FILEM SERAM INDONESIA, ‘QODRAT’ BAKAL MERASUK PAWAGAM MALAYSIA MULAI 24 NOVEMBER
Filem seram box office Indonesia, QODRAT telah berjaya menerima 101,272 penonton di hari pertama pembukaan tayangannya menerusi lebih 400 pawagam pada 27 Oktober lalu dan sehingga hari ini telah menerima jumlah penonton melebihi 1.7 juta.
Kini Qodrat bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia menerusi kerjasama Astro Shaw. Qodrat menjadi filem seram yang cukup besar di Indonesia kerana melibatkan beberapa produksi besar dalam proses pembikinannya seperti Rapi Films, Magma Entertainment, Ideosource Entertainment, Astro Shaw, Caravan Studio, dan Dunia Mencekam Productions.
Pembikinan filem ini mengambil masa 4 tahun dari pasca sehingga pos produksi untuk menghasilkan pelbagai karakter, jalan cerita serta suntingan yang ditampilkan dalam filem Qodrat. Malah banyak elemen baru diselitkan bagi memberikan pengalaman yang berbeza kepada penonton. Filem ini menampilkan barisan pelakon hebat Indonesia dari pelbagai latar usia.
Teraju utamanya dijayakan oleh aktor ternama Indonesia Vino G. Bastian, dan beliau sering membintangi filem pecah panggung dari genre komedi, drama, biografi dan aksi seperti ‘Warkop DKI Reborn: Jangkrik Boss! Part 1’ (filem komedi no 1 paling laris sepanjang masa di Indonesia), ‘Miracle in Cell No. 7’ (filem kekeluargaan no 1 paling laris sepanjang masa di Indonesia), ‘Wiro Sableng: Pendekar Kapak Maut Naga Geni 212’ dan banyak lagi.
Filem Qodrat menyaksikan filem seram pertama oleh Vino dan membawa peranan sebagai ustaz. Bukan itu sahaja, malah menerusi Qodrat juga Vino digandingkan dengan isterinya iaitu pelakon Marsha Timothy (pelakon filem The Raid 2: Berandal). Pelakon lain adalah Randy Pangalila, Cecep ArifAgla Artalidia Rahman, Maudy Effrosina, Keanu Azka Briansyah, Pritt Timothy, Whani Darmawan, Rezca Syam, Eduwart Manalu, Ricky Saldan, Jason Bangun dan Adelheid Bunga.
Menariknya Qodrat, ia menceritakan tentang perjuangan seorang ustaz dalam ilmu rohani (Ruqyah) namun gagal meruqyah anaknya sendiri. Jadi, filem ini menggabungkan elemen seram dan agama. Memandangkan Qodrat mengandungi unsur agama dan menggunakan ayat Al-Quran serta hadis, maka pihak produksi telah mendapatkan bantuan daripada ustaz dan bimbingan nasihat para ulama bagi menghindari kesalahan makna yang dipersembahkan dalam filem.
Menurut Penerbit Filem Qodrat, Linda Gozali Arya, berkata, “Saya rasa amat teruja Qodrat akan ditayangkan di pawagam Malaysia kerana menjadi hasrat kami untuk filem terbitan MAGMA dipersembahkan kepada penonton Malaysia. Perasaan gembira ini juga sedikit ‘deja vu’ apabila syarikat induk MAGMA iaitu Garuda Film terdahulu pernah menerbitkan filem hasil produksi bersama Indonesia dan Malaysia melalui filem ‘Gadis Hitam Putih’ pada 35 tahun lalu. Jadi saya amat menantikan kehadiran Qodrat di layar perak Malaysia kelak.”
“Manakala bekerjasama dengan Astro Shaw sudah menjadi hasrat kami sejak pembikinan awal filem Qodrat kerana kami percaya majoriti penduduk Indonesia dan Malaysia adalah serumpun, jadi kami ingin bekerjasama dengan pelabur dari Asia Tenggara yang terbaik dalam pengedaran serta platform media. Kami berharap Qodrat mampu meninggalkan kesan kepada penonton menerusi persembahannya yang tersendiri serta jalan cerita tentang seorang pendeta ilmuwan. Pihak penerbit dan semua yang terlibat telah berusaha dan mengharungi cabaran menghasilkan Qodrat, dan itu membuktikan bahawa orang di luar sana juga mampu harungi cabaran untuk mencari takdir masing-masing”, - tambah Linda Gozali Arya lagi.
Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, “Filem Qodrat telah menerima sambutan baik di Indonesia dan kami yakin menerusi reaksi positif penonton dan ulasan pihak media di negara tersebut telah memberi keterujaan buat penggemar filem Indonesia serta genre seram di sini untuk menantikan kehadiran filem ini di Malaysia. Menariknya, di samping memaparkan babak aksi mendebarkan dan banyak kejutan, filem ini turut memaparkan gabungan elemen seram dan unsur agama, di mana ia amat dekat dengan penonton Malaysia. Kami harap kehadiran filem ini mampu menjadi penggalak dan menyuntik lagi kreativiti pengkarya di sini untuk menghasilkan filem-filem terbaik buat penonton, industri seni tempatan serta serantau Nusantara.”
Sementara itu, Pengarah Qodrat, Charles Gozali berkata, “Kami amat gembira kerana filem Qodrat yang kami hasilkan dalam tempoh proses kira-kira empat tahun, akhirnya ditayangkan bukan hanya kepada penonton di Indonesia tetapi di negara jiran juga. Dalam filem ini, saya ingin paparkan watak ustaz ruqyah dengan sentuhan kontemporari meskipun masih mengekalkan seram klasik. Qodrat adalah sebuah karya istimewa buat penggemar filem seram Indonesia.”
Qodrat mengisahkan tentang seorang Ustaz Qodrat yang berpuluh tahun menggunakan ilmu ruqyah untuk menolong orang namun gagal meruqyah anaknya sendiri, Alif Al-Fatanah yang dirasuki setan bernama Assuala. Mencari jawapan atas kegundahannya, Qodrat pulang ke tempatnya menuntut ilmu. Namun, tempat itu sudah tidak seperti dulu kerana gangguan-gangguan yang tidak dapat dijelaskan.
Ketika situasi semakin tegang, Qodrat harus berhadapan dengan traumanya ketika meruqyah Alif Amri iaitu anak bongsu kepada Yasmin, kerana nama anak tersebut sama dengan arwah anaknya. Di tengah ujian yang meruntuhkan jiwa, Qodrat kembali menghadapi amukan Assuala. Kali ini, Qodrat harus memilih antara menuruti kemarahannya atau kembali menemukan keimanannya.
Nantikan filem seram Indonesia, Qodrat di pawagam seluruh tanah air bermula 24 November 2022. Ikuti perkembangan terbaru serta klip-klip menarik filem ini di TikTok, Instagram, Twitter, Facebook Astro Shaw dan Astro Gempak.
Comments
Post a Comment