INSTITUT ENDOKRIN HOSPITAL PUTRAJAYA DAN PERSATUAN ENDOKRIN & METABOLIK MALAYSIA (MEMS) BEKERJASAMA DENGAN NOVO NORDISK UNTUK MENINGKATKAN KESEDARAN TENTANG DIABETES


Sambutan Hari Diabetes Sedunia (WDD) 2022 merupakan peristiwa yang bermakna kerana Institut Endokrin Hospital Putrajaya dan Persatuan Endokrin & Metabolik Malaysia (MEMS) telah bekerjasama dengan Novo Nordisk Pharma Malaysia untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang diabetes.

Tema Hari Diabetes Sedunia tahun ini ialah Pendidikan untuk Melindungi Hari Esok – merupakan tema tahun kedua kempen Hari Diabetes Sedunia 2021-23 yang menekankan tentang kepentingan akses kepada pendidikan diabetes yang lebih baik untuk profesional penjagaan kesihatan dan penghidap diabetes.

Acara Diabetes Fun Walk dimulakan sebagai siri aktiviti pendidikan pada sebelah pagi di sekitar kawasan Hospital Putrajaya untuk orang ramai. Larian itu disertakan dengan pelbagai permainan di stesen pendidikan tentang diabetes dan cara pengurusannya yang perlu diselesaikan oleh peserta untuk menamatkan larian. Larian tersebut dilengkapi dengan Pameran Diabetes yang menampilkan banyak tapak pendidikan serta ceramah umum daripada pelbagai jabatan hospital untuk bersama-sama memberi kesedaran dan pendidikan tentang diabetes. Selain daripada aktiviti kesedaran awam, Institut Endokrin juga menganjurkan aktiviti pendidikan diabetes untuk penyedia penjagaan kesihatan dengan bengkel latihan kapasiti mengenai pengurusan diabetes buat pasukan mereka.

Dato' Dr. Asmayani bt Khalib, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), Kementerian Kesihatan Malaysia, telah merasmikan majlis tersebut bersama Datuk Dr. Zanariah bt Hussein, Ketua Perkhidmatan Subkepakaran Endokrinologi Kementerian Kesihatan Malaysia, Dr. Nurain bt Mohd Noor, Presiden MEMS, Dr. Mohammad Khairol Anwar b. Yusop, Timbalan Pengarah (Endokrin) Hospital Putrajaya dan Encik Richard Abela, Naib Presiden dan Pengurus Besar Novo Nordisk Pharma Malaysia.

Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi semasa melaporkan peningkatan jumlah penghidap diabetes yang menjejaskan 1 dalam 5 orang dewasa di Malaysia. Sehubungan itu, Dr. Asmayani sering mengulangi kepentingan pendekatan holistik dalam pencegahan dan pengurusan untuk memerangi penyakit itu. “Pertambahan bilangan penghidap diabetes memberi tekanan tambahan kepada sistem penjagaan kesihatan. Profesional penjagaan kesihatan memerlukan pendidikan yang berkualiti mengenai cara untuk mengesan dan mendiagnosis keadaan awal serta memberikan penjagaan yang terbaik; manakala penghidap diabetes memerlukan akses kepada pendidikan secara berterusan untuk memahami keadaan mereka dan melakukan penjagaan diri harian yang penting supaya mereka dapat mengelakkan komplikasi serta kekal sihat”, kata Dr. Asmayani.

Sentimen itu disuarakan oleh Datuk Dr. Zanariah Hussein yang kemudiannya berkata, “Dengan peningkatan jumlah rakyat Malaysia yang menghidap diabetes, sangat penting untuk kita menggandakan usaha mencegahnya daripada terus meningkat. Akses kepada pendidikan diabetes berkualiti adalah matlamat yang mesti diusahakan oleh semua untuk mendidik dan memperkasa pesakit, masyarakat serta ahli keluarga yang membantu dan menjaga penghidap diabetes. Kami sangat teruja untuk bekerjasama dengan Novo Nordisk serta pihak lain secara dalaman dan luaran dalam usaha memacu kesedaran serta aktiviti pendidikan mengenai diabetes.”

“Kami berasa gembira kerana dapat menyokong Hospital Putrajaya dalam aktiviti Hari Diabetes Sedunia tahun ini. Tumpuan pada Akses kepada Pendidikan Diabetes merupakan aspek kritikal yang membolehkan penjagaan lestari jangka panjang terlaksana apabila penyedia penjagaan kesihatan dan penghidap diabetes menerima pendidikan yang berkualiti. Komponen ini adalah penting untuk penjagaan diabetes sementara kami membangunkan pendekatan yang berpusatkan pesakit dalam penjagaan pengurusan penyakit kronik sepanjang hayat. Kami di Novo Nordisk ingin menjadi sebahagian daripada penyelesaian. Oleh itu, tiga tonggak strategi tanggungjawab sosial Defeat Diabetes global kami iaitu mempercepat pencegahan, menyediakan akses kepada penjagaan mampu milik bagi pesakit yang terdedah kepada risiko, dan menginovasi rawatan baharu untuk memperbaiki kehidupan, merupakan langkah yang kami ambil untuk merealisasikan matlamat itu,” kata Richard Abela.

Hari Diabetes Sedunia merupakan kempen kesedaran global tahunan yang dimulakan pada tahun 1991 oleh Persekutuan Diabetes Antarabangsa (IDF) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai tindak balas kepada kebimbangan terhadap ancaman kesihatan yang semakin meningkat akibat diabetes. Kempen ini bertujuan untuk menggalakkan usaha menyokong dan menyebarkan kesedaran tentang kepentingan merawat serta mengurus penyakit diabetes sebagai satu isu kesihatan global yang kritikal.

 

Comments

Popular posts from this blog

CARIAN TAHUN 2024: INILAH PERKARA YANG DICARI, DISAMBUT, DAN DIINGATI OLEH RAKYAT MALAYSIA

MULAKAN PAGI ANDA DENGAN PENUH BERTENAGA: ACARA IKONIK MILO® MALAYSIA BREAKFAST DAY KEMBALI SEMPENA SAMBUTAN ULANG TAHUN KE-75 MILO® DI MALAYSIA

IQIYI MEMPERSEMBAHKAN DRAMA BERSIRI TERBAHARU ‘SENYAWA’ LAKONAN MANTAP TRISHA OOI, SHAHZ JASZLE & SITI HARIESA