REVIEW: OPPO RENO10 PRO 5G - PAKAR POTRET KEMBALI LAGI!


Siri Oppo Reno yang terkenal dengan pengalaman fotografi potret kini kembali dengan siri Reno 10 dengan matlamat yang sama – memberikan kepuasan kepada penggunanya untuk menghasilkan foto yang mengagumkan. Siri Oppo Reno 10 menampilkan barisan 3 telefon pintar- Oppo Reno 10, Oppo Reno 10 Pro dan Oppo Reno 10 Pro Plus. Team Femag Online berpeluang untuk menggunakan Oppo Reno 10 Pro selama dua minggu untuk membuat ulasan tentang peranti yang dinanti-nantikan ini.

Selain daripada fungsi kamera yang hebat, Oppo Reno 10 Pro 5G yang dilengkapi dengan pelbagai ciri seperti cipset Snapdragon 778G, paparan AMOLED 120Hz dan pengecasan 80W untuk memberikan pengalaman telefon pintar yang hebat kepada si penggunanya.


Pada luarannya Oppo Reno 10 Pro tampak premium dan bergaya. Ia tersedia dalam dua warna, yang mana kami menerima varian Glossy Purple atau Ungu Berkilat. Panel belakang mempunyai kemasan berkilat yang memantulkan dwi warna apabila disinari cahaya. Ia juga boleh didapati dalam warna Silvery Grey atau Kelabu Keperakan.

Di bahagian hadapan, ia menampilkan paparan yang melengkung yang kelihatan premium dan di bahagian atas skrin, kamera swafoto terletak di tengah-tengah lubang tebuk.

Panel belakang pula mempunyai kemasan kaca yang berkilat. Modul kamera besar berbentuk kapsul terletak di bahagian kiri atas. Modul ini mempunyai sensor besar di bahagian atas dan 2 sensor yang lebih kecil di bahagian bawah.

Selain bergaya, Oppo Reno 10 Pro 5G juga selesa digunakan. Oleh kerana reka bentuknya yang melengkung, peranti ini terasa selesa di tangan. Oppo Reno 10 Pro adalah nipis (7.89mm) dan ringan (185 gram) juga. Saiznya tidaklah terlalu besar dan tiada masalah dialami apabila kami cuba mengendalikan telefon ini dengan sebelah tangan.

Satu-satunya isu ialah Reno 10 Pro tidak disertakan dengan Penarafan IP untuk perlindungan daripada habuk atau air.


Oppo Reno 10 Pro 5G memaparkan paparan AMOLED Penuh HD+ (2412×1080 piksel) 6.7 inci. Dengan sokongan kadar penyegaran 120Hz, skrin tampak lancar. Paparan boleh ditetapkan pada mod 60Hz, 120Hz atau auto. Ia hadir dengan kecerahan puncak 950 nits yang membolehkan anda menggunakannnya di luar rumah tanpa sebarang masalah besar.

Dalam tempoh percubaan, kami bermain games, menonton siri web dan melakukan tugasan media social dan mendapati bahawa warna yang dihasilkan di atas paparan adalah amat baik sekali. Kami menggunakannya dalam Mod Warna Semulajadi (Natural), yang mempunyai warna yang lebih hangat. Jika anda sukakan warna yang lebih terang, anda boleh memilih daripada Mod Pro atau Sinematik, atau Mod Brilliant.

Paparan melengkung dengan bezel nipis pada semua 4 sisi memberi kepuasan dalam menonton siri web atau penggunaan media sosial yang lebih mengasyikkan. Lubang tebuk (punch hole) kamera swafoto di bahagian atas tidak menjadi menghalang semasa penggunaan telefon ini.

Oppo Reno 10 Pro 5G: Kamera


Oppo Reno 10 Pro 5G menampilkan tiga kamera di bahagian belakang. Ia termasuk sensor Sony IMX890 utama 50MP dengan Penstabilan Imej Optik. Terdapat juga sensor Sony IMX355 ultralebar 8MP dengan lensa ultralebar 112 darjah. Kamera ketiga dan paling menjadi hype ialah lensa potret telefoto 32MP yang merupakan sensor Sony IMX709, dengan apertur f/2.0, zoom optik 2X dan zoom digital 20X.


Sensor Utama 50MP menghasilkan imej yang cantik. Walaupun dalam imej cahaya malap, setiap butiran kecil dapat dilihat dengan jelas. Imej yang terhasil mempunyai warna yang tepat dan ketajaman juga. Walaupun tangan anda bergegar semasa mengambil foto atau video, sokongan OIS memastikan imej tidak pernah kabur dan video adalah stabil.



Imej yang dihasilkan dengan kamera sudut ultra lebar juga bagus dan mengagumkan.




Lensa potret telefoto 32MP yang ditampilkan dalam model Pro dan Pro+, memberikan gambar portret yang menyerupai imej yang diambil oleh kamera dslr yang canggih di mana subjek dan latar belakang dapat dipisahkan dengan pengaburan “bokeh”.




Bagi lensa selfie pula, terdapat sensor RGBW 32MP di hadapan iaitu lensa Sony IMX709 dengan apertur f/2.4. Ia menampilkan fungsi autofokus yang memastikan fokus kekal pada subjek semasa membuat video. Sensor swafoto menawarkan pilihan zum 0.8x hingga 2x. Imej yang terhasil telah “dicantikkan” untuk memberikan warna kulit yang lebih cerah dan tanpa cela, tidak memberikan gambaran “semula jadi” tetapi itulah realiti berswafoto.

Dari aspek video pula, Oppo Reno 10 Pro 5G membenarkan rakaman video 4K pada 30fps, namun, rakaman video HD Penuh boleh dilakukan pada 60fps dan rakaman HD boleh dilakukan pada 60fps serta 30fps. Dengan sensor swafoto, rakaman video boleh dilakukan pada 30fps dalam resolusi FHD.

Lihat IG Reel yang diambil menggunakan Oppo Reno 10 Pro 5G di sini:


Oppo Reno 10 Pro 5G dikuasakan oleh cipset Snapdragon 778G 5G dan mampu mengendalikan tugas harian seperti penggunaan media sosial, permainan dan melayari web dengan lancar. Dengan spesifikasi 12GB LPDDR4x RAM dan storan 256GB UFS 2.2, ia membolehkan anda menyimpan banyak aplikasi, foto dan video tanpa menghadapi sebarang masalah dengan ruang.


Oppo Reno 10 Pro mempunyai bateri 4600mAh dengan sokongan pengecasan pantas 80W. Pengecas 80W disertakan di dalam kotak bersama-sama dengan kabel USB Jenis-C. Hayat bateri adalah baik kerana peranti mudah bertahan sepanjang hari selepas dicas sepenuhnya. Pada penghujung hari, masih terdapat baki 20%. Pengecasan hanya mengambil masa 28 minit daripada 0 hingga 100%. Ia juga dilengkapi dengan Cip Pengurusan Kuasa SuperVOOC S dalam telefon pintar untuk memastikan pengecasan dilakukan dengan selamat.


KEPUTUSAN

Oppo Reno 10 Pro 5G ialah telefon pintar yang memberikan pengalaman menyeluruh yang baik. Telefon pintar ini mempunyai paparan AMOLED bersama dengan keupayaan pengecasan pantas yang baik. Foto yang dihasilkan memang cukup hebat dan menarik. Mungkin salah satu penambahbaikan di masa hadapan adalah untuk memberikan penarafan IP untuk perlindungan daripada habuk atau air yang masih tiada dalam siri Oppo Reno 10 ini.

Oppo Reno 10 Pro 5G kini di pasaran dengan harga RM2,199.


Comments

Popular posts from this blog

COLGATE OPTIC WHITE PURPLE: UBAT GIGI PEMUTIH UNGU PERTAMA COLGATE

ICBS 2024: MENJEMPUT ANDA MENEROKA INOVASI KAFE DI KUALA LUMPUR!