FILEM AKSI HEIST TERBAIK INDONESIA TAHUN 2022, ‘MENCURI RADEN SALEH’ KINI DI PAWAGAM MALAYSIA


Filem aksi heist terbaik Indonesia tahun ini, MENCURI RADEN SALEH kini temui penonton Malaysia di seluruh pawagam tanah air bermula 22 September. Filem terbitan Visinema Pictures, Jagartha, Blibli dengan kerjasama Astro Shaw telah ditayangkan di Indonesia pada 25 Ogos lalu dan berjaya meraih kutipan lebih 1.2 juta penonton dalam tempoh kurang satu minggu tayangan.

Kekuatan filem Mencuri Raden Saleh bukan hanya pada jalan cerita yang segar dan sarat dengan babak aksi mendebarkan, tetapi turut mengetengahkan kisah golongan gen-Z yang dijayakan oleh barisan pelakon muda yang telah mengukir nama menerusi filem-filem box office Indonesia seperti Iqbaal Ramadhan (pelakon filem no 1 genre romantik drama Indonesia, filem Dilan), Angga Yunanda (Habibie & Ainun 3), Aghniny Haque (filem no 1 paling laris Indonesia, KKN di Desa Penari), Rachel Amanda (Dua Garis Biru), Umay Shahab (Danur 3) dan Ari Irham (Generasi 90an : Melankolia).


Setiap watak mempunyai peranan dan tugas berbeza dalam misi pencurian ini serta diberi jolokan masing-masing seperti Piko - "The Forger", Ucup - "The Hacker", Fella - "The Negotiator", Sarah - "The Brute", Gofar - "The Handyman", dan Tuktuk - "The Driver".

Selain itu, turut membintangi filem Dwi Sasono, Atiqah Hasiholan, Ganindra Bimo, Andrea Dian, Muhammad Khan, Reza Hilman, Joshua D Pandelaki, Ratna Karya Riantiarno, Jenny Zhang, Tegar Satrya dan ramai lagi.

Filem ini diarahkan oleh Angga Dwimas Sasongko yang juga merangkap sebagai Penerbit Eksekutif, lakon layar, idea asal Mencuri Raden Saleh. Angga Dwimas Sasongko berkata, “Idea menghasilkan Mencuri Raden Saleh tercetus pada tahun 2018 dan mengambil masa lebih tiga tahun untuk menyempurnakan dari proses penulisan sehingga ke penerbit; dan mengambil masa satu tahun untuk menghimpunkan kesemua enam pelakon anak muda yang menerajui watak utama filem ini. Kami rasa amat gembira filem ini berjaya mendapat sambutan baik daripada penonton Indonesia dan mengharapkan kehadiran filem ini di Malaysia juga mampu menerima reaksi baik daripada penonton.”

Manakala, Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, “Astro Shaw rasa berbesar hati dapat meneruskan kerjasama dengan Visinema Pictures menerusi filem terbaru Mencuri Raden Saleh. Filem aksi heist ini diarahkan oleh pengarah box office Indonesia, Angga Dwimas Sasongko dan kami rasa amat teruja berpeluang berkolaborasi serta bertukar idea kreatif dengan pengarah dan penerbit hebat ini. Kami percaya bahawa usaha sama sebegini adalah langkah untuk industri terus maju ke hadapan dalam mengangkat filem ke persada dunia yang lebih mampan. Kami bersedia dan teruja untuk mempersembahkan filem ini kepada peminat dan penonton di Malaysia. Tambah lagi jalan cerita yang segar dan genre yang ditampilkan dalam Mencuri Raden Saleh sememangnya menepati cita rasa penggemar filem di Malaysia. Kami harap kerjasama strategik di antara kedua-dua pihak ini mampu memberi manfaat besar buat penonton dan sekali gus memperluaskan landskap perfileman dua negara dalam mempelopori industri perfileman serantau Asia.”


Filem Mencuri Raden Saleh mengisahkan tentang enam remaja yang mempunyai kepakaran berbeza (The Painter, The Mastermind, The Brute, The Negotiator, The Handyman, The Driver) bergabung dan merancang untuk merompak sebuah lukisan Raden Saleh atas arahan seorang yang berpengaruh dan berkuasa. Namun, misi mereka dikhianati dan mereka menjadi buruan polis. Justeru, mereka nekad untuk membalas dendam dengan mencuri kembali lukisan Raden Saleh serta membersihkan nama baik mereka.


Saksikan filem aksi heist, Mencuri Raden Saleh di pawagam seluruh Malaysia bermula 22 September ini. Gunakan #MencuriRadenSaleh dan #FilmMencuriRadenSaleh di platform media sosial bagi berkongsi reaksi anda mengenai filem ini. Ikuti perkembangan terbaru serta klip-klip menarik filem ini di TikTok, Instagram, Twitter, Facebook Astro Shaw dan Astro Gempak.

Comments

Popular posts from this blog

ANTA MALAYSIA MELANCARKAN KEMPEN SUMBANGAN KASUT SEMPENA RAMADAN

FOODPANDA MALAYSIA LANCAR INISIATIF RAMADAN BERSAMA COCA-COLA MALAYSIA DAN VIU MELALUI KEMPEN ‘BAKUL MAKANAN’ DI SELURUH NEGARA