TROFI PIALA FA EMIRATES AKAN TIBA DI KUALA LUMPUR DALAM LAWATAN SULUNG BERSEJARAH

 

Pertandingan kalah mati kebangsaan tertua dan paling terkenal di dunia, The Emirates FA Cup atau Piala FA Emirates, akan memulakan Jelajah Trofi Asia Pasifik yang julung kali diadakan dari 21 hingga 29 Januari 2023. Buat pertama kali dalam sejarah 150 tahunnya, trofi Piala FA Emirates akan diterbangkan ke Malaysia. Para peminat berpeluang untuk melihat sendiri salah satu piala tersohor dunia sukan dalam majlis yang akan diadakan pada hari Rabu, 25 Januari di Kuala Lumpur.

Lawatan tersebut akan bermula di Sydney pada 23 Januari. Piala kemudian tiba di Kuala Lumpur pada 25 Januari sebelum menuju ke Singapura pada 26 Januari dan kemudian lawatan berakhir di Seoul pada hujung minggu yang sama dengan Pusingan Keempat Piala FA Emirates pada 28-29 Januari.

Sambil rakyat Malaysia memberi sokongan kepada kelab Inggeris kegemaran mereka bersaing dalam Piala FA Emirates di saluran Astro, para peminat dijemput untuk datang dan melihat sendiri trofi bersejarah ini, dan mereka boleh mengambil gambar dengan Piala FA Emirates di lokasi di bawah:
  • Rabu 25 Januari, dari jam 10.00 pg hingga 11.30 pg dan 1.00 tgh hari hingga 9.00 mlm 
  • Tingkat Bawah, Central i-City, Shah Alam
Navin Singh, Pengarah Komersial Persatuan Bola Sepak England berkata: "Kami sangat teruja untuk bekerjasama dengan Astro selaku rakan penyiaran tempatan kami, untuk membawakan trofi Piala FA Emirates ke Malaysia sebagai sebahagian daripada Jelajah Trofi Asia Pasifik – lawatan yang pertama sepertinya. Trofi Piala FA adalah antara yang paling disanjung tinggi dalam dunia sukan dan sejak perayaan ulang tahun ke-150 pertandingan musim lepas, minat global terhadap pertandingan ini semakin memuncak.

"Kami berharap dengan membawa trofi ke Kuala Lumpur, kami boleh menarik lebih ramai penonton untuk menyaksikan drama dan aksi luar biasa bola sepak Piala FA dan menunjukkan mengapa ia merupakan pertandingan kalah mati kebangsaan terhebat di dunia. Kami berharap untuk terus bekerjasama dengan Astro untuk membawakan pemain dan pasukan paling terkenal dalam bola sepak Inggeris ke skrin anda, dengan Pusingan Keempat diadakan pada hujung minggu 28-29 Januari dan mencapai kemuncak dalam satu lagi Perlawanan Akhir bertaraf dunia di Stadium Wembley, London yang disiarkan secara langsung eksklusif di Malaysia oleh Astro pada awal pagi Ahad, 4 Jun.”

Piala FA Emirates, yang disiarkan secara eksklusif oleh rakan penyiaran rasmi Astro, ialah pertandingan piala kebangsaan tertua di dunia. Lebih daripada 700 kelab dan 10,000 pemain yang mewakili seluruh sistem kelab dalam persatuan bola sepak Inggeris bersaing dalam format kalah mati yang begitu mendebarkan untuk peluang muncul sebagai juara. Liverpool memenangi Piala pada 2022 dan Arsenal telah memenanginya paling banyak kali dalam sejarah pertandingan, apabila dinobatkan juara 14 kali.

Nicholas John, Ketua Sukan, Astro berkata: “Astro mahu mencorakkan pengalaman yang menarik dan mengasyikkan bagi para peminat sukan Malaysia. Kami berbangga untuk memainkan peranan membawakan trofi PIala FA ke Malaysia, memberi peminat peluang untuk melihat trofi tersohor ini secara lebih dekat. Mereka boleh bersama-sama datang untuk menzahirkan minat mereka untuk permainan ini. Sambil pertandingan semakin hangat dan menuju ke kemuncak, para peminat boleh menonton kelab kegemaran mereka dan semua aksi Piala FA di Astro, Saluran Sukan di Malaysia.”

Malaysia memang sudah lama ada kaitan dengan Piala FA Emirates, termasuk penglibatan beberapa pemain yang telah memainkan peranan penting dalam Piala FA England dan juga Malaysia, seperti Tony Cottee, yang merupakan naib juara Piala FA England bersama Everton dan juara Piala FA Malaysia bersama Selangor. Seorang lagi pemain ialah David Rocastle, yang muncul banyak kali dalam Piala FA England bersama Arsenal dan merupakan naib juara Piala FA Malaysia bersama Sabah.

Pada Pusingan Keempat, satu perlawanan hebat antara dua pasukan terutama dalam Liga Perdana Inggeris bakal disaksikan apabila Manchester City selaku tuan rumah menyambut ketibaan Arsenal. Sementara itu, Manchester United akan bersaing dengan pasukan liga Championship, Reading, manakala Preston North End akan mengalu-alukan ketibaan Tottenham Hotspur. Dalam pada itu, Brighton & Hove Albion akan menentang Liverpool dan akhir sekali pasukan bukan liga, Wrexham, yang dimiliki pelakon terkenal Ryan Reynolds, ingin mengulangi kemenangan mengejut pada Pusingan Ketiga ke atas Coventry City apabila bermain di tempat sendiri menentang pasukan Sheffield United yang sedang cemerlang di liga Championship.

Jadual Perlawanan Penuh Pusingan Keempat:
  • Preston North End lwn Tottenham Hotspur
  • Southampton lwn Blackpool
  • Wrexham lwn Sheffield United
  • Ipswich Town lwn Burnley
  • Manchester United lwn Reading
  • Luton Town lwn Grimsby Town
  • Derby County lwn West Ham United
  • Stoke City lwn Stevenage Borough
  • Blackburn Rovers lwn Birmingham City
  • Walsall lwn Leicester City
  • Sheffield Wednesday lwn Fleetwood Town
  • Manchester City lwn Arsenal
  • Bristol City lwn West Bromwich Albion
  • Brighton & Hove Albion lwn Liverpool
  • Fulham lwn Sunderland
  • Boreham Wood atau Accrington Stanley* lwn Leeds United
Semua perlawanan akan berlangsung dari 27-30 Januari, tarikh dan masa perlawanan akan diumumkan kelak dan disiarkan di Astro.

*Menantikan keputusan Perlawanan Ulangan Pusingan Ketiga

Anda boleh menyaksikan perlawanan bola sepak tanpa henti, termasuk Piala FA Emirates, di Astro. Untuk maklumat lanjut tentang Pek Sukan, sila layari https://www.astro.com.my/.

Comments

Popular posts from this blog

WESTLIFE BAKAL KEMBALI KE MALAYSIA UNTUK KONSERT WESTLIFE THE HITS TOUR 2024 DI RESORTS WORLD GENTING