APAKAH TEMPAT-TEMPAT PELANCONGAN YANG MENJADI TUMPUAN KELUARGA DI HARI RAYA INI?



Hari Raya Aidilfitri adalah satu perayaan yang penting bagi umat Islam di seluruh dunia dan lazimnya menjadi masa untuk keluarga berkumpul dan meluangkan masa bersama-sama. Lebih daripada 1000 pegembara Malaysia telah ditinjau untuk Tinjauan Trend Percutian Keluarga Global Agoda dan penemuan kajian mendedahkan bahawa 3 aktiviti idaman sekeluarga yang paling utama adalah melawati mercu tanda budaya, meluangkan masa di pantai dan berseronok di taman tema dan tarikan.

Dengan adanya variasi aktiviti untuk dipilih, ia pastinya menjadi satu cabaran untuk memutuskan destinasi pilihan. Agoda telah menyusun pilihan aktiviti yang sesuai untuk seisi keluarga semasa Hari Raya. Aktiviti-aktiviti ini menawarkan pelbagai pengalaman yang pasti menjadikan percutian Hari Raya anda satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan.

Mercu Tanda Budaya: Dengan adanya sejarah pelbagai budaya yang kaya, Malaysia tidak kekurangan tapak warisan yang mengagumkan. Daripada seni bina era kolonial dan warisan budaya yang masih terjaga umpama di muzium, destinasi berikut ini akan memberi peluang kepada anda untuk mempelajari tentang sejarah silam negara kita.

● Dewan Perbandaran dan Dewan Bandaraya Pulau Pinang: Terletak bersebelahan persisiran Esplanade di Pulau Pinang, bangunan-bangunan bercat putih yang tersergam indah ini memberikan sekilas gambaran kepada para pengunjung tentang seni bina zaman Victoria dan Edward. Walaupun Bangunan Dewan Bandaraya terus digunakan sebagai ibu pejabat Majlis Bandaraya Pulau Pinang, bangunan Dewan Bandar sering dijadikan lokasi bagi acara komuniti seperti pameran seni dan konsert.

● Jonker Walk, Melaka: Jonker Walk, juga dikenali sebagai Jalan Hang Jebat, adalah satu lokasi yang sesuai untuk mengenali dengan lebih mendalam warisan budaya masyarakat majmuk negeri Melaka. Diapit dengan barisan rumah-rumah tertua di bandar ini yang wujud sejak abad ke-17, Jonker Walk membolehkan anda menikmati keindahan pengaruh pelbagai budaya peninggalan sejarah dengan hanya berjalan kaki.

Bersantai di Pantai: Dengan adanya persisiran pantai yang berlebih-lebih, percutian pantai merupakan pengalaman percutian klasik bagi kebanyakan warga Malaysia. Sama ada anda ingin menikmati aktiviti riadah berasaskan alam semula jadi, atau sekadar berehat sambil menikmati irama desiran ombak, destinasi pinggir pantai berikut pasti akan memuaskan hati anda.

● Pulau Langkawi: Kepulauan Langkawi yang terdiri daripada 99 buah pulau merupakan satu destinasi pantai yang popular untuk seisi keluarga kerana adanya pelbagai aktiviti yang ditawarkan di sini. Dari pemandangan indah di Pantai Cenang dan lawatan menjelajah pulau, ke tempat percutian dalam hutan hujan dan aktiviti mesra untuk kanak-kanak, Langkawi mempunyai tarikan untuk memuaskan sesiapa sahaja.

● Pulau Sipadan: Terletak di luar persisiran pantai Semporna, Sabah, Pulau Sipadan terkenal sebagai syurga penyelam, menjadikannya sebuah tempat percutian yang ideal untuk pengunjung yang gemarkan sesuatu yang lebih mencabar. Perairan di sekeliling pulau ini mempunyai terumbu karang yang besar, gua bawah air, dan pelbagai hidupan marin berwarna-warni yang menakjubkan.

● Pulau Redang: Dengan keindahan air laut biru yang jernih, pantai yang bersih, dan pokok-pokok yang rendang, Pulau Redang ialah sebuah tempat yang sesuai untuk bersantai. Pulau ini juga merupakan sebuah tempat perlindungan penyu bersarang yang mana pengunjung boleh menyaksikan hidupan yang luar biasa ini di Pusat Pemuliharaan Penyu Chagar Hutang.

Taman Tema & Tarikan – Lazimnya direka untuk dinikmati oleh seisi keluarga, taman tema merupakan satu destinasi percutian yang boleh menawarkan pengalaman yang tidak dapat dilupakan — terutamanya bagi mereka yang lebih muda. Destinasi berikut menawarkan pelbagai tunggangan dan aktiviti yang menyeronokkan untuk semua peringkat umur.

● ESCAPE Penang: Terletak di Teluk Bahang, Pulau Pinang, ESCAPE Penang adalah lambang alam semula jadi yang menyeronokkan. Dengan adanya lebih daripada 35 aktiviti yang menggabungkan alam semula jadi dengan pengembaraan untuk dinikmati oleh semua peringkat umur, taman pengembaraan ini pasti membuatkan anda dan keluarga anda ingin meluangkan masa lebih lama di sini. Selain daripada gelongsor air tiub 1.1km dan Zip Coaster terpanjang di dunia yang memecahkan Rekod Dunia Guinness, taman tema tersebut juga telah memperkenalkan cerun ski buatan manusia - yang pertama seumpamanya di Malaysia baru-baru ini!

● Genting SkyWorlds: Terletak di pergunungan Pahang, Genting SkyWorlds menjanjikan keseronokan setinggi awan di dalam persekitaran yang dingin dan pemandangan yang menakjubkan. Taman tema luar menampilkan 26 tunggangan dan tarikan merentasi 9 zon yang bertemakan filem dan pengembaraan, yang mana para pengunjung boleh menikmati pelbagai dunia yang berbeza; termasuk dunia Rio yang berwarna-warni, keseronokan merentasi galaksi Andromeda Base dan juga keajaiban aneh di alam Epic.

Comments

Popular posts from this blog

IQIYI MEMPERSEMBAHKAN DRAMA BERSIRI TERBAHARU ‘SENYAWA’ LAKONAN MANTAP TRISHA OOI, SHAHZ JASZLE & SITI HARIESA

APAKAH RISIKO MAKANAN DIPROSES BERLEBIHAN YANG WAJIB DIKETAHUI?

PERSEMBAHAN BALET SENSASI LONDON MENAMPILKAN PENARI CILIK CEMERLANG, SOPHIA ONG DARI SELANGOR, DALAM BALLET NIGHTS KUALA LUMPUR!