DUA INISIATIF BAHARU PERKUKUH ASPIRASI KUALA LUMPUR JADI HAB KOPI ASIA


Kuala Lumpur bakal menjadi tumpuan penggiat industri kopi Asia apabila Festival Kopi Kuala Lumpur 2026–2027 dan Sidang Kemuncak Kopi Asia 2027 diperkenalkan sebagai wadah baharu untuk memperluas jaringan perniagaan, perkongsian ilmu dan peluang kerjasama dalam industri kopi.

Kedua-dua acara berkenaan diperkenalkan pada majlis pelancaran di Pavilion Damansara Heights, di sini, hari ini, yang menghimpunkan pemain industri, pengusaha kopi, rakan strategik serta peminat kopi.

Majlis berkenaan dirasmikan Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Mohd Amirul Rizal Abdul Rahim, yang menyifatkan perkembangan budaya kopi tempatan sebagai sebahagian daripada pengalaman pelancongan yang mampu memperkenalkan identiti Malaysia kepada pengunjung. Turut hadir, Teresa Kok Suh Sim, Ahli Parlimen Seputeh dan Kung Suan Ai, Pengarah Pemasaran Pavilion Kuala Lumpur.

Beliau berkata budaya kopi tempatan mempunyai keunikan tersendiri, bermula daripada tradisi kedai kopi dan kopitiam sehingga kepada perkembangan pesat industri kopi khusus yang semakin mendapat perhatian.

“Budaya kopi di Malaysia mencerminkan kepelbagaian, kreativiti dan keramahan masyarakat kita. Daripada kopi 'O', kopi 'C' dan kopi tarik yang menjadi kegemaran ramai, hinggalah kepada kemunculan kafe-kafe moden yang menawarkan pelbagai jenis kopi dan adunan kreatif, semuanya melambangkan evolusi budaya kopi negara. Evolusi inilah yang memberi peluang kepada pelawat untuk mengenali Malaysia daripada sudut yang berbeza, bukan sahaja melalui tempat dan tarikan pelancongan, tetapi menerusi makanan, minuman dan perniagaan tempatan.

“Penganjuran Festival Kopi Kuala Lumpur dan Sidang Kemuncak Kopi Asia dapat membawa kisah kopi Malaysia ke peringkat yang lebih luas, selain menghubungkan pemain industri tempatan dengan rangkaian pelancongan dan perniagaan antarabangsa,” katanya.

Pelancaran tersebut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Huuha Production (M) Sdn Bhd dan Asia Specialty Coffee Association (ASCA) yang berpangkalan di Korea Selatan bagi penganjuran rasmi Asia Coffee Summit 2027 di Kuala Lumpur, Malaysia, disaksikan oleh Kung Suan Ai, Pengarah Pemasaran Pavilion Kuala Lumpur (kiri), Akbal (tengah), serta Teresa Kok Suh Sim, Ahli Parlimen Seputeh (kanan).

Satu Memorandum Persefahaman (MoU) antara Huuha Production (M) Sdn Bhd dan Asia Specialty Coffee Association (ASCA), yang berpangkalan di Korea Selatan, turut dimeterai pada majlis itu bagi menjayakan penganjuran Sidang Kemuncak Kopi Asia 2027 di Kuala Lumpur.

Sidang kemuncak berkenaan dijadual berlangsung dari 2 hingga 4 April 2027, serentak dengan Festival Kopi Kuala Lumpur 2027, dengan penyertaan dijangka melibatkan pengeluar kopi, pemanggang kopi, pengusaha kafe, usahawan serta profesional industri dari seluruh Asia.

Selain menjadi medan pertukaran pengetahuan dan kepakaran, acara itu dijangka membuka lebih banyak ruang kepada pemain industri untuk membina hubungan perniagaan dan meneroka peluang kerjasama di peringkat serantau.

Turut menjadi acara kemuncak ialah majlis Anugerah 100 Kafe Terbaik Asia pada malam 3 April 2027, yang akan memberi pengiktirafan kepada kafe dan pengusaha yang mencapai kecemerlangan dalam industri berkenaan.

Sebelum itu, Festival Kopi Kuala Lumpur 2026 akan berlangsung dari 6 hingga 9 November ini, memberi peluang kepada orang ramai dan pengunjung dari dalam serta luar negara untuk menikmati kepelbagaian budaya kopi Malaysia.

Festival berkenaan akan mengetengahkan perjalanan industri kopi tempatan yang merangkumi warisan kopi tradisional serta perkembangan kopi khusus yang semakin berkembang dalam kalangan pengguna dan pengusaha tempatan.

Penganjuran kedua-dua acara itu juga dilihat mempunyai potensi lebih besar terhadap sektor pelancongan memandangkan pengalaman berkaitan makanan dan minuman kini menjadi antara elemen yang menarik minat pelawat untuk mengenali sesebuah destinasi.

Dengan kepelbagaian sajian makanan, minuman dan gaya hidup bandar, Kuala Lumpur dan Selangor mempunyai kelebihan untuk menawarkan pengalaman gastronomi yang lebih luas, termasuk menerusi budaya kopi yang semakin mendapat tempat. Kesan ekonomi daripada penganjuran acara itu juga dijangka merangkumi sektor lain yang berkait rapat dengan aktiviti pelancongan dan perniagaan, termasuk perhotelan, makanan dan minuman, peruncitan serta pengangkutan.

Dalam pada itu, laman sesawang rasmi Sidang Kemuncak Kopi Asia turut dilancarkan pada majlis berkenaan bagi membolehkan pemain industri dan bakal peserta mendapatkan maklumat mengenai program serta peluang penyertaan.

Penganjuran Festival Kopi Kuala Lumpur dan Sidang Kemuncak Kopi Asia 2027 sekali gus membuka lembaran baharu kepada industri kopi tempatan, dengan Kuala Lumpur berpeluang menjadi titik pertemuan antara pengusaha Malaysia dan komuniti kopi dari seluruh Asia.

Ia juga mengangkat kopi bukan sekadar sebagai minuman harian, tetapi sebagai sebahagian daripada budaya, pengalaman pelancongan dan jaringan ekonomi yang mampu menghubungkan Malaysia dengan pasaran serantau.

Comments

Popular posts from this blog

IKEA MALAYSIA SOKONG PEMBELAJARAN AWAL UNTUK KELUARGA KURANG BERKEMAMPUAN

KARL SHAFEK KEMBALI KE PENTAS TEATER DENGAN TOMYAM BERDARAH

PPA LANCAR #ISAVEINPRS YEAR-END TREATS 2026 DORONG TABUNGAN PERSARAAN RAKYAT MALAYSIA