SENTUHAN KLASIK, PESONA MODEN: NUR TAJ SPA & BEAUTY MENGANGKAT SENI 'URUTAN MALAYSIA' KE PERSADA DUNIA
Di tengah-tengah kesibukan pusat pentadbiran negara, sebuah ruang ketenangan baharu kini dibuka. Nur Taj Spa & Beauty secara rasminya membuka cawangan terbaharu di Mercure Living Putrajaya, menawarkan pengalaman rehat minda dan fizikal yang mengangkat keindahan warisan tempatan. Khusus buat mereka yang mementingkan penjagaan diri secara holistik, spa baharu ini menggabungkan keaslian terapi tradisional Melayu serta kepelbagaian budaya Malaysia dalam suasana yang eksklusif, selesa dan mesra Muslim.
Pembukaan cawangan ini diraikan menerusi kerjasama strategik bersama Tourism Malaysia sempena kempen Visit Malaysia 2026/2027. Majlis tersebut turut disudahi dengan kehadiran Tetamu Kehormat, Encik Mohamad Muda Bin Bahadin, Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara yang mewakili Dato’ Shaharuddin bin Abu Sohot, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Majlis turut disokong oleh delegasi antarabangsa yang dipimpin oleh Timbalan Menteri Pelancongan Kemboja, His Excellency Mr. Kateou Mohammad Nossry, bersama pihak pengurusan tertinggi Islamic Tourism Centre (ITC), Tourism Malaysia, Puspanita MOTAC, dan Mercure Living Putrajaya. Pengiktirafan Muslim-Friendly Tourism and Hospitality Assurance and Recognition (MFAR) daripada ITC serta Pengiktirafan Bintang daripada MOTAC mengukuhkan lagi kedudukan spa ini sebagai destinasi kesejahteraan pilihan.
Keistimewaan Nur Taj Spa & Beauty terletak pada penggunaan ramuan herba tradisional pilihan serta teknik 'Urutan Malaysia'. Rawatan kebanggaan ini menggabungkan teknik sentuhan serta petua daripada pelbagai kaum di Malaysia—termasuk Melayu, Cina, India serta etnik Sabah dan Sarawak. Hasilnya, rawatan ini bukan sahaja melegakan keletihan badan, malah memberikan ketenangan emosi dan kesegaran semula jadi.
Mengimbas kembali sejarah penubuhannya, Pengasas dan Pengarah Urusan Nur Taj Spa & Beauty, Puan Hajjah Selinastein Mohd Rashid, meluahkan rasa syukur dalam ucapan alu-aluannya. Beliau berkongsi bagaimana Nur Taj Spa bermula secara kecil-kecilan di Busana Menara MARA, Kuala Lumpur pada tahun 2015. Berbekalkan modal yang terhad dan tekad yang kuat, beliau membina jenama ini untuk menyediakan perkhidmatan spa yang berkualiti, mesra Muslim, serta mengekalkan warisan tradisi tempatan.
Dengan pembukaan cawangan di Putrajaya, Puan Hajjah Selinastein menjelaskan bahawa jenama ini berpegang kepada tema 'Harmoni Warisan, Kesejahteraan Sejagat'. Visi utama mereka adalah untuk menjadi antara peneraju dalam pelancongan kesejahteraan (wellness tourism) dengan membawa tradisi Malaysia ke peringkat antarabangsa. Beliau menambah, misi Nur Taj Spa adalah untuk terus memelihara terapi tradisional tempatan, terutamanya Urutan Malaysia, supaya ia dikenali di seluruh dunia sebaris dengan teknik urutan terkenal dari negara lain.
![]() |
| Pengasas dan Pengarah Urusan Nur Taj Spa & Beauty, Puan Hajjah Selinastein Mohd Rashid |
Beliau berharap agar para pelancong yang berkunjung ke Malaysia bukan sahaja menikmati keindahan alam dan makanan tempatan, malah turut merasai sendiri pengalaman spa tradisional sebagai sebahagian daripada aktiviti pelancongan mereka. Usaha ini selari dengan hasrat MOTAC yang melihat industri kesejahteraan sebagai segmen pelancongan bernilai tinggi bagi memenuhi keperluan pelancong moden.
Dengan matlamat ini, cawangan di Mercure Living Putrajaya menjanjikan pengalaman penjagaan diri yang menyegarkan. Antara rawatan popular yang ditawarkan termasuklah Terlena Massage, rawatan wajah, terapi herba, serta pakej khas pengantin untuk menaikkan seri semula jadi.
Nur Taj Spa & Beauty di Mercure Living Putrajaya bukan sekadar tempat memanjakan diri, malah menjadi pilihan tepat bagi sesiapa yang mahukan pengalaman rehat yang tenang dengan sentuhan tradisi Malaysia.
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
.jpg)
Comments
Post a Comment