METAVERSE : MELANGKAH KE DALAM RUANG BERNILAI $800 BILLION
Metaverse, yang kini semakin menambat hati orang ramai sebagai salah satu teknologi yang paling pesat berkembang di Malaysia merupakan konsep yang menyatukan dunia realiti dengan alam maya. Namun demikian, ramai pihak yang masih tidak sedar sejauh mana metaverse bakal meninggalkan kesan terhadap kehidupan mereka.
Jason Low, Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Virtualtech Frontier Sdn Bhd melancarkan sebuah karya bertajuk “Metaverse” di Borders Bookstore, The Curve pada 26 Oktober 2022, dengan harapan naskhah ini dapat membantu masyarakat memahami konsep metaverse secara keseluruhan.
Hakikatnya, buku ini ditulis untuk memberikan pemahaman dan perspektif yang lebih mendalam kepada pembaca berkenaan metaverse, yang masih di peringkat permulaan.
Menurut Low, “Saya berniat menghasilkan buku ini untuk pembaca di Asia kerana kebanyakan buku metaverse yang sedia ada digarap melalui konteks di Barat. Sesungguhnya, penting untuk industri metaverse tempatan sama-sama berkembang maju, dan buku ini membolehkan pengusaha tempatan memahami konsep metaverse kerana mereka bakal menjadi pelanggan awal di rantau ini.”
Ujar Low, salah satu tanggungjawab utama sebagai syarikat metaverse adalah membangunkan ilmu asas tentang metaverse untuk dikongsi dengan komuniti tempatan. “Walaupun terdapat banyak artikel dalam talian berkenaan metaverse, buku ini bakal memberikan maklumat serba lengkap yang lebih relevan kepada khalayak tempatan.”
Oleh itu, Virtualtech Frontier mengambil inisiatif untuk bekerjasama dengan Kanyin Publications Sdn Bhd dalam menerbitkan buku ini untuk mendidik orang ramai mengenai metaverse.
Apakah itu metaverse?
Terdapat banyak takrifan yang dikemukakan oleh personaliti dan penggiat media yang terkemuka berhubung dengan Metaverse. “Secara ringkas, metaverse hanyalah sekadar alam maya 3D yang boleh diakses oleh sesiapa sahaja bagi tujuan sosial dan perdagangan,” jelas Low. “Saya percaya bahawa pada masa hadapan, manusia bakal memiliki suatu lagi kehidupan di alam metaverse, apabila manusia dapat berkomunikasi dan bersosial dengan sesiapa sahaja di setiap ceruk metaverse, serta mencari punca pendapatan melalui pekerjaan yang disediakan oleh syarikat-syarikat besar di alam tersebut.”
Istilah “metaverse” pada mulanya digunakan dalam novel sains fiksyen distopia bertajuk Snow Crash, karya Neal Stephenson yang diterbitkan pada tahun 1992. Konsep ini mula dicanangkan apabila semakin tular dalam kalangan masyarakat sejak beberapa tahun lalu. Hal ini bermakna terdapat potensi pasaran sejumlah $800 bilion dalam tempoh 10 tahun akan datang. Bagi Low dan rakan seperjuangannya, peluang ini tidak boleh disia-siakan, lagi-lagi mereka sendiri ialah pemain game sejati.
“Saya dilahirkan pada tahun 90-an dan membesar dengan “permainan main peranan” (role- playing game, RPG). Minat sejak zaman kanak-kanak itu masih mendarah-daging, dan memandangkan pasukan saya memilki latar belakang dalam pembangunan game, kami terdorong untuk berkecimpung dalam pemantapan teknologi melalui karier masing-masing,” jelas Low.
Metaverse dan kesannya terhadap umat manusia
Sekalipun metaverse masih di peringkat awal, potensi besarnya terhadap kehidupan manusia tidak dapat dinafikan lagi. Bagi Low, baik syarikat korporat mahupun pengguna harian, kedua-duanya berpeluang memanfaatkan dunia tanpa sempadan yang tak terjangka.
“Kami giat berusaha untuk menyediakan ruang maya dalam metaverse untuk syarikat membina platform libat urus baharu melangkau media sosial, sekaligus menyaksikan syarikat dapat berinteraksi dengan pelanggan secara selesa di alam maya.
Pada masa yang sama, pengguna harian diberi pilihan untuk terlibat sama dan berinteraksi antara satu sama lain melalui pengalaman maya yang lebih memberangsangkan,” tambah Low.
Namun terdapat suatu soalan, “Adakah dunia akan berubah menjadi seperti mana filem ‘Ready Player One’?
Ujar Low, ada kemungkinan dalam sepuluh tahun akan datang, peranti VR yang lebih mantap dan canggih bakal dilancarkan oleh syarikat gergasi seperti Meta (sebelum ini dikenali sebagai Facebook) disusuli oleh komuniti pembangun yang giat menambah baik teknologi maya (virtual).
Walaupun metaverse hanya sekadar ditakrifkan sebagai “ruang maya 3D”, hakikatnya cara kita mengendalikan ruang tersebut lebih menjadi keutamaan.
“Bayangkan, anda boleh mencipta segala-galanya di alam maya melalui ruang 3D! Pewujudan dunia fantasi yang menakjubkan bahkan simulasi kehidupan di marikh (mars) hanyalah sebahagian kecil daripada potensi sebenarnya. Pokok-pangkalnya, inti pati metaverse bergantung pada proses penciptaan dan penglibatan bersama antara syarikat-syarikat dengan pelanggan masing-masing,” kongsi Low.
“Kita perlu menggalakkan daya kreativiti tiada sempadan dalam ekosistem tersebut, demi melancarkan jaringan keterhubungan yang pelbagai dengan pengguna. Melalui pelbagai strategi untuk memantapkan libat urus dan interaksi antara pengguna, diharapkan hal ini dapat memberi kesan terhadap kehidupan orang ramai pada masa depan.”
“Metaverse” kini boleh didapati di kedai buku Borders, Kinokuniya, dan MPH. Buku ini juga bakal dipasarkan di cawangan Popular Malaysia, KL Commercial Books, GoldenHouse (peruncit buku dalam talian) di Malaysia, Kinokuniya Singapura, Thailand, dan Kemboja tidak lama lagi.
Comments
Post a Comment