AYU DAMIT KELUAR MODAL SENDIRI UNTUK HASILKAN SINGLE TERBAHARU 'KEJAM'


Namanya bukan calang-calang, wanita genit bersuara emas ini pernah menyandang gelaran juara program realiti nyanyian yang pernah menjadi fenomena suatu ketika dahulu iaitu One In A Million musim ke-2 (OIAM2).

Anak kelahiran Putatan, Sabah, Ayu Damit kini kembali dengan single terbaharu dalam genre balada berjudul ‘KEJAM’ hasil ciptaan komposer muda Khairul Daniel, manakala liriknya ditulis sendiri oleh Ayu bersama Slen dan Jay.

“Syukur Alhamdulillah, penantian selama 2 tahun akhirnya berbaloi dengan terlahirnya single KEJAM ini, pelbagai rintangan terpaksa dihadapi bagi menyiapkan lagu ini, masakan tidak hampir setahun diperuntukkan untuk sampai ke tahap ini, namun saya akur ini adalah ketentuan-Nya kerana kita hanya mampu merancang dan Tuhan yang menentukan segalanya,” ujar mahasiswa Ijazah Sarjana Muda dalam jurusan Vokal Klasikal di ASWARA.


Perjalanan seni Ayu bermula setelah menjuarai pertandingan OIAM2 pada tahun 2008 sehingga dinobatkan pemenang bagi kategori Vokal Terbaik (Wanita) di Anugerah Industri Muzik (AIM) pada tahun yang sama, setelah itu, namanya seakan pudar dari radar industri muzik tempatan.

“Selepas beberapa tahun berada dalam industri muzik Malaysia, kerjaya seni saya ada kalanya naik dan turun disebabkan beberapa faktor dan rezeki dalam bidang seni seakan tidak menyebelahi saya sehinggalah saya membuat keputusan untuk fokus terhadap keluarga dan juga perniagaan yang saya usahakan bersama suami.

“Kemudian, pada tahun 2020 saya telah ditawarkan untuk menyertai GV7 (Gegar Vaganza musim ke-7) dan berjaya memperoleh tempat ketiga, dan dari situlah saya mula konsisten untuk kembali aktif menyanyi dan mengembangkan lagi bakat saya sebagai seorang penyanyi di bawah pengurusan JoePRC International.

Single KEJAM terhasil bertitik tolak dari usaha Ayu sendiri bersama suami tercinta iaitu saudara Syed Fauzi Syed Baharuddin yang sentiasa mendukungi setiap keputusan yang diambilnya sehingga sanggup mengeluarkan modal sendiri dan tidak mengharapkan mana-mana tajaan kerana terlalu serik dengan pengalaman lalu.

“Saya bertemu dan berbincang dengan komposer bernama Khairul Daniel lantas menyatakan lagu bagaimana yang saya mahukan dan dia seakan mengerti kehendak serta citarasa saya, setelah berbincang kami terus ke studio bagi memulakan proses rakaman lagu tersebut.

“Bayangkan proses untuk menyiapkan lagu ini bermula dari bulan Februari sehingga Oktober kerana banyak perkara terpaksa saya uruskan sendiri dengan tunjuk ajar komposer yang banyak membantu dan banyak saya pelajari dari A sehingga Z.

Menurut Ayu, single KEJAM ini menceritakan tentang perhubungan bertepuk sebelah tangan, “Lagu ini sebenarnya berkisar sepasang kekasih yang mengharapkan cinta namun tidak balas dan tiada kata putus lantas perbuatan kekasihnya ‘kejam’ kerana telah dipersiakan sebegitu.


“Saya sengaja memilih genre balada kerana mahu menonjolkan kemampuan vokal saya dalam sisi berbeza dengan sentuhan melodi ala 90-an namun tetap kedengaran ‘fresh’ dan baharu.

Bagi Ayu, setiap perkara yang berlaku ada hikmahnya dan perlu banyak bersabar kerana tidak mudah untuk kembali ke arena seni suara setelah menyepi buat sekian lamanya.

Tambah Encik Joe Saiful, selaku CEO & Pengasas JoePRC International, pihak pengurusan rasmi, “Saya percaya dengan bakat yang dimiliki Ayu kerana kebolehannya dalam bidang seni tidak perlu dipertikaikan lagi, dan melalui lagu KEJAM ini dapat membagkitkan lagi kerjaya seni Ayu. Semoga Ayu terus komited dalam menghasilkan lebih karya-karya bermutu pada masa hadapan.

Akhiri Ayu: “Saya berharap agar lagu KEJAM ini mendapat sambutan dan boleh diterima oleh semua pendengar dan penggemar muzik tempatan, dan jangan lupa untuk terus menyokong saya dan Insya-Allah lebih banyak lagi lagu-lagu bermutu yang bakal menyusul.

Lagu ‘KEJAM’ boleh dimuat turun di iTunes dan boleh juga dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.

Manakala lirik videonya yang berkonsepkan ‘simple elegance’ boleh ditonton secara eksklusif hanya di saluran YouTube Alternate Records.

Comments

Popular posts from this blog

‘HAL HEBAT’ - PADUAN HEBAT DUA NEGARA OLEH ERNIE ZAKRI BERSAMA GOVINDA

APAKAH RISIKO MAKANAN DIPROSES BERLEBIHAN YANG WAJIB DIKETAHUI?