MINI MALAYSIA SULAM UNSUR SENI DAN KEMBARA MENERUSI MINI COUNTRYMAN ROOF ART EDITION, HASIL GUBAHAN “PROFESSIONAL CRAYON”.


MINI, jenama automotif premium kompak yang tercanggih di Malaysia telah memperkenalkan MINI Countryman Roof Art Edition pada hari ini, tampil dengan gubahan unik oleh artis watan bernama Jared Lim - atau lebih biasa dipanggil “Professional Crayon”, yang telah merangkapkan keunikan Malaysia menerusi karyanya. Dengan tema gubahan “Foliage” atau “Dedaun” dalam bahasa Melayu, beliau menyulam unsur kembara dengan elemen-elemen yang mewarnai budaya tempatan kita, justeru melahirkan iterasi MINI Countryman yang sungguh menawan.

Linnet Yew, Ketua MINI Malaysia berkongsi, "MINI Malaysia senantiasa menjulang semangat diversiti yang merentasi pelbagai budaya. Menerusi jentera edisi Roof Art yang baharu ini, kami menunaikan komitmen untuk mendukung artis-artis tempatan dalam industri seni, dengan harapan agar kolaborasi seperti ini dapat melahirkan pelbagai produk yang mampu mengeratkan lagi hubungan antara kita dengan para pengguna.”

“Jared mempunyai kreativiti dalam pelbagai disiplin dan kami benar-benar hargai beliau sebagai rakan kongsi kami. BMW Group dan Jared telah berganding bahu dalam pelbagai projek, mencetus kelahiran karya-karya menarik yang terus memberi inspirasi kepada kita semua sehingga ke hari ini. Dengan itu, kami teruja untuk mempersembahkan MINI Countryman Roof Art Edition yang eksklusif ini kepada para pelanggan dan juga peminat setia kami, menyajikan sebuah pengalaman pemilikan MINI yang lebih peribadi buat mereka,” tambah Linnet.

Seni gubahan “Foliage” pada MINI Countryman Roof Art Edition merupakan satu karya visual yang dengan penuh intrikasinya mempamerkan bunga-bunga Malaysia sambil menonjolkan aneka elemen klasik yang mencorak jenama MINI. Dalam gubahan tersebut, juga terdapat sayap jata MINI yang menjelma melalui gelombang dan sulaman flora Malaysia. Di bahagian tengah, objek hati persis permata merangkapkan motif Union Jack yang turut menghiasi lampu belakang, meter laju, dan kompas, melambangkan keinginan seorang pengembara untuk meneroka dunia baharu. Di antara rimbunan dedaun terdapat bunga raya, melambangkan pelbagai pengalaman berharga yang menanti seorang pengembara.

MINI Countryman Roof Art Edition mengekalkan segala elemen yang menjadikan MINI Countryman sebuah jentera yang diminati ramai, seperti MINI ALL4 Exterior Optic, termasuk elemen-elemen dekoratif di bampar hadapan dan belakang, serta perisai casis (sump guard) dalam matte aluminium dan lampu hadapan LED automatik dengan fungsi membelok. Ia juga mengekalkan jalur bonetnya yang unik, begitu juga dengan rel bumbung dan ambang sisi. Turut menambah serinya ialah Piano Black Exterior Optic, menzahirkan kemasan berwarna hitam berglos tinggi di sekitar lampu hadapan dan belakang, gril radiator dan juga ketutup sisi. Bukan itu sahaja, para pemilik dapat menikmati kemudahan Comfort Access dengan Easy Opener, di samping operasi tailgate automatik.

Menjadi jantung jentera MINI Countryman Roof Art Edition ialah enjin MINI TwinPower Turbo 2 liter, yang menjana 192 kk serta tork bernilai 280 Nm, ia mampu membuat pecutan abad dalam masa 7.5 saat dengan kelajuan tertingginya yang mencecah 226 km/j. Digandingkan dengan Transmisi Automatik Sport Dwiklac Tujuh Kelajuan, kenderaan ini membekalkan keupayaan penukaran gear yang pantas dalam mod pemanduan SPORTS dengan tahap keselesaan dan keefisienan yang tinggi. Di samping itu, fungsi pacuan neutral (coasting) turut disediakan dalam mod pemanduan GREEN & MID bagi MINI Countryman Roof Art Edition. Kelengkapan standard meliputi sistem Bantuan Memandu yang menawarkan bantuan lampu puncak, info had kelajuan, amaran pejalan kaki dengan fungsi pembrekan ringan (light city braking) dan amaran kawalan penghampiran objek (approach control warning) dengan fungsi pembrekan ringan. Sistem serba komprehensif ini bukan sahaja dapat menggera pemandu tapi juga membuat pembrekan jika perlu, dalam julat kelajuan sekitar 10 km/j hingga 60 km/j, justeru membolehkan pengguna berlapang dada.

Di dalam, MINI Countryman Roof Art Edition masih membawakan kokpit MINI Yours Illuminated dalam rona Shaded Silver. Ia juga mengekalkan bingkai pintu dalam warna Dark Silver serta pelbagai elemen dalam warna Hazy Grey, disempurnakan dengan material bumbung dalam rona Satellite Grey serta Leather Cross Punch dalam rona Carbon Black. Sterengnya pula memperlihatkan MINI Yours Walknappa Leather yang ikonik dan ia dihiasi dengan motif Union Jack pada bahagian dasar.

MINI Countryman Roof Art Edition turut menampilkan kluster instrumen digital 5” yang terletak di belakang stereng. Ia dipadankan dengan skrin sentuh 8.8” yang merangkumi kemudahan navigasi, sebuah panel kawalan audio, butang lampu kecemasan dan sistem-sistem bantuan pemandu yang diintegrasikan ke dalam unit kawalannya yang berbentuk bulat. Papar Pandu (Head Up Display) dirumus untuk memperkayakan pengalaman pemanduan, sementara aspek hiburan dalam kenderaan disempurnakan melalui sistem bunyi HiFi Harman Kardon dengan 12 pembesar suara.

MINI Countryman Roof Art Edition akan disediakan dalam tiga warna yang menawan, iaitu British Racing Green, Chilli Red dan Island Blue – juga dalam bilangan yang terhad bagi menawarkan sebuah pengalaman pemilikan yang benar-benar eksklusif.

Bantuan Tepi Jalan MINI (MINI Roadside Assistance).

MINI Countryman Roof Art Edition diliputi oleh program Bantuan Tepi Jalan Bertempoh 5-Tahun oleh MINI Malaysia, ia ditawarkan untuk semua kenderaan MINI bersama pelbagai perkhidmatan komprehensif yang merangkumi Bantuan Kemalangan 24 jam, 365 hari setahun; Talian Bantuan dan Kecemasan; Servis Penundaan Percuma dan sekiranya perlu (lebih daripada 200 KM dari tempat kediaman); Kenderaan Ganti; Mobiliti Lancar (Seamless Mobility); Akomodasi; Solusi Servis Mobiliti serta Servis Repatriasi.

Program Bantuan Tepi Jalan MINI (MINI Roadside Assistance) boleh diakses dengan menghubungi talian 1800-88-8808.

Servis Dalam Talian MINI.

Kini lebih mudah untuk membuat janji temu. Program servis dalam talian yang baharu ini membolehkan para pelanggan menjadualkan servis keperluan mereka secara langsung dengan wakil pengedar MINI bertauliah pilihan masing-masing melalui https://service.mini.my/.

Pembiayaan MINI.

Dengan khidmat pembiayaan Easy Drive yang disediakan oleh BMW Group Financial Services Malaysia, pemilikan MINI Countryman Roof Art Edition bermula daripada RM 2,345.00 (berdasarkan anggaran pinjaman sebanyak 75%, perbatuan 100,000 km bagi tempoh lima tahun).

MINI Countryman Roof Art Edition didatangkan bersama Waranti Tanpa Had Perbatuan Bertempoh 4 Tahun oleh MINI berserta Servis Berjadual Percuma. Harga runcit yang disyorkan berserta SST (atas jalan, tanpa insurans) ialah:

MINI Countryman Roof Art Edition
RM 264,888.00

Maklumat lanjut mengenai MINI Countryman Roof Art Edition boleh didapati di http://www.mini.my/minicountrymanroofartedition.html dan tempahan boleh dibuat dalam talian melalui https://shop.mini.my/booking/f60-roof-art-edition.

 

Comments

Popular posts from this blog

COLGATE OPTIC WHITE PURPLE: UBAT GIGI PEMUTIH UNGU PERTAMA COLGATE

ICBS 2024: MENJEMPUT ANDA MENEROKA INOVASI KAFE DI KUALA LUMPUR!