro Shaw. 

Filem ini adalah kisah benar tentang operasi untuk membantu menyelamatkan tentera Amerika Syarikat yang terperangkap di dalam peperangan saudara di Somalia. 


Cerita ini pernah diketengahkan di dalam filem Hollywood iaitu Black Hawk Down. Kali ini kita semua berpeluang untuk mengetahui naratif tentang malam kejadian tersebut dan mengenali wira yang sebenar. 

Di majlis tersebut ucapan pembukaan telah disampaikan oleh pengarah filem iaitu Adrian Teh. Beliau berkata, “Selepas Paskal The Movie, saya memang tertarik untuk menyampaikan cerita kisah benar tentang Angkatan Tentera Malaysia. Sudah semestinya penglibatan tentera kita di Perang Mogadishu ini menjadi inspirasi kerana ia adalah misi yang paling berjaya dan diketahui umum. Saya bersyukur diberi peluang untuk menceritakan kisah sebenar yang terjadi di sana.” 

Mewakili pihak penerbit, Tan Sri Dato’ Seri Vincent Tan Chee Yioun turut menyampaikan ucapan di majlis tersebut. Beliau berkata, “Dengan adanya filem yang bakal membangkitkan semangat kenegaraan dan mengangkat segala usaha wira-wira kita mempertahankan kedaulatan negara, kami Berjaya Group amat berbesar hati untuk menjadi salah sebuah syarikat penerbitan filem ini.” 


Tetamu kehormat majlis, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Zamrose Bin Mohd Zain turut menyampaikan ucapan dan seterusnya menyempurnakan Majlis Pelancaran filem Malbatt Misi Bakara. 

Di dalam ucapannya, beliau berkata, “Adalah menjadi harapan saya, agar filem ini nanti akan dapat memaparkan fakta sebenar berkaitan peristiwa bersejarah ini. Adalah penting untuk fakta sebenar insiden ini ditonjolkan demi menghargai peranan dan pengorbanan mereka yang telah berkorban nyawa untuk menyempurnakan amanah negara.” 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Golden Screen Cinemas Cik Koh Mei Lee, turut berkata, “Sebagai salah satu rakan pelabur filem ini, GSC akan terus menyokong penghasilan filem yang boleh menghibur, mendidik, dan memupuk semangat cinta negara.” 

Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, “Kami rasa amat teruja dapat terlibat dalam filem ini. Kami yakin filem ini mampu memberi gambaran sebenar dan memperlihat keberanian serta kegagahan tentera Malaysia, sekali gus menyuntik semangat kepada rakyat Malaysia. Semoga penglibatan Astro Shaw dapat perkukuhkan lagi kualiti produksi dan pemasaran filem ini.” 


Turut hadir di majlis tersebut adalah Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Seri Mohamad Bin Ab Rahman, Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato' Muhammad Haffizudeain bin Jantan, Ketua Staf Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato’ Mohd Sofi Bin Md Lepi, Asisten Ketua Staf Perisikan, Mejar Jeneral Datuk Hamzah Ali, Senator Datuk Seri Zurainah Musa, Pengerusi FINAS; Tuan Syed Ali Shahul Hameed, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Berjaya Corporation; Cik Budi Citawan W Hanafi, Pengarah Urusan, Berjaya Pictures; Dato’ Razak Al-Malique, Ketua Pegawai Eksekutif, Fast Bikes dan Puan Carla Soong wakil Aurum Investments Limited. 

Malbatt Misi Bakara, filem penuh aksi ini bakal memecah panggung di seluruh negara pada suku ketiga tahun hadapan 2023.

Comments

Popular posts from this blog

STUDY MELBOURNE HUB KUALA LUMPUR KEMBALI BEROPERASI DI LOKASI BERWAJAH BAHARU, MENGUKUHKAN HUBUNGAN DUA HALA ANTARA MALAYSIA DAN VICTORIA