BMW GROUP MALAYSIA BAWAKAN PENGALAMAN POP-UP ‘FORWARDISM BY BMW’


BMW Group Malaysia hari ini merungkaikan satu pencapaian yang signifikan, memegang tampuk sebagai pembekal EV Premium Nombor Satu di Malaysia dengan mencatat penyerahan EV BMW, MINI & BMW Motorrad melebihi 1,600 unit dalam tempoh lapan bulan sahaja pada tahun ini. Ia jauh melangkaui jumlah 1,557 unit EV BMW & MINI yang diserah oleh pengeluar kenderaan premium tersebut pada keseluruhan tahun 2022. Sementara pencapaian ini mencerminkan komitmen padu BMW Group Malaysia ke atas janji “Sheer Electric Driving Pleasure”, ia turut memperkukuhkan kedudukan mereka sebagai Pengeluar Kenderaan Premium Nombor Satu di Malaysia selama tiga tahun ini.

Hans de Visser, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkongsi, “Menunjangi visi kami ke atas Alaf Elektrik Baharu ialah komitmen terhadap pengelektrifikasian yang membidik untuk mencorak semula alaf mobiliti masa hadapan, di mana kelestarian, kemewahan, dan inovasi disulam bersama. Dalam sebuah era yang berada di ambang transformasi, kami teruja untuk megetuai usaha anjakan elektrifikasi di Malaysia – dibantu dengan dukungan daripada para pelanggan, wakil pengedar, dan rakan-rakan kongsi kami. Pencapaian ini mengiktiraf kedudukan kami, bukan sahaja dalam segmen EV premium tapi juga seluruh ekosistem EV di negara ini.”


Merevolusi Aksesibiliti Kemudahan Pengecasan Bersama ‘Charge Go’ daripada Gentari.

Untuk memangkinkan peralihan ke arah Alaf Mobiliti Elektrik Baharu, BMW Group Malaysia menyedari keperluan untuk menangani kegusaran melibatkan jarak operasi dan hal pengecasan seperti yang dizahirkan oleh ramai bakal pemilik EV di Malaysia. Sehubungan itu, pengeluar kenderaan premium ini meluaskan lagi usaha sama strategik yang dijalin dengan pembekal solusi tenaga bersih, Gentari melalui subsidiari milik penuhnya Gentari Green Mobility Sdn Bhd, bagi memudahkan dan meluaskan akses pengecasan EV buat semua. Berdasarkan kejayaan Gentari dalam meluaskan infrastruktur pengecasan EV di seluruh negara sejak tahun lalu, kedua-dua organisasi ini kini memberi nafas kepada Charge Go — sebuah perkhidmatan pengecasan EV mudah alih yang dapat membekalkan kemudahan pengecasan pantas DC pada bila-bila masa, di mana-mana jua.

De Visser menyatakan, "Kami teruja untuk mempersembahkan konsep kenderaan pengecas mudah alih ini yang telah kami rungkaikan pada awal tahun lagi, kini bersama Gentari. Usaha sama yang kami jalin bersama pemain-pemain utama seperti mereka menekankan kepercayaan kami bahawa kolaborasi yang mencakupi seluruh industri adalah penting bagi memacu transformasi ke arah Alaf Elektrik Baharu. Kami berharap untuk memberikan inspirasi kepada lebih ramai pemain dalam arena ini untuk meningkatkan komitmen mereka ke atas pengelektrifikasian, justeru memperkayakan lagi ekosistem EV tempatan secara kolektif. Kolaborasi ini akan direalisasikan menjelang penghujung tahun 2023.”

Shah Yang Razalli, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Gentari merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Gentari Green Mobility Sdn Bhd memberitahu, "Pelancaran Charge Go bersama BMW merupakan satu lagi solusi inovatif yang mencerminkan pendekatan berpaksikan pengguna oleh Gentari. Solusi pengecasan mudah alih ini terlahir daripada usaha kolektif para pemain dalam industri tempatan, ia termasuk PKS, bagi memperkukuhkan ekosistem EV tempatan dalam keupayaannya untuk membangunkan solusi-solusi sendiri dalam arena EV. Solusi Gentari ini yang mendahului banyak lagi inisiatif lain kami yang akan datang, bermatlamat untuk melapangkan dada pengguna dan menjadikan peralihan ke arah EV lebih mudah.”

Pakej Pengecasan Tanpa Had Serba Eksklusif oleh ChargEV, serta JomCharge & Gentari.

Meraikan kejayaannya, BMW Group Malaysia juga berkolaborasi dengan pembekal solusi pengecasan tempatan, ChargEV di samping JomCharge & Gentari untuk menawarkan pakej-pakej pengecasan tanpa had yang eksklusif bagi para pemilik EV BMW dan MINI di Malaysia. Dari 1 Oktober hingga 31 Disember 2023, 200 pemilik EV BMW dan MINI terawal yang membuat pendaftaran akan masing-masing dapat membeli pakej-pakej berkenaan pada harga RM2,400 dan RM1,800 daripada mana-mana pembekal solusi pengecasan tersebut. Pakej ini menawarkan pengecasan tanpa had di semua fasiliti ChargEV atau JomCharge & Gentari di seluruh negara selama 12 bulan setelah diaktifkan dan hanya boleh digunakan bagi kenderaan elektrik yang didaftarkan.

Menerusi usaha sama strategik BMW Group Malaysia dengan para pembekal solusi pengecasan tempatan yang utama, di samping jaringan wakil pengedar dan premis-premis rakan di serata negara, pengeluar kenderaan premium ini telah berjaya menyediakan lebih daripada 1,000 buah fasiliti pengecasan buat para pemilik EV di Malaysia.


‘Forwardism, by BMW’ Persembahkan Mobiliti Alaf Baharu di Pusat Kota KL.

‘Forwardism, by BMW’ merupakan sebuah acara eksklusif anjuran BMW Group Malaysia yang berhasrat untuk mempersembahkan falsafah “Forwardism” melalui sebuah pengalaman yang imersif lagi interaktif. Ia menyulam unsur kesenian dengan kemewahan dan memecah acuan dalam dunia automotif. Terletak berdekatan Mandarin Oriental KL, warga umum juga dapat menyaksikan dan mengamati BMW i7 secara lebih dekat di samping meneroka visi BMW Group ke atas kelestarian di lokasi yang sama. ‘Forwardism, by BMW’ akan dibuka kepada warga umum pada hujung minggu ini dari jam 10 pagi hingga 10 malam, dan hanya boleh dihadiri setelah pendaftaran dibuat. Pihak yang berminat boleh mendaftar melalui https://forwardism-by-bmw.bmw-events.com.my/registration.

Amati Keunggulan Mobiliti Elektrik di Acara ‘Forwardism, Pop-Up by BMW’.

BMW Group Malaysia juga mendemonstrasikan komitmennya untuk melestarikan arena mobiliti di Malaysia dengan acara ‘Forwardism, Pop-Up by BMW’ yang berlangsung pada hari ini sehingga 12 November. Acara jerayawara ini akan mengambil tempat di beberapa lokasi merentasi empat bandar utama, memberi peluang kepada orang ramai untuk mengamati aneka kereta elektrik pengeluar kenderaan premium ini dengan lebih dekat.

‘Forwardism, Pop-Up by BMW’ menjanjikan sebuah pengalaman yang menarik di mana para pengunjung dapat meneroka segala kemungkinan mobiliti lestari, menerusi sebilangan model BMW i yang terunggul, ia termasuk BMW iX1, BMW iX3, BMW i4, BMW iX serta jentera yang telah meniti di bibir ramai, BMW i7. Model-model ini juga akan disediakan untuk dipandu uji, membolehkan para hadirin mengalami sendiri “Sheer Electric Driving Pleasure” yang dijanjikan.

Untuk maklumat lanjut mengenai acara ‘Forwardism, Pop-Up by BMW’, sila layari laman Facebook & Instagram BMW Malaysia.

Comments

Popular posts from this blog

IQIYI MEMPERSEMBAHKAN DRAMA BERSIRI TERBAHARU ‘SENYAWA’ LAKONAN MANTAP TRISHA OOI, SHAHZ JASZLE & SITI HARIESA

NESTLÉ MALAYSIA DAN BSMM BERGANDING BAHU MEMBANTU PENDUDUK TERJEJAS BANJIR : 5,000 KOTAK BARANGAN MAKANAN ASAS DISEDIAKAN BARISAN SUKARELAWAN

APAKAH RISIKO MAKANAN DIPROSES BERLEBIHAN YANG WAJIB DIKETAHUI?