TELEMOVIE “BEDAK ARANG” - SAJIAN KHAS TAHUN BAHARU CINA DI TV2


Kelainan pemilihan tajuk “Bedak Arang” antara faktor utama menjadikan telemovie yang dipilih khas untuk disiarkan sempena sambutan Tahun Baharu Cina ini menemui penonton pada 23 Januari, pukul 9.00 malam di TV2.

Sarat dengan konflik dan mesej kekeluargaan, telemovie berlatarkan kisah benar seorang lelaki tua dengan pekerjaannya sebagai penempa besi di Pasir Penambang, Kuala Selangor ini dikembangkan pengarahnya Mohd Zainorhisyam (Wak Dol) menonjolkan kerjaya warisan yang realitinya semakin dilupakan dan sukar mendapat tempat di hati anak muda.

Gambaran perbezaan hitam dan putih diterjemahkan dalam tajuk bedak dan arang dikaitkan dengan kerjaya seorang lelaki sebagai penempa besi digandingkan dengan pekerjaan isterinya, seorang penyanyi opera. Dua kerjaya berbeza umpama langit dan bumi namun ditakdirkan dijodohkan bersama.

Telemovie ini mengangkat dua isu berat dalam perjalanan hidup watak utamanya iaitu Lee. Konflik mencari pewaris kerjaya dan cabaran berdepan dengan isterinya yang menghidap penyakit demensia atau nyanyuk begitu menduga hidup Lee.


Plot kisahnya bermula dengan memperkenalkan Lee seorang tukang besi yang begitu mengharapkan anak lelakinya mewarisi bakat turun-temurun keluarga mereka sebagai penempa besi.

Tetapi malangnya, anaknya enggan menerima cadangan bapanya itu dan memberikan pelbagai alasan. Situasi itu menyebabkan Lee nekad meneruskan perniagaan tersebut seorang diri.

Sementara itu isterinya, Xiu Ching pula merupakan bekas penyanyi opera terkenal satu ketika dahulu. Namun kerana faktor usia, tiada lagi orang mencarinya untuk membuat persembahan. Masanya banyak dihabiskan di rumah sebagai suri rumahtangga.

Hingga satu hari Lee berdepan dengan penjahat yang memeras ugut untuk mendapatkan wang daripadanya. Lee mula tertekan dengan masalahnya apatahlagi pada masa sama Xiu Ching pula semakin lupa dengan banyak perkara.

Kehadiran seorang budak lelaki yang menunjukkan minat mendalam dalam bidang penempa besi memberikan sinar dalam hidup Lee. Dia mula nampak kepada siapa kerjayanya itu mahu diwarisi. Namun apakah impiannya tertunai?

Menampilkan pelakon utama Jesse Lim dan Louisa Chong Abdullah, ia turut dibantu Akmal Ahmad, Syed Irfan dan ramai lagi.

Bagi anda yang terlepas untuk menonton rancangan di TV2, anda berpeluang menontonnya menerusi RTM Klik (rtmklik.rtm.gov.my).

 

Comments

Popular posts from this blog

SUNWAY MALLS MERAIKAN ULANG TAHUN KE-50 SUNWAY GROUP DENGAN PENUH GILANG DI SELURUH NEGARA

X-CHANGE: ASTRO ORIGINALS YANG PERTAMA HIMPUNKAN PELBAGAI BAHASA, MENGGABUNGKAN GENRE AKSI, JENAYAH & ROMANTIK

KEMPEN ‘MEMPERKASAKAN IMPIAN WANITA’ SUNSILK BERJAYA MENJANA RM100,000 UNTUK SOKONG WOMEN OF WILL

BAWAH PAYUNG AWAN - GANDINGAN ISTIMEWA NABILA RAZALI, BEN AMIR DAN NELISSA NIZAM