DPAM MENGHIMPUN DAN MENYEPADU PIHAK BERKEPENTINGAN DALAM USAHA MENENTANG DENGGI


Sempena sambutan Hari Denggi ASEAN tahun ini, beberapa organisasi dan individu yang bermatlamatkan penghapusan denggi, telah bergabung untuk membentuk Dengue Prevention Advocacay Malaysia (DPAM). Usaha sama ini terdiri daripada lapan badan profesional dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), serta beberapa orang pakar perubatan yang dihormati. 

DPAM, yang merupakan kumpulan advokasi pencegahan denggi bebas yang pertama di Malaysia, ditubuhkan oleh dan diterajui bersama Persatuan Pediatrik Malaysia (MPA), Persatuan Kawalan Jangkitan dan Penyakit Berjangkit Malaysia (MyICID), Persatuan Penyakit Berjangkit dan Kemoterapi Malaysia (MSIDC) serta Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM), dengan kerjasama Persatuan Kajiparasit dan Perubatan Tropika Malaysia (MSPTM), Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Konsortium Akademik Asia Pasifik untuk Kesihatan Awam Kuala Lumpur (APACPH-KL) dan kelab Rotary International District 3300. 

Pada tahun 2019, dengan lebih 130,000 kes dan 182 kematian, Malaysia mengalami wabak denggi yang paling teruk dalam sejarah. Walaupun jumlah tersebut telah menurun dengan ketara disebabkan oleh langkah kawalan pergerakan semasa pandemik COVID-19, kes denggi kini melonjak semula. 

Dari bulan Januari hingga minggu epidemiologi ke-22 tahun ini, terdapat peningkatan kes denggi sebanyak 158% dan peningkatan kematian yang membimbangkan sebanyak 183% berbanding tempoh yang sama tahun lepas. 

Semasa pelancaran rasmi DPAM, Timbalan Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit (Penyakit Berjangkit), Dr. Husnina Ibrahim, yang mewakili Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), YBhg Datuk Dr. Norhayati Rusli, telah menekankan bahawa peningkatan ini dijangka akan berterusan. 

Beliau berkata lagi, "Memandangkan Malaysia lazimnya mengalami lonjakan kes denggi setiap 4 hingga 5 tahun, kita dijangkakan akan mengalami peletusan wabak denggi sekitar tahun ini atau tahun hadapan. Bilangan anggaran kes juga dijangkakan mungkin melebihi bilangan kes semasa wabak denggi pada tahun 2019." 

Walaupun berhadapan pelbagai cabaran, usaha Kementerian Kesihatan (KKM) telah membuahkan hasil yang positif. Dari segi pencegahan dan kawalan, pengenalan nyamuk Aedes yang dijangkiti Wolbachia telah mengurangkan kes denggi dengan ketara sebanyak 33-100% di 16 daripada 19 lokaliti. 

Di samping itu, melalui pelaksanaan garis panduan yang komprehensif, latihan yang betul dan semakan yang kritikal terhadap kematian denggi, doktor kita yang berdedikasi berjaya mengurangkan kadar kematian kes sebanyak 87.3%, dari tahun 2000 sehingga 2022. 

Melangkah ke hadapan, Pelan Strategik Pencegahan dan Kawalan Denggi Kebangsaan 2022-2026 KKM menyasarkan pengurangan jumlah kes denggi sebanyak 5% setiap tahun, sambil mengekalkan kadar kematian kes (CFR) di bawah 0.2%. 

Sejajar dengan sasaran global yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), KKM juga menyasarkan untuk mengurangkan kadar kematian kes kepada 0% menjelang tahun 2030. 2 Pengerusi DPAM, Profesor Datuk Dr. Zulkifli Ismail, percaya bahawa sasaran ini boleh dicapai melalui penglibatan aktif pihak-pihak yang berkepentingan seperti pihak kerajaan, masyarakat sivil, ahli akademik, sektor swasta, pihak media dan masyarakat dalam menggerakkan tindakan secara “whole-of-society approach” atau penglibatan seluruh masyarakat. 

Atas semangat perpaduan, DPAM berhasrat untuk menghimpun dan menyepadukan usaha pelbagai pihak yang berkepentingan untuk membantu KKM mencapai sasaran denggi di peringkat kebangsaan dan global. Perkara ini boleh dicapai melalui pengukuhan pencegahan, pengurusan dan pengawalan denggi di Malaysia. 

“Skop kepentingan kumpulan ini adalah menyeluruh dan meliputi epidemiologi, Kaedah Pengurusan Vektor secara bersepadu (Integrated Vector Management, IVM), alam sekitar, penjagaan pesakit, makmal dan vaksin. Dalam kapasitinya, DPAM akan menumpukan usaha kepada pendidikan dan komunikasi pakar penjagaan kesihatan, pendidikan dan komunikasi awam, penyelidikan tempatan, cadangan garis panduan dan cadangan dasar”, tambahnya. 

Beliau juga menekankan bahawa DPAM berhasrat untuk memupuk dan mengukuhkan kerjasama serantau. Justeru, ia akan bekerjasama rapat dengan Asian Dengue Voice & Action (ADVA), sebuah kumpulan advokasi serantau, ke arah matlamat bersama. Tahun depan menandakan inisiatif kerjasama pertama dengan ADVA, kerana Malaysia telah dipilih untuk menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Denggi Asia ke-7 pada bulan Jun 2024. 

Semasa majlis pelancaran DPAM tersebut, kumpulan itu turut melancarkan Kertas Resolusi DPAM. Profesor Datuk Dr. Zulkifli Ismail menjelaskan bahawa dokumen tersebut mengandungi beberapa strategi utama yang boleh dilaksanakan oleh semua pihak berkepentingan yang berkaitan, bagi mewujudkan pendekatan "wholeof-society" untuk mencapai enam (6) matlamat: 
  1. Pemerolehan data epidemiologi yang tepat untuk memastikan aktiviti pencegahan dan pengawalan denggi yang berkesan, serta kesiapsiagaan dan gerak balas wabak. 
  2. Penyampaian strategi pengurusan vektor bersepadu yang mampan, cekap dan berkesan. 
  3. Pelaksanaan aktiviti pengurusan alam sekitar lintas sektor untuk mengurangkan risiko entomologi penularan denggi. 
  4. Pengurangan kadar kematian kes denggi. 
  5. Kebolehcapaian diagnosis makmal dan ujian diagnostik denggi, bagi menjana keputusan yang tepat dan dengan pantas. 
  6. Penyediaan akses kepada vaksin denggi bagi individu dan akhirnya rakyat sejagat sebagai sebahagian daripada strategi pencegahan denggi. 
Beliau menambah bahawa DPAM akan memainkan peranannya untuk melaksanakan strategi tersebut dengan menumpukan usahanya kepada inisiatif-inisiatif berikut: 
  1. Memperkasa pakar penjagaan kesihatan melalui aktiviti pendidikan. 
  2. Mendapatkan sokongan pihak berkepentingan yang berkaitan untuk melaksanakan inisiatif pendidikan dan kesedaran awam yang konsisten dan mampan. 
  3. Melibatkan pihak berkepentingan yang berkaitan dalam sokongan peruntukan kewangan yang mencukupi untuk aktiviti-aktiviti utama seperti kawalan vektor dan penyelidikan. 
  4. Menjalankan penyelidikan berkaitan denggi dengan kerjasama pihak berkepentingan yang lain. 
  5. Membantu/menyokong KKM dalam pembangunan atau penyemakan garis panduan. 
  6. Penyebaran hasil penyelidikan melalui media untuk menggerakkan tindakan seluruh masyarakat terhadap denggi. 
Profesor Datuk Dr. Zulkifli Ismail mengulang semula harapan kumpulan tersebut kepada semua pihak berkepentingan sama ada mereka terdiri daripada masyarakat sivil, ahli akademik, sektor swasta, pihak media, atau orang ramai, agar bersatu padu dalam merealisasikan 6 matlamat yang digariskan dalam Kertas Resolusi, untuk membantu Malaysia memenangi perjuangan menentang denggi.

Comments

Popular posts from this blog

COLGATE OPTIC WHITE PURPLE: UBAT GIGI PEMUTIH UNGU PERTAMA COLGATE

THE EXPERTS - FILEM AKSI HEIST YANG DINANTIKAN 2024, TAMPILKAN BARISAN PELAKON HEBAT TANAH AIR

ICBS 2024: MENJEMPUT ANDA MENEROKA INOVASI KAFE DI KUALA LUMPUR!