RADHI HIDUPKAN NOSTALGIA SYAWAL DENGAN “RAYA BERSAMA”
Bersempena sambutan Aidilfitri tahun ini, P. Radhi tampil dengan sebuah single bertajuk Raya Bersama, yang mengangkat tema nostalgia dan kenangan lama yang sering dirindui setiap kali syawal menjelma. Lagu ini membawa pendengar mengimbau kembali suasana Raya klasik daripada kemeriahan pagi syawal, juadah tradisional, sehinggalah momen bersama keluarga tercinta. Disertai dengan ajakan kepada kita semua untuk saling bermaafan dan membuka lembaran baharu dengan jiwa yang lebih bersih.
Lagu dan lirik “Raya Bersama” merupakan hasil ciptaan Firdaus Rashid, seorang komposer baharu di bawah naungan Luncai Emas. Single raya ini hadir sebagai karya terbaharu P. Radhi selepas pelancaran single solonya pada tahun 2024 “Gadis Chantek’’ ciptaan oleh M.Nasir, selain projek rakaman semula lagu pada tahun 2022, iaitu “Tiara” dan “Suatu Masa” yang dirilis di bawah Luncai Emas.
Lirik lagu ini turut membawa mesej yang lebih bermakna dan mendalam agar keindahannya kekal relevan serta tidak luput ditelan peredaran zaman. P. Radhi berkata “Saya harap lagu ini bukan sekadar hiburan semata-mata, tapi dapat mengeratkan lagi ukhwah dan keceriaan sesama kita di hari lebaran.”
P. Radhi, atau nama penuhnya Muhammad Radhi Ab Rahman, dikenali dalam dunia seni muzik sebagai penyanyi yang dikaitkan dengan gaya nyanyian mirip seniman Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, tetapi masih mengekalkan sentuhan dan karakter peribadinya sendiri. P. Radhi sebelum ini juga adalah merupakan Juara Bintang P. Ramlee Kebangsaan pada tahun 2016.
P. Radhi sekali lagi membuktikan pencapaian terbaharunya dalam dunia seni muzik menerusi penghasilan karya berunsur klasik sebegini, agar terus kekal dan relevan sepanjang zaman.
Seiring dengan platform serta repertoire yang dimiliki, Luncai Emas berperanan sebagai pengedar digital dan pentadbir hak cipta bagi lagu ini.
Kepada anda yang ingin merasai sendiri nostalgia lagu ini, single terbaru P.radhi - “Raya Bersama” kini sudah boleh didengar dan dinikmati di semua platform penstriman digital utama dan Youtube Luncai Emas.
.jpeg)
.jpeg)
Comments
Post a Comment