FESTIVAL KIMCHI KOREA YANG PERTAMA DI MALAYSIA DI K PLUS FOOD MARKET, THE CURVE


Festival Kimchi Korea yang julung kali dianjurkan di Malaysia telah dirasmikan oleh Menteri Pertanian, Makanan dan Hal Ehwal Luar Bandar Korea ke-66, En. Chung Hwang-keun bersama Ketua Pengarah Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), YBhg. Dato' Dr. Mohamad Zabawi bin Abdul Ghani di K PLUS Food Market. Festival Kimchi Korea tersebut dianjurkan bagi mengukuhkan platform kepada rakyat Malaysia untuk menikmati pengalaman kebudayaan Korea dan menghayati “gaya hidup rakyat Korea”.

Festival Kimchi Korea merupakan usahasama di antara pasar raya Korea berjenama tempatan yang pertama dan terbesar di Malaysia - K PLUS Food Market dan Korea Agro-Fisheries & Food Trade Corp (aT). aT merupakan sebuah agensi kerajaan Korea yang mensasarkan untuk mendidik rakyat Malaysia mengenai kelestarian alam sekitar dan faedah-faedah kesihatan yang didapati dari produk dan makanan seperti kimchi.

Cawangan aT yang bertapak di Kuala Lumpur sejak Julai 2022 bertujuan untuk menerajui pasaran makanan Halal Korea di Malaysia, khusus untuk rakyat beragama Islam. Sejak penubuhannya pada 1967, aT telah merangsang eksport hasil pertanian Korea dengan mengusahakan rangkaian eksport global untuk mempromosi kerjasama dan menganjurkan acara-acara promosi bersama pengedar-pengedar luar negara seperti KMT Group, syarikat induk K PLUS Food Market..

En. Chung Hwang-keun berkata, “Saya, mewakili rakyat Korea, ingin menyatakan perasaan bangga dan istimewa melihat rakyat Malaysia menikmati budaya Korea. Ianya membanggakan saya pada hari ini untuk mempamerkan Kimchi sebagai makanan tradisional yang berdiri megah sejak sekian lama dan kini menjadi simbol budaya makanan Korea. Pada waktu dahulu, Kimchi dibuat untuk rakyat Korea mengharungi kondisi musim sejuk melampau dan kini telah menjadi faktor yang memacu interaksi sosial dan menghimpunkan semua orang untuk bersama, sama seperti Festival Kimchi Korea ini.”

“Kementerian kami memandang ke hadapan untuk menerapkan lebih banyak usaha bagi mengukuhkan hubungan antara Korea dan Malaysia melalui pelbagai pameran makanan yang akan membawa lebih ramai orang untuk bersama. Dengan Malaysia sebagai hub makanan yang pelbagai, Korea bersedia untuk mempromosi perkongsian budaya yang sihat melalui makanan sebagai medium untuk menyatukan orang ramai,” tambah beliau.

Pengerusi dan pengasas KMT Jaya Sdn. Bhd., Datuk Matthew Lee telah dianugerahkan dengan Anugerah JangBoGo oleh Kementerian Pertanian, Makanan dan Hal Ehwal Luar Bandar pada November 2022 di atas sumbangan beliau meningkatkan kesedaran dalam kepentingan produk Halal untuk pasaran pengguna Islam global. Beliau turut diiktiraf di atas usaha beliau untuk memperoleh sijil Halal dan mengedar produk-produk makanan Korea di Malaysia.

Datuk Matthew Lee berkata, “Permintaan produk buatan Korea yang meluas dan meningkat di Malaysia merupakan faktor utama untuk K Plus Food Market mengimport lebih banyak produk, dengan pengkhususan kepada produk pertanian dan masakan berstatus halal yang memanfaatkan kesihatan pengguna dengan pelbagai cara.”

“Initiatif seperti ini merupakan sebab utama saya meneraju perniagaan pengeksportan produk Korea ke Malaysia. Perkongsian budaya merupakan satu keperluan, terutama sekali untuk negara yang berbilang kaum. Tetapi yang paling penting, kami berharap untuk memberi aspirasi kepada rakyat Malaysia untuk mempunyai komposisi pemakanan yang lebih sihat demi mengurangkan risiko kepada kesihatan dengan cara yang terbaik dari usaha ini,” tambah beliau.

YBhg. Dato’ Dr. Mohamad Zabawi bin Abdul Ghani berkata, “Kami menghargai inisiatif yang diambil oleh KMT Group dalam membantu jenama-jenama terkenal Korea yang mempunyai permintaan tinggi untuk memperoleh sijil Halal, di mana ianya kriteria yang penting bagi kita di Malaysia. Ini menunjukkan KMT Group menghormati dan memahami keperluan dan sensitiviti pengguna Islam, yang mana ianya sebuah langkah yang terpuji.”

Dianjurkan selama dua minggu, Festival Kimchi Korea mempersembahkan pelbagai aktiviti yang menyeronokkan kepada para pengunjung dari setiap lapisan umur. Kelas memasak Kimchi dan Bulgogi turut dianjurkan kepada para peserta untuk mempelajari tentang budaya Korea dan mengasah kemahiran memasak mereka sambil mengeratkan hubungan bersama ahli keluarga yang belajar bersama. Kepada anak-anak kecil, aktiviti seperti mencari harta karun, teka nama dan pertandingan mewarna dianjurkan untuk mendidik mereka tentang resipi dan bahan masakan Korea. Pada 27 Mei nanti, pertandingan makan akan dianjurkan kepada penggemar makanan Korea untuk menikmati juadah kegemaran mereka dalam masa yang terpantas.


Di majlis pelancaran tersebut, selebriti chef Malaysia dan Duta jenama makanan Korea, Jongga dan Nongshim Farmer’s Heart, Datuk Dr. Chef Wan mengacarakan kelas membuat Kimchi dan membuat demonstrasi penyediaan Kimchi yang disulami dengan pengaruh Malaysia kepada para peserta tempatan. Sebagai Pakar Pembuat Kimchi yang diiktiraf Akademi Kimchi Seoul, Datuk Dr. Chef Wan menerangkan faedah-faedah Kimchi dan keperluan rakyat Malaysia untuk menikmatinya sebagai makanan harian.

Festival Kimchi Korea akan berlangsung dari 12 hingga 21 Mei 2023 di K Plus Food Market, The Curve, Mutiara Damansara. Untuk maklumat lanjut, sila layari (https://kplus.my/ atau https://www.facebook.com/kplusfoodmarket/)

Comments

Popular posts from this blog

KL WELLNESS CITY PERUNTUKKAN RM25 JUTA UNTUK MENANGANI ISU KEKURANGAN JURURAWAT DI MALAYSIA

TIKTOK PERKASA IBU BAPA, SATUKAN SUARA KEIBUBAPAAN DI ERA DIGITAL